Niat asal hanya mahu memelihara empat ekor kucing sebagai teman di rumah.

Namun, akibat kekurangan wang untuk menjalankan prosedur kembiri, seorang pemilik kucing terpaksa berdepan dengan situasi luar kawalannya apabila jumlah haiwan peliharaannya melonjak kepada 45 ekor.

Pada 21 April, pemilik itu telah menghubungi seorang penyelamat kucing, Cik Norliza Kamardin, setelah buntu mencari jalan keluar bagi kebajikan kucing-kucing tersebut.

Cik Norliza, 52 tahun, yang aktif di TikTok menggunakan nama ‘lizkammie1’, sering kali berkongsi isu berkenaan kucing dan meminta bantuan bagi menguruskan hal penjagaan haiwan tersebut yang diabaikan atau didera sejak 2023.

Menurut Cik Norliza, pemilik itu – yang enggan mendedahkan identitinya – terpaksa bertindak segera selepas dikunjungi pegawai Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), menyusuli aduan jiran mengenai bau yang kurang menyenangkan dari unit tersebut.

Jenis kucing Parsi dan kucing belang mencari rumah dan pemilik baharu setelah prosedur kembiri.
Jenis kucing Parsi dan kucing belang mencari rumah dan pemilik baharu setelah prosedur kembiri. - Foto ihsan NORLIZA KAMARDIN

“Pemilik diberi amaran agar masalah itu diselesaikan dengan segera. Jika tidak, pihak berkuasa mungkin terpaksa mengambil kucing-kucing tersebut.

“Apabila saya bertanya tentang pengurusan kebersihan, pemilik mendedahkan beliau hanya mempunyai empat bekas pasir untuk 45 ekor kucing dan itu tidak mencukupi.

“Selain itu, kesemua 45 kucing juga tidak dikembirikan. Ini bermakna bau kencing mereka lebih kuat berbanding kucing yang telah dikembirikan, selain kekurangan tempat bekas pasir,” jelas Cik Norliza apabila dihubungi Berita Harian (BH).

Tanpa berlengah, Cik Norliza pun memuat naik video di TikTok yang menunjukkan kucing-kucing itu dan meminta agar sesiapa yang ingin membantu boleh menyalurkan derma ataupun boleh memilih untuk memelihara kucing tersebut.

Sebanyak 40 ekor kucing campuran Parsi dan kucing belang berwarna hitam mencari kediaman baharu sementara pemilik asal akan kekal menjaga lima ekor kucing.

Namun proses mengambil dan menjaga kucing mempunyai saringan yang ketat.

Ini termasuk memastikan rumah dipasang jaring keselamatan, atau mesh, dengan pemilik baharu dalam keadaan kewangan yang stabil, serta komitmen untuk memberi makanan basah dua kali sehari.

Sebelum menyerahkan kucing-kucing itu kepada pemilik baharu, Cik Norliza menganggarkan dana sebanyak $2,000 diperlukan untuk kos penginapan, selain makanan dan pasir kucing.

“Terdapat juga empat ekor kucing yang memerlukan rawatan kecemasan bagi masalah jangkitan saluran kencing (UTI) dan kecederaan patah kaki,” tambahnya.

Namun, dalam perkembangan terbaru, menerusi hantaran di TikTok pada 23 April, Cik Norliza melahirkan rasa kagum dan syukur apabila orang ramai tampil menghulurkan bantuan dalam masa yang singkat.

“Saya sangat terharu melihat bagaimana semua orang bersatu hati membantu keluarga ini.

“Segala kos sudah ditanggung buat masa ini, sehinggalah kami memindahkan kucing-kucing ini ke tempat boarding lain untuk mereka berehat dan sembuh (selepas dikembirikan).

“Kesemua kucing juga telah dijadualkan untuk dihantar bagi prosedur kembiri, bermula 27 April,” kongsi Cik Norliza dengan nada gembira.

Berdepan dengan pelbagai isu penjagaan kucing, Cik Norliza ingin menyampaikan mesej penting:

“Bantuan sentiasa ada. Saya menyarankan pemilik kucing yang memegang kad Chas (Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat) biru untuk menghubungi Persatuan Kebajikan Kucing bagi mendapatkan khidmat kembiri dan mikrocip secara percuma terutama untuk golongan berpendapatan rendah.

“Prosedur kembiri bukan sahaja mengawal populasi, malah lebih baik untuk kesihatan haiwan tersebut.

“Memelihara haiwan adalah komitmen seumur hidup. Jika tidak mampu, janganlah memelihara.”