Anak muda hasilkan gitar elektrik guna kayu pokok ditanam di S’pura
Anak muda hasilkan gitar elektrik guna kayu pokok ditanam di S’pura
Cinta pada muzik disemai hasil pengaruh ibu bapa, di samping minat pada seni kejuruteraan bagi menghasilkan alat muzik itu
Selepas menyatakan dalam satu temu bual TikTok bahawa beliau ingin menghasilkan sebuah gitar elektrik sepenuhnya menggunakan kayu daripada pokok yang tumbuh di Singapura, pencipta kandungan dan penyedia perkhidmatan gitar sepenuh masa, netizen mencabar Encik Muhammad Hazieq Muhammad Nizam, untuk mengotakan apa yang dikatakannya.
Dengan pengalaman lebih 10 tahun dalam alat muzik gitar, Encik Hazieq menghabiskan berbulan menjalankan penyelidikan, mendapatkan bahan, serta melakukan kerja pertukangan untuk merealisasikan impiannya.
Jejaka berusia 28 tahun itu turut merantau ke Hulu Langat, Malaysia, untuk menimba ilmu daripada bekas gurunya, Encik Jeffrey Yong – yang ujar Encik Hazieq ialah salah seorang pembuat gitar terbaik di dunia dengan bengkelnya terletak di puncak gunung.
Bagi Encik Hazieq, menjalani latihan di bawah bimbingan guru tersebut merupakan antara detik yang penuh inspirasi baginya untuk terus meneroka bidang membuat gitar.
Ini bukanlah kali pertama beliau menerima bimbingan daripada gurunya itu.
Pada 2023, beliau pernah membuat sebuah gitar akustik bersama Encik Jeffrey dengan menggunakan kayu dan sumber yang diperoleh khususnya dari Malaysia.
Proses menghasilkan gitar itu memakan masa hampir tiga minggu untuk selesai, tambahnya.
Kini beliau telah berjaya menyiapkan gitar elektriknya pada akhir Januari lalu selepas membuatnya selama dua minggu berturut-turut.
Bagi Encik Hazieq, yang mempunyai sebuah kedai membaiki gitar, menghasilkan alat muzik itu bukan sekadar satu minat, malah, sebahagian daripada perjalanan hidupnya.
Muzik dan seni memainkan peranan penting sedang usianya meningkat, dengan ayahnya juga seorang pemain gitar sementara ibunya pula bekas penari.
“Kenangan zaman saya kecil yang paling diingati adalah ketika ayah bermain gitar sementara ibu menari.
“Dari situ saya mula cintakan muzik bukan sekadar dengan alat muzik itu sendiri, bahkan juga dengan seni kejuruteraan di sebaliknya,” kata jejaka yang masih bujang itu ketika dihubungi BH.
Sejak usia 16 tahun lagi beliau sudah memulakan perniagaannya sendiri dengan menjadi tukang membaiki gitar.
“Ruang perlindungan bom dalam flat dua bilik keluarga saya merupakan ruang kerja saya sebelum saya membuka kedai sendiri pada 2023,” tambahnya yang kini mempunyai kedai yang menawarkan perkhidmatan memperbaiki gitar, ‘Wax Guitar Services’, di Bukit Timah.
Pada awal 2026, beliau memulakan projek menghasilkan gitar elektrik pertamanya dengan menggunakan kayu-kayan daripada pokok yang tumbuh di Singapura setelah hampir dua bulan menjalankan kajian teliti.
Antara kayu yang digunakan dalam menghasilkan gitar itu termasuklah pokok Tembusu untuk leher gitar; pokok Angsana untuk papan jari atau fretboard; dan ‘Samanea Saman’ atau pokok Sena untuk badan utama gitar.
“Ramai penduduk Singapura meragui mutu bahan tempatan kita.
“Gitar ini dibina menggunakan kayu tempatan Singapura – bahkan daripada pokok warisan kita. Kita mempunyai pokok-pokok ini di merata tempat, tetapi kita sering tidak mempedulikannya.
“Matlamat saya adalah untuk membuat gitar dengan jenama sendiri menggunakan kayu Singapura,” kongsi anak kedua empat beradik itu.
Sebelum memilih kayu yang sesuai, Encik Hazieq membandingkan pelbagai jenis kayu di Singapura dengan kayu yang biasa digunakan dalam industri gitar dengan menilai tahap ketumpatannya.
“Proses ini tidak semudah yang disangka... saya harus elak menggunakan kayu segar (daripada pokok yang baru tumbang) akibat kelembapan yang dikandungi.
“Jadi saya perlu cari kayu di kedai yang telah menjalani proses pengeringan terlebih dahulu supaya sesuai digunakan,” katanya yang juga berkongsi terdapat peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi apabila membeli kayu di Singapura.
Namun, beliau mengakui perjalanannya dalam bidang membuat gitar dianggapnya ‘sunyi’.
“Melakukan sesuatu yang sangat khusus ini memang merupakan perjalanan yang sepi.
“Saya bekerja secara sendirian dan kadangkala orang ramai kurang faham tentang kepentingan pembaikan gitar sebagai satu bentuk seni dan kemahiran teknikal yang mendalam,” katanya.
Walaupun pada awalnya ibu bapa beliau bimbang kerana memilih bidang yang tidak dijangka, kini mereka reda dan memberikan sokongan penuh, serta mengiktirafnya sebagai seorang tukang gitar yang mahir.
Encik Hazieq bercadang menyambung pengajian sarjana dalam bidang membuat gitar di luar negara demi merealisasikan impiannya untuk menghasilkan gitar di bawah jenama sendiri.

