Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarga S’pura idamkan cuti ‘Semporna’ di Sabah
Warga S’pura idamkan cuti ‘Semporna’ di Sabah
Laut jernih, rumah atas air dan suasana damai persis resort Maldives jadi pilihan baru pelancong
Warga S’pura idamkan cuti ‘Semporna’ di Sabah
Ramai warga Singapura sanggup terbang berjam-jam dan berbelanja ribuan dolar untuk menikmati pengalaman percutian di Maldives.
Namun, bagi sebahagian pelancong dari negara ini, Semporna di Sabah kini muncul sebagai destinasi pilihan yang bukan sahaja lebih dekat, malah menawarkan pengalaman laut yang disifatkan setanding, malah ada kalanya lebih mempesonakan.
Air laut jernih kebiruan, gugusan pulau tropika, hidupan marin yang kaya serta resort atas air yang menghiasi kawasan perairan Semporna menjadikan daerah di pantai timur Sabah itu semakin mendapat perhatian pelancong luar negara, termasuk dari Singapura.
Lautan biru tiada tandingan
Bagi seorang ahli terapi sukan dari Singapura, Encik Aldrin Ho Wai Loong, 52 tahun, pengalaman pertama bercuti di Semporna membuka matanya terhadap keindahan laut Sabah, yang menurutnya, setanding destinasi terkenal dunia.
Beliau yang datang bersama isterinya, Cik Ng Sim Leng, berkata kunjungannya ke Semporna bermula selepas menerima cadangan daripada rakannya ketika berada di Tawau atas urusan kerja.
“Selepas melihat sendiri pulau-pulau di sini, saya boleh katakan pengalaman snorkeling di Semporna antara yang terbaik pernah saya alami.
“Saya pernah ke Thailand, Mauritius dan beberapa lokasi lain, tetapi terumbu karang di sini sangat cantik dan masih terpelihara,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).
Menurut beliau, suasana di Semporna yang masih belum terlalu sesak dengan pelancong memberi kelebihan tersendiri kerana keindahan alam semula jadinya masih dapat dikekalkan.
Bagaimanapun, beliau mengakui isu kebersihan terutama sampah plastik yang terapung di laut perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa sekiranya Sabah mahu menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.
“Kalau kerajaan dapat mempertingkat usaha pembersihan dan mendidik masyarakat supaya tidak membuang sampah ke laut, saya rasa Semporna boleh menjadi destinasi bertaraf dunia.
“Kawasan laut di sini sangat cantik, tetapi apabila ternampak botol plastik dan sampah terapung, ia sedikit sebanyak mencacatkan pemandangan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya prasarana jalan raya antara Tawau dengan Semporna dipertingkatkan bagi memudahkan pergerakan pelancong.
“Kalau jalan lebih baik dan lebih luas, pembangunan pelancongan juga akan berkembang.
“Semporna boleh mempunyai lebih banyak restoran makanan laut, kedai dan kemudahan untuk pelancong,” katanya lagi.
Hobi memancing laut dalam
Sementara itu, seorang lagi warga Singapura dari Bishan, Encik Gerald Teo, 44 tahun, berkata beliau sanggup datang ke Semporna dua kali setahun semata-mata untuk memancing di laut dalam bersama rakan-rakannya.
Menurut beliau, hobi memancing bukan sahaja memberi ketenangan, malah membuka peluang mengenali individu daripada pelbagai latar belakang.
“Saya mula memancing di Singapura sebelum beralih ke lokasi lain termasuk luar negara.
“Semporna menjadi pilihan kerana lautnya cantik, ikan banyak dan suasananya sangat sesuai untuk kegiatan memancing,” katanya.
Menurutnya, kos percutian di Semporna juga jauh lebih mampu milik untuk warga Singapura berbanding destinasi mewah lain.
“Penginapan, makanan laut dan kegiatan di sini lebih murah. Sebab itu, ramai warga Singapura tertarik datang ke Semporna,” katanya.
Namun, seperti pelancong lain, beliau turut berharap aspek kebersihan dapat dipertingkatkan.
“Apabila pergi ke beberapa pulau, memang ada sampah yang kelihatan.
“Kalau dibandingkan dengan Maldives, di sana jauh lebih bersih. Jadi usaha pembersihan perlu dilakukan secara lebih menyeluruh,” katanya.
Bagi seorang jurutera dari Hougang, Encik Muhammad Haziq Sulaiman, 36 tahun, pengalaman menginap di rumah air di Semporna memberi kenangan yang sukar dilupakan.
“Saya pernah ke Maldives sebelum ini, tetapi pengalaman di Semporna hampir sama. Rumah atas air di sini sangat cantik dan suasananya cukup tenang.
“Pemandangan waktu malam memang luar biasa. Ada penyu laut, tapak sulaiman dan airnya sangat jernih. Saya rasa ini antara perjalanan terbaik pernah saya lalui,” katanya.
Beliau yang aktif dalam kegiatan memancing berkata keunikan laut Semporna sukar ditemui di tempat lain termasuk di Semenanjung Malaysia.
“Laut di sini lain. Airnya cetek dan cantik. Saya pernah ke Perak dan Terengganu, tetapi Semporna mempunyai suasana yang sangat berbeza,” katanya.
Harap tarik lebih ramai warga Singapura
Dalam pada itu, pemilik Mataking Reef Resort, Encik Jeffrey Yee, 62 tahun, berharap lebih ramai warga Singapura memilih Semporna sebagai lokasi percutian kerana pengalaman ditawarkan setanding Maldives pada harga lebih rendah.
“Saya baru pulang dari Maldives dua minggu lalu dan apabila melihat keadaan di sana, saya rasa Semporna sebenarnya sangat serupa.
“Air laut di sini sangat cantik dan harga penginapan pula jauh lebih murah. Saya harap lebih ramai ejen pelancongan Singapura dapat mempromosikan Semporna,” katanya.
Beliau berkata resortnya kini sedang membina 20 unit vila atas air baharu yang dijangka mula beroperasi Julai ini (2026) bagi memenuhi permintaan pelancong.
“Kami kini mempunyai 63 bilik dan sebahagian besar pelanggan kami ialah warga Eropah dan China. Pelancong Singapura masih kecil, sekitar 5 peratus sahaja,” katanya.
Pemilik Maglami Tour and Travel, Encik Syukryn Abd Salam, 35 tahun, pula berkata Semporna semakin menerima kehadiran pelancong antarabangsa termasuk dari China, Taiwan dan Malaysia sendiri.
Menurut beliau, syarikatnya menawarkan pakej penginapan, snorkeling, menyelam dan pelbagai sukan air kepada pelancong.
“Tahun lalu (2025) sahaja, kami menerima kira-kira 14,000 pelancong. Dalam sehari, purata antara 30 dengan 40 orang membuat tempahan.
“Kami mahu pelanggan datang sebagai pelancong dan pulang sebagai kawan.
“Dalam sebulan mungkin dua atau tiga tempahan sahaja dari Singapura.
“Tetapi kami nampak potensi besar kerana ramai warga Singapura suka pengalaman rumah atas air seperti di Maldives,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (Puspabumi), Encik Mad Zafar Mad Zahala, 57 tahun, berkata Semporna memerlukan lebih banyak penambahbaikan terutama dari segi landskap bandar dan kebersihan.
“Kita mahu Semporna menjadi daerah pelancongan yang bersih dan indah. Kalau pelancong datang tetapi keadaan bandar tidak menarik, ia memberi kesan kepada imej Sabah,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri perlu bekerjasama lebih rapat dengan pengusaha pelancongan tempatan bagi menyelesaikan isu kebersihan, jalan raya dan kemudahan awam.
Promosi lebih agresif untuk pasaran Singapura
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, pula berkata Singapura menjadi antara pasaran utama yang mahu diberi perhatian sempena Tahun Melawat Sabah 2027.
Beliau berkata pelancong Singapura masih kecil jumlahnya, namun berpotensi berkembang sekiranya promosi dilakukan secara lebih agresif.
“Kita mahu melihat lebih banyak pelancong Singapura datang ke Sabah. Kita sudah mempunyai penerbangan terus ke Kota Kinabalu dan mungkin boleh melihat bagaimana meningkatkan lagi hubungan penerbangan ini.
“Sabah mempunyai pelbagai produk pelancongan seperti pulau, hutan, budaya dan makanan yang boleh menarik pelancong antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri juga sedang mempergiat usaha membersihkan kawasan pelancongan dan membanteras pengendali resort haram demi memastikan industri pelancongan Sabah berkembang secara mampan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pula menegaskan Semporna merupakan khazanah pelancongan yang perlu dipelihara dengan sebaiknya.
“Semporna mempunyai industri pelancongan yang cukup hebat. Kalau dipelihara dengan baik, ia menjadi khazanah yang tidak ternilai bagi Sabah dan negara kita.
“Kita akan melakukan yang terbaik untuk meningkatkan kemudahan dan pembangunan pelancongan di daerah ini,” katanya.
