Sejak pandemik Covid-19, Cik Norliza Kamardin, menyaksikan sendiri peningkatan kes pembuangan kucing di Singapura.
Sebagai penyelamat kucing selama hampir tiga tahun, beliau melihat tiga faktor yang mendorong isu itu.
Antaranya ialah masalah kewangan, pembiakan berlebihan dan perubahan gaya hidup apabila pemilik kucing kembali ke sekolah atau bekerja di pejabat.
“Saya mula menyelamatkan kucing kerana memang dari kecil saya suka dengan kucing.
“Tapi lama-kelamaan, saya nampak semakin banyak kes kucing dibuang dan didera, terutama selepas Covid-19,” dedah Pengarah Jualan di SGX berusia 52 tahun itu ketika ditemu bual Berita Minggu (BM).
“Ramai mengambil kucing semasa mereka duduk di rumah, tetapi bila kerja sudah mula semula, kucing itu jadi mangsa,” tambah Cik Norliza.
Menurutnya, ada di antara pemilik kucing yang tidak mampu menanggung kos penjagaan kucing tersebut.
“Masalah nombor satu ialah kewangan. Banyak kucing yang saya selamatkan tidak dikembiri.
“Kos kembiri kucing betina di klinik swasta boleh mencecah $200 hingga $400.
“Bila mereka tidak mampu, kucing beranak lagi dan akhirnya dibuang. Justeru isu ini tidak berhenti,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa kucing yang biasa duduk di rumah tidak pandai bertahan di luar.
“Kucing ini sudah biasa duduk rumah. Bila dibuang, mereka tidak tahu cari makan atau mereka akan bergaduh dengan kucing lain. Itu sangat kejam untuk mereka.
“Pemilik kucing perlu fikir dua kali sebelum ambil kucing. Mereka bukan hanya comel buat sementara waktu. Ia komitmen seumur hidup,” tegas Cik Norliza.
Rumah Cik Norliza kini menjadi tempat perlindungan sementara untuk beberapa ekor kucing pada satu-satu masa.
“Saya ada mak cik dan pak cik yang saya kenali untuk membantu menjaga kucing yang diselamatkan sebelum saya cari rumah baru untuk kucing-kucing tersebut,” jelasnya, yang mempunyai dua orang anak berusia dalam lingkungan 20-an tahun.
Proses itu bukan mudah kerana setiap kucing perlu diperiksa, dirawat dan disiapkan untuk pemilik baru.
Untuk mempercepat proses pencarian pemilik baru, beliau menggunakan TikTok sebagai wadah utama.
“Saya aktif di TikTok di bawah akaun ‘Lizkammie1’ untuk berkongsi kucing-kucing yang saya selamatkan.
“Dengan cara ini, lebih ramai orang (akan) melihat dan peluang untuk mendapatkan rumah baru untuk kucing-kucing itu lebih tinggi,” katanya.
Menurutnya, kucing yang ‘cantik’ biasanya cepat diambil pemilik baru, manakala kucing ‘biasa’ sering diabaikan.
“Kucing ‘cantik’ semua orang suka, kucing ‘biasa’ lebih susah untuk mendapat pemilik baru.
“Kadang-kadang saya terpaksa pelihara yang ‘biasa’ ini lebih lama. Padahal mereka yang paling manja. Sebab itu kita perlu mengajar masyarakat untuk hargai semua kucing, bukan yang cantik sahaja.”
Walaupun terdapat bantuan seperti daripada Persatuan Kebajikan Kucing (CWS) untuk keluarga berpendapatan rendah mengembiri kucing peliharaan, tidak ramai yang tahu mengenainya.
Akibatnya, Cik Norliza terpaksa menanggung kos penjagaan apabila kucing dibuang.
“Saya membelanjakan antara $3,000 dengan $4,000 sebulan untuk makanan, rawatan perubatan dan vaksinasi. Semua dari saya sendiri,” katanya.
Cik Norliza turut menambah bahawa ada juga pemilik yang membuang kucing disebabkan konflik keluarga, kerana tiada perbincangan dengan mereka sebelum memelihara kucing.
“Ada yang mesej saya di Facebook yang berkata suaminya tidak suka kucing. Jadi saya selalu pesan, kalau ingin memelihara kucing, satu keluarga perlu bersetuju.
“Kalau ada yang mempunyai alahan atau tak sanggup nak beri makan, ia akan menjadi masalah. Justeru bincang dulu, kalau tidak, kucing itu menjadi mangsa,” ujarnya.
Walaupun berdepan tekanan mental, Cik Norliza tetap cekal untuk terus membantu kucing-kucing itu.
“Kadang-kadang saya rasa murung bila memikirkan tentang kucing di luar yang kelaparan.
“Tapi bila lihat mereka mendapat rumah baru, jadi gemuk dan bahagia, perasaan puas hati itu tidak boleh diganti,” ujarnya.
Bagi Cik Norliza, mendidik masyarakat adalah kunci untuk menangani isu itu.
“Kasih sayang terhadap haiwan seperti kucing mesti bermula dari rumah.
“Ibu bapa perlu mengajar anak supaya tidak menyakiti haiwan. Sekolah juga perlu main peranan (dan) mengajar tentang tanggungjawab pelihara haiwan,” katanya.
Beliau turut berharap undang-undang lebih ketat dikenakan terhadap pembiak kucing tidak berlesen dan pemilik yang membuang haiwan peliharaan mereka.
“Kes pembuangan kucing adalah satu bentuk penderaan. Mereka patut didenda supaya mereka berfikir dua kali sebelum mengambil kucing,” katanya.
“Kalau boleh, saya mahu selamatkan semua kucing. Tapi saya buat setakat yang saya mampu.
“Bila saya lihat kucing bahagia di rumah baru, itu sudah cukup buat saya rasa semua usaha ini berbaloi.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg