KUALA LUMPUR: Wanita warga emas yang parah akibat tersembam di jalan raya dalam insiden ragut oleh seorang penunggang motosikal di Jalan Limau Manis, Bangsar, di sini pada 7 Oktober lalu, dilaporkan meninggal dunia pada 30 Disember.
Mangsa, Cik Lim Foong Mei, 78 tahun, sebelum ini menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana mengalami pendarahan serius pada kepala akibat kejadian itu.
Berita kematian mangsa dimaklumkan pihak Persatuan Penduduk Bangsar Park dan mendiang dikatakan ditempatkan di sebuah rumah penjagaan dan sedang dalam proses pemulihan sebelum meninggal dunia.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, ketika mengesahkan perkara itu pula berkata suspek jenayah ragut berkenaan sudah ditangkap dan dituduh di mahkamah.
“Sebelum ini, mangsa sudah dibenarkan keluar hospital. Semakan lanjut akan dibuat berhubung punca kematian, sama ada ia mempunyai kaitan dengan kecederaan ketika kejadian ragut itu.
“Cadangan (menilai semula kes) akan dibuat bergantung pada hasil semakan nanti,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada 30 Disember, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Sebelum ini, tular rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian menunjukkan mangsa sedang berjalan sendirian berhampiran kawasan perumahan.
Berdasarkan rakaman video selama dua minit 45 saat itu, seorang lelaki menunggang motosikal dilihat tiba-tiba menghampiri dari belakang dan meragut beg dibawa mangsa menyebabkan warga emas berkenaan tersembam di atas jalan raya.
Mangsa dilihat terus tertiarap seketika sebelum bangun perlahan-lahan dan duduk. Kejadian hanya disedari beberapa orang awam selepas lebih dua minit mangsa duduk dalam keadaan kepalanya berdarah.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Penolong Pesuruhjaya Ku Mashariman Ku Mahmood, dipetik memaklumkan susulan itu, polis berjaya menahan seorang lelaki di Ampang, Selangor, disyaki terbabit kes berkenaan.
Suspek dikenali sebagai M Thanabalan, 38 tahun, kemudian dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 24 Oktober lalu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas empat kesalahan merompak, termasuk kes ragut membabitkan mendiang Cik Lim.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg