Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zahid: Umno tolak tindakan hidang arak dalam majlis kerajaan

Oct 6, 2025 | 1:01 PM
Zahid, kerajaan, Malaysia, alkohol
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

JOHOR BAHRU: Umno menolak keras tindakan menghidangkan minuman beralkohol dalam satu program kerajaan Malaysia yang melibatkan Tourism Malaysia dan akan membawa perkara itu ke perbincangan dalam mesyuarat Kabinet.

Pengerusi Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan parti itu menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar dan bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam.

Menurut Datuk Ahmad Zahid, walaupun kerajaan menghormati agama dan budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia, penganjuran acara rasmi kerajaan perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Tentunya kita harus menolak dan kita mesti tidak bersetuju dengan program berkenaan. Malaysia adalah negara Islam, biarpun kita menghormati agama, budaya dan kelaziman lain-lain agama. Tetapi ini merupakan acara kerajaan,” katanya, lapor Kosmo!.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor, pada 5 Oktober.

Datuk Ahmad Zahid berkata perkara itu juga akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri bagi menyatakan pendirian Umno terhadap cadangan berkenaan.

“Sebagai Presiden Umno, kita menolak 100 peratus cadangan itu. Acara seperti (penyediaan minuman beralkohol) tidak pernah diadakan dalam mana-mana program rasmi kerajaan sebelum ini dan ia perlu ditolak,” tegasnya.

Pada 5 Oktober, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, menegaskan Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah, yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta ($128.9 juta).

Jelasnya, acara makan malam yang dijadikan isu oleh Ahli Parlimen (AP) Masjid Tanah (Melaka), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, sebenarnya inisiatif pihak industri dan sektor swasta.

Beliau berkata, memandangkan Tourism Malaysia buat julung-julung kalinya menganjurkan acara peringkat sejagat sedemikian, pihak industri dan sektor swasta teruja sehingga berhasrat menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam itu.

Bagaimanapun, beberapa pihak termasuk mantan menteri dan mantan ahli Umno, Encik Khairy Jamaluddin, mendedahkan surat jemputan dan dokumen yang dipercayai menunjukkan bukti program itu dianjurkan Tourism Malaysia.

Terdahulu, Datuk Mas Ermieyati di media sosialnya mengkritik tindakan itu dan menuntut penjelasan Kementerian Pelancongan mengenai video tular memaparkan minuman beralkohol dihidangkan secara bebas pada program berkenaan yang disifatkan melanggar etika majlis rasmi kerajaan dan mencabar sensitiviti umat Islam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg