Ekonomi Johor mekar, lebihan hartanah tak terjual terus susut

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ekonomi Johor mekar, lebihan hartanah tak terjual terus susut

Kemajuan positif sektor perumahan didorong pertumbuhan ekonomi dan pelaburan baru
Feb 12, 2026 | 1:31 PM

Ekonomi Johor mekar, lebihan hartanah tak terjual terus susut

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
ekonomi, hartanah, Johor Bahru, Datuk Mohd Jafni Md Shukor
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kiri), menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan Sumbangan Tahun Baru Cina 2026 di Dewan Bandar Putra, Kulai. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

Lebihan hartanah tidak terjual di Johor terus menyusut, isyarat kemajuan positif sektor perumahan negeri itu yang didorong oleh pertumbuhan ekonomi dan kemasukan pelaburan baru.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, mendedahkan kira-kira 20 projek perumahan baru sedang rancak dibina dan dijangka siap menjelang akhir 2026 dan 2027, terutama di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Kota Iskandar dan Johor Bahru.

Beliau menambah, unit tidak terjual sebelum ini mencecah 13,000 pada 2023 kini telah merosot kepada sekitar 10,000 unit (2025), dengan kebanyakannya melibatkan kediaman bertingkat tinggi.

Rumah berhalaman seperti banglo dan rumah teres dua tingkat, katanya, hampir habis dijual.

“Untuk hartanah bertanah, sekitar 99 peratus telah terjual. Penurunan lebihan hartanah ini menunjukkan keadaan ekonomi negeri semakin baik,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tahun Baru Cina 2026 di Dewan Bandar Putra, Kulai.

Perkembangan pesat ekonomi Johor termasuk pelaksanaan JS-SEZ mendorong kemasukan pelabur asing dan meningkatkan permintaan perumahan.

Katanya, Johor merekodkan pelaburan kira-kira RM91.1 bilion ($29.2 bilion) pada suku ketiga 2025, manakala hasil negeri meningkat daripada sasaran RM2 bilion kepada sekitar RM2.67 bilion pada 2025.

“Kita menjangkakan ekonomi Johor akan terus berkembang. Apabila pelaburan meningkat, permintaan kediaman juga akan bertambah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, lebihan unit yang masih ada adalah rumah berharga sekitar RM500,000 ke atas, khususnya pangsapuri di kawasan bandar Johor Bahru yang menyasarkan golongan berpendapatan sederhana.

Kawasan Pasir Gudang yang mempunyai ratusan industri berat turut menyumbang kepada permintaan perumahan, selain pembangunan perbandaran yang semakin pesat.

Terdahulu, Datuk Mohd Jafni dilaporkan berkata jumlah kediaman tidak terjual di Johor menunjukkan penurunan ketara menyusuli peningkatan permintaan terhadap pasaran hartanah negeri itu.

Fenomena ini ketara khususnya di kawasan strategik berhampiran pembangunan pesat dan jajaran projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.

Mengulas sektor pelancongan, Datuk Mohd Jafni memaklumkan lebih 100 program di seluruh negeri dirancang sempena Tahun Melawat Johor 2026 yang melibatkan kesemua 10 daerah.

Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga program berskala besar telah dilaksanakan, manakala puluhan lagi kegiatan kebudayaan dan pelancongan sedang berjalan.

“Program bukan tertumpu di satu tempat sahaja. Setiap daerah ada kegiatan masing-masing dan kita lihat peningkatan kedatangan pelawat, termasuk dari Singapura dan negeri lain,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, sebuah tarikan pelancongan baru termasuk zoo malam dijangka dibuka sekitar pertengahan hingga suku ketiga 2026, sekali gus menambah pilihan destinasi kepada pengunjung.

Menurutnya, peningkatan kehadiran pelawat terutama pada hujung minggu menjadi petunjuk bahawa sektor pelancongan Johor semakin rancak dan memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg