Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 dibawa ke hospital selepas dahan pokok besar hempap kereta di ECP

Dec 1, 2025 | 6:29 PM
Gambar kereta MPV merah ini tular di media sosial setelah dahan besar menghempapnya pada 29 November di ECP dan mengakibatkan kerosakkan teruk.
Gambar kereta MPV merah ini tular di media sosial setelah dahan besar menghempapnya pada 29 November di ECP dan mengakibatkan kerosakkan teruk. - Foto TANGKAP LAYAR @STOMP

Tiga orang telah dibawa ke hospital selepas dahan pokok yang besar menghempap sekurang-kurangnya dua kereta di lebuhraya East Coast Parkway (ECP) pada petang 29 November.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan polis berkata mereka dimaklumkan mengenai satu kemalangan melibatkan sebuah treler dan lima kereta di ECP menghala ke arah kota, sebelum susur keluar Fort Road, pada sekitar 1.35 petang.

Seorang pemandu kereta lelaki berusia 71 tahun dan penumpang lelakinya berusia 32 tahun, serta seorang lagi pemandu kereta lelaki berusia 70 tahun, telah dihantar ke Hospital Raffles dalam keadaan sedar.

Dua individu lain dinilai mengalami kecederaan ringan, tetapi menolak untuk dibawa ke hospital.

Sebagai respons kepada pertanyaan akbar The Straits Times (ST), Lembaga Taman Negara (NParks) berkata mereka dimaklumkan mengenai insiden “dahan pokok patah” itu sekitar 2 petang.

Encik Oh Cheow Sheng, pengarah kumpulan bagi streetscape di NParks, berkata satu kenderaan tinggi yang melalui lorong pertama telah melanggar dahan pokok (Samanea saman), menyebabkan ia patah dan menghempap kenderaan di belakangnya di lorong pertama dan kedua.

Beliau menambah bahawa halangan itu telah dibersihkan sekitar 3.30 petang, dan NParks sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menghubungi pihak yang terjejas.

Apabila pihak ST tiba di lokasi sekitar 2.45 petang, beberapa kereta dilihat berhenti di sepanjang lorong paling kanan lebuh raya, yang telah ditutup oleh pihak berkuasa.

Antara kenderaan tersebut ialah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna merah yang kelihatan mengalami kerosakan teruk. Satu dahan pokok besar tersangkut di bahagian hadapan kabin penumpang, terjulur dari cermin hadapan yang pecah.

Bumbung kereta itu remuk dan sebahagian ‘bumper’ hadapannya tercabut manakala beberapa bahagian dahan itu turut tersekat pada sisi kiri ‘bumper’ hadapan.

Sebuah kereta putih juga mengalami kerosakan teruk, dengan bonetnya kemek dan jerijinya terkeluar.

Satu dahan patah berdiri tegak di atas tempat duduk penumpang hadapan, dengan cermin hadapan yang pecah tertolak masuk ke bahagian dalam kereta. Sebahagian bumbung kereta itu terlipat, manakala pintu penumpang sisi kiri terbuka.

Menurut satu foto yang dikongsi dalam talian, dua kereta lain juga berhenti beberapa meter di belakang MPV merah tersebut. Satu dahan pokok yang jatuh menghalang trafik di lorong bersebelahan kereta-kereta itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg