KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia melancarkan Zon Khas Kewangan (SFZ) Forest City pada 20 September, dengan pelbagai insentif bakal ditawarkan untuk merangsang aktiviti ekonomi di Johor.
Pengerusi jawatankuasa pelaburan, perdagangan, hal ehwal pengguna dan sumber manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata pada 16 September bahawa “pakej dan insentif akan ditawarkan kepada syarikat kewangan insurans dan lain-lain”, menurut agensi berita Bernama, lapor The Straits Times.
Encik Lee berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai SFZ Forest City pada satu sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin di Johor Bahru.
Beliau berkata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dijangka menghadiri pelancaran SFZ dan akan jelaskan kepentingan zon itu.
Pada Julai, Johor mencatatkan RM5.2 bilion ($1.2 bilion) dalam eksport, terutama dalam sektor seperti petrokimia dan kimia, elektrik dan elektronik, dan bahan bukan logam, dedah Encik Lee.
Johor, Selangor dan Pulau Pinang menguasai eksport Malaysia, membentuk 70.6 peratus daripada jumlah eksport pada Julai, lapor Bernama, memetik Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Projek SFZ di Forest City kali pertama kali diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 25 Ogos 2023.
Beliau berkata insentif yang akan diperkenalkan termasuk menerima visa berbilang kemasukan, kemasukan pantas bagi mereka yang bekerja di Singapura, dan kadar cukai pendapatan rata sebanyak 15 peratus untuk pekerja berkemahiran tinggi.
Malaysia telah meluluskan peraturan yang membolehkan sebuah pulau di bawah pembangunan Forest City diwartakan sebagai zon bebas cukai sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan bandar besar itu yang dilanda pelbagai isu.
Parlimen Malaysia pada 17 Julai pula meluluskan lima rang undang-undang pindaan untuk menjadikan Pulau Satu sebagai pulau bebas cukai, bersama Labuan, Langkawi, Tioman dan Pangkor.
Undang-undang itu kini tertakluk kepada kelulusan Senat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg