Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 dilihat bukan saja menjadi pentas ‘perang’ Umno terhadap Pakatan Harapan (PH) – rakan gabungan Umno/Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan, malah parti itu secara terbuka mengesahkan ‘penyatuannya’ dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Ketika berucap pada penggulungan dan penangguhan PAU 2026 pada 12 September, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memberi kata dua kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sama ada menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) atau menyingkirkan Umno daripada Kerajaan Perpaduan menerusi undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

“Sekiranya terdapat pihak yang mahu menamatkan kerjasama dengan Umno, terdapat dua pilihan yang boleh dibuat, iaitu mendapatkan semula mandat rakyat melalui PRU atau mengeluarkan Umno secara rasmi dan mengemukakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

“Ada berani ke? Kalau berani buatlah cepat. Asas pembentukan (Kerajaan Perpaduan) ialah 82 (ahli Dewan Rakyat) PH dan kita (BN) ada 30 (Ahli Parlimen). Asasnya 112 (wakil rakyat).

“Namun, daripada 112 (wakil rakyat) ini, tiga (Ahli Parlimen) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah keluar, masing-masing Datuk Seri Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Wong Chen.

“Ingatlah kerjasama kita bentuk (Kerajaan Perpaduan) atas amanah kenegaraan dan mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam ucapan di hadapan lebih 5,000 perwakilan PAU 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Kata dua oleh Datuk Zahid itu hadir selepas beliau dalam Ucapan Dasar di PAU 2026 pada 11 September, dengan lantang mendesak Datuk Anwar menyegerakan PRU16 pada 2027, sebelum tempoh tamat penggal yang dijadual pada Februari 2028.

Pada sidang media usai PAU 2026, Datuk Zahid mengakui wujud perbezaan pendapat antara Umno/BN dan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi Umno/BN mengambil sikap profesional dan menghormati perbezaan itu, sambil menegaskan parti itu menetapkan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal.

Bagaimanapun, beliau menegaskan parti itu menetapkan untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal.

Dalam ucapannya, Datuk Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, turut mengingatkan pihak yang ‘menyerang’ Umno terutama penyokong PH, bahawa Datuk Anwar menjadi Perdana Menteri atas sokongan Umno/BN.

Beliau juga dilihat terus menyindir parti lawan termasuk Datuk Anwar yang disifatkannya masih mahu mengambil tahu perkembangan PAU 2026.

“Sebenci mana pun mereka kepada Umno, mereka tetap nak ambil tahu apa yang berlaku di PAU ini, malah yang ada di India sekarang pun,” katanya, seolah-olah merujuk kepada Datuk Anwar yang kini berada di India untuk lawatan kerja sehingga 15 September.

Datuk Zahid turut merakamkan penghargaan kepada wakil pimpinan PAS yang hadir di PAU 2026 yang disifatkannya menterjemahkan isyarat positif kerjasama antara dua parti itu.

“Saya menterjemahkan ia sebagai isyarat positif bahawa ruang persefahaman terbuka dengan seluas-luasnya.

“Hubungan ini perlu diperkukuhkan bukan sekadar atas pertimbangan politik, tetapi demi perpaduan ummah. Insya-Allah kita akan terbuka untuk mengadakan tafahum siyasi dengan mereka (PAS),” ujarnya.

Tafahum siyasi diperkenalkan Umno dalam konteks ‘Kolaborasi Agung’, iaitu persefahaman antara gabungan parti politik tanpa memerlukan penggabungan organisasi.

Sebelum ini, Umno/BN telah menjalin persefahaman dengan PAS dan gabungan diterajuinya, Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan pada Ogos lalu menerusi pembahagian kerusi, yang menyaksikan pakatan itu berjaya menumbangkan kerajaan negeri PH.

Datuk Zahid berkata Umno juga bersetuju dengan saranan PAS untuk kededua parti bekerjasama bagi mengadakan himpunan perpaduan ummah, dengan sasaran menghimpunkan sejuta umat Islam.

Untuk tujuan itu, Datuk Zahid memberikan mandat kepada Ketua Pemudanya, Datuk Dr Akmal Saleh, untuk bekerjasama dengan PAS bagi menganjurkan Himpunan Perpaduan Ummah itu.

Di pentas sama, Datuk Zahid turut menzahirkan harapan Umno bagi Lembaga Pengampunan yang akan bersidang kelak, dapat memberi pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden Umno yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak.

“Secara seriusnya kita bersedih di atas keputusan yang telah dibuat oleh Lembaga Pengampunan, (tetapi) kita hormati sepenuhnya kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam keputusan pengampunan.

“Umno akur bahawa perkara ini belum dapat diselesaikan dan perlu mengikut segala proses. Namun dengan penuh takzim, Umno menaruh harapan agar pada mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang, permohonan Datuk Najib dapat dipertimbangkan sebaik-baiknya.

“Dengan segala kerendahan hati, kami di PAU yang bersidang pada 11 dan 12 September, memohon agar perkara ini dapat diberikan pertimbangan pengampunan sepenuhnya kepada Datuk Najib,” katanya sambil disambut tepukan perwakilan.

Pada 11 September, mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menangguhkan permohonan pengampunan Encik Najib ke satu mesyuarat yang akan diadakan kelak.

Encik Najib, 73 tahun, kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah atas pertuduhan menyeleweng RM42 juta ($13.07 juta) dana SRC International, sebuah syarikat yang pernah menjadi anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti