Sedang usianya memasuki awal 70-an tahun, Cik Rosemina Hamzah, mula mengalami sakit lutut ketika bersujud sewaktu mendirikan solat.
Melihat keadaan itu, Cik Siti Maryam Abdul Rahman, 32 tahun, menggalakkan ibunya, Cik Rosemina, kini 72 tahun, agar mula berlatih di gimnasium, dan Cik Maryam sendiri menjadi jurulatih peribadinya.
Cik Maryam, jurulatih di gimnasium Anytime Fitness, mahu melatih ibunya sendiri kerana tidak bersetuju dengan adik-beradiknya yang ingin membelikan Cik Rosemina, alat mobiliti peribadi (PMD).
“Kalau kita galakkan, sebenarnya ia akan membuatkan ibu lebih menderita kerana dia hanya akan bergantung kepada PMD dan enggan berjalan jauh,” kata Cik Maryam.
Cik Maryam, anak kelima daripada enam beradik itu secara rasmi menjadi jurulatih peribadi Cik Rosemina sejak Ogos 2022.
Minat Cik Maryam terhadap dunia kecergasan bermula sejak beliau hamil dan bergelar ibu.
Ibu kepada empat anak itu berkata beliau mahu membantu orang ramai terutama kaum wanita yang menghadapi cabaran dalam kesihatan dan kecergasan.
Bagi Cik Rosemina, bersenam bukan perkara asing.
Sebelum ini, beliau kerap bersenam dan rajin berbasikal ke tempat kerja ketika beliau bertugas sebagai tukang masak.
Namun, disebabkan faktor usia dan kesihatan, beliau tidak lagi boleh berbuat demikian.
Beliau kemudian mula mengikut rutin anaknya di gimnasium, dan melihat perubahan selepas hampir empat bulan dan berlatih tiga hari seminggu selama dua jam.
Kini, Cik Rosemina sudah kembali berbasikal tanpa rasa sakit dan dapat bersujud ketika beribadah tanpa rasa lenguh di lututnya.
Latihan yang dilalui oleh Cik Rosemina di gimnasium Anytime Fitness, di E!Hub Downtown East terdiri daripada senaman kardio dan latihan kekuatan.
“Sekarang ibu boleh mengangkat berat daripada lima kilogram (kg) kepada 11kg sebanyak 11 ulangan dalam masa yang singkat untuk senaman chest press (senaman dada); dan sebanyak 20kg untuk senaman leg press (senaman kaki),” kata Cik Maryam.
Walaupun pada mulanya letih, takut dan berasa dirinya “terlalu tua” untuk ke gimnasium, sikap Cik Rosemina kini jauh berbeza.
“Dulu saya rasa takut sebab tidak pernah melangkah masuk ke gim tapi sekarang tiada lagi senaman yang saya rasa sukar untuk dibuat,” katanya.
Cik Maryam yang turut bekerja sambilan sebagai pembantu di kedai runcit pakaian sukan, Lululemon, mengubah suai jadual latihan.
Ia khusus untuk mengikut keadaan kesihatan ibunya yang mempunyai tekanan darah tinggi, kolesterol serta kencing manis.
Justeru, matlamat Cik Maryam adalah agar ibunya dapat meningkatkan mobiliti dan kekuatannya.
Selain ibunya, rata-rata pelanggan Cik Maryam merupakan wanita dalam lingkungan umur 20 tahun hingga 60 tahun.
Mereka memberi tumpuan pada latihan kekuatan, pemulihan kecederaan dan proses penuaan yang sihat.
Cik Maryam percaya kejayaan pelanggan terletak kepada keyakinan diri dan motivasi mereka.
Melatih ibunya sendiri turut memberi beliau pengajaran tentang bagaimana kepercayaan dan penerimaan dapat membantu melancarkan proses.
Perjalanan mereka bukan sahaja tentang menangani masalah kesihatan, bahkan juga usaha mengeratkan hubungan.
Setiap masa di gimnasium memberikan pasangan itu dan anak itu ruang untuk berkongsi tentang hal peribadi dan meluangkan masa bermutu bersama.
Kini, Cik Rosemina turut merupakan inspirasi kepada keluarga, rakan dan juga orang ramai di wadah seperti TikTok untuk memulakan gaya hidup sihat.
Dalam masa yang sama, Cik Maryam berharap kisah ibunya dapat menghapuskan stereotaip bahawa usia lanjut adalah penghalang untuk seseorang itu kekal aktif dan cergas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg