Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemandu didakwa sebab kerosakan $1.4j pada terowong CTE, pernah terlibat kesalahan serupa

Juga didakwa pandu kenderaan lebih tinggi daripada 4.5 meter tanpa diiringi polis
Jul 30, 2025 | 4:51 PM
langgar terowong CTE
Pelanggaran yang berlaku sekitar tengah hari 8 November 2024 telah menyebabkan kerosakan teruk pada beberapa struktur seperti penghalang had ketinggian dan unit elektrik terowong. - Foto TANGKAP LAYAR SINGAPORE ROADS ACCIDENT.COM/FACEBOOK

Seorang lelaki yang didakwa menyebabkan kerosakan bernilai sekitar $1.4 juta pada terowong Ekspreswe Central (CTE) selepas cuba memandu sebuah lori tinggi ke dalamnya, didapati pernah terlibat dalam kesalahan serupa sebelum ini.

Tanpa mendedahkan butiran kejadian sebelumnya, polis mengatakan bahawa warga China, Lai Daohong, 55 tahun, didakwa melakukan kesalahan terbaru pada 8 November 2024.

Untuk kes itu, Lai telah hadir di mahkamah pada 30 Julai dan didakwa menyebabkan kenderaan itu merempuh harta pemerintah, lapor The Straits Times (ST).

Dia juga didakwa memandu kenderaan yang lebih tinggi daripada 4.5 meter tanpa diiringi anggota polis atau polis bantuan.

Menurut siasatan polis, dia sedang memandu lori “dengan bum kren yang dinaikkan apabila bum kren itu merempuh penghalang had ketinggian dan terowong semasa memasuki jalan susur di Cairnhill Road ke terowong CTE”.

Pelanggaran tersebut, yang berlaku sekitar tengah hari, menyebabkan kerosakan teruk pada struktur seperti halangan had ketinggian dan unit elektrik terowong itu.

Akibatnya, jalan susur itu ditutup hingga selepas 10 malam pada hari yang sama selepas kerja pemulihan selesai.

Tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu, dan pegawai polis menangkap Lai pada hari tersebut.

“Ini adalah kali kedua dia melakukan kedua-dua kesalahan tersebut,” kata jurucakap polis.

Pada November 2024, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan bahawa terowong itu tidak mengalami kerosakan struktur.

Rakaman video kamera papan pemuka (‘dashcam’) yang dimuat naik di Facebook SG Road Vigilante menunjukkan sebuah lori kuning dengan kren tinggi mendekati pintu masuk terowong itu.

Kren tersebut melanggar dahan pokok dan penghalang had ketinggian sebelum bertembung dengan pintu masuk terowong itu, apabila lori itu mula memperlahankan kelajuannya.

Satu lagi rakaman video kamera papan pemuka daripada kenderaan lain yang memasuki terowong itu sebelum jalan susur ditutup menunjukkan banyak kabel tergantung dari siling terowong tersebut.

Sidang praperbicaraan Lai akan diadakan pada 29 Ogos.

Bagi kesalahan memandu kenderaan berat yang merempuh bangunan atau struktur, pesalah kali pertama boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda hingga $5,000. Pesalah berulang boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda hingga $10,000.

Bagi kesalahan memandu kenderaan berat melebihi 4.5 meter tanpa iringan polis, pesalah kali pertama boleh dipenjara hingga tiga tahun dan didenda hingga $2,000.

Pesalah berulang boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda hingga $5,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg