Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zahid: Cukai SST beberapa jenis buah import mungkin disemak semula 

Jun 19, 2025 | 4:50 PM
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas beberapa barangan import terpilih, termasuk buah-buahan akan dinilai semula.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas beberapa barangan import terpilih, termasuk buah-buahan akan dinilai semula. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menilai semula pelaksanaan semakan dan pengembangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas beberapa barangan import terpilih, termasuk buah-buahan seperti epal dan limau mandarin, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya percaya wajar kadar SST baru bagi barangan tertentu dikaji semula, dan mungkin akan ada pelarasan supaya sesetengah bahan dikenakan cukai antara lima hingga 10 peratus. Namun, jangan anggap itu muktamad,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Kemas di Bangi, pada 19 Jun.

Kenyataan Datuk Ahmad Zahid dibuat susulan kritikan Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin, yang menyifatkan cukai ke atas buah import “tidak munasabah” kerana menjejaskan pengguna berpendapatan rendah. “Buah-buahan ini dinikmati segenap lapisan masyarakat, bukan sekadar golongan kaya,” ujar Datuk Ameer Ali. Datuk Ahmad Zahid bersetuju pandangan itu perlu dibawa ke Jemaah Menteri.

“Hasil cukai buah-buahan tidaklah begitu tinggi. Jika SST dikenakan, harga pasti meningkat. Saya faham tujuannya melindungi buah tempatan, tetapi kita tidak menanam epal atau limau mandarin. Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi sedang meneliti isu ini,” jelas beliau.

Pada 9 Jun lalu kerajaan mengumumkan semakan kadar SST berkuat kuasa 1 Julai 2025. Barangan keperluan kekal sifar cukai, manakala kadar 5 atau 10 peratus dikenakan ke atas barangan bukan asas. Skop cukai perkhidmatan turut diperluas meliputi penyewaan premis, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Langkah ini menyusul peningkatan kadar SST keseluruhan daripada 6 peratus kepada 8 peratus pada Mac 2024, sebahagian daripada strategi fiskal Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menambah hasil negara dan mengurangkan ketergantungan kepada subsidi.

“Jika berpendapatan tinggi dan mahu menikmati avokado, silakan, tetapi bayarlah lebih sedikit kerana kita mengenakan cukai,” ujar Datuk Anwar ketika berucap di Lumut.

Ketua Pembangkang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengecam dasar baru itu sebagai “menghisap darah rakyat”. Parti Sosialis Malaysia pula memberi amaran peluasan SST mampu menjejaskan sokongan rakyat terhadap pentadbiran PM Anwar dalam pilihan raya akan datang.

Setiausaha Agung Kementerian Kewangan, Encik Johan Mahmood Merican, melihat isu tersebut dari sudut berbeza. “Harga import lebih tinggi boleh memacu permintaan buah tempatan, menyokong petani dan mengurangkan import,” katanya.

Ketua Cukai Tidak Langsung KPMG Malaysia, Encik Ng Sue Lynn, memaklumkan bahawa rundingan bersama pihak berkepentingan telah diadakan bagi memastikan cukai disasarkan kepada perbelanjaan yang bersifat pilihan dan tidak membebankan keperluan asas.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Encik Ng Yih Pyng, menggesa penangguhan peluasan SST. “Perniagaan tempatan berdepan kos operasi meningkat dan ketidaktentuan ekonomi global. Cukai tambahan menambah tekanan,” ujarnya.

Selain cukai baru, sektor industri dijangka menanggung pelarasan tarif elektrik mulai 1 Julai serta pengurangan subsidi petrol RON95 menjelang akhir 2025. Kerajaan turut menimbang larangan penggunaan gas memasak bersubsidi di premis makanan komersial, langkah yang berpotensi menaikkan kos makan di luar.

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan mengunjurkan peluasan SST mampu menjana RM5 bilion ($1.51 bilion) tambahan, menjadikan kutipan cukai penggunaan RM51.7 bilion.

“Keutamaan kami ialah mendahulukan kesejahteraan rakyat sambil memperkukuh fiskal negara. Kami terbuka menyesuaikan dasar asalkan seimbang antara hasil dan kemampuan pengguna,” tegas Datuk Ahmad Zahid.

Kerajaan dijangka mengumumkan keputusan muktamad mengenai kadar SST buah import selepas mesyuarat Kabinet minggu hadapan. Sehingga itu, rakyat menunggu sama ada harga epal, avokado dan limau mandarin di rak pasar raya akan kekal atau melonjak bersama cukai lima peratus.- Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg