Topik diikuti
Pergi ke BHkuAplikasi baharu galak kunjungan ke masjid
Aplikasi baharu galak kunjungan ke masjid
Aplikasi baharu galak kunjungan ke masjid
Setelah memerhati jumlah jemaah masjid di Singapura berkurangan sebaik sahaja Ramadan berakhir, Encik Tengku Muhammad Hafidzuddin Tengku Ibrahim mengambil peluang untuk menjadikan kehadiran ke masjid sebagai satu kebiasaan sepanjang tahun, bukan amalan yang bermusim.
Atas tujuan itu, beliau yang berusia 34 tahun, membangunkan GoMosque.sg, sebuah aplikasi untuk mengekalkan tabiat ke masjid sepanjang tahun.
Menurut Encik Tengku Hafidzuddin, pengasas bersama syarikat 10KB, idea tersebut tercetus apabila menyedari ramai umat Islam bersemangat menghadiri masjid sepanjang Ramadan, namun sukar mengekalkan momentum tersebut selepas bulan puasa berlalu.
Dengan menggunakan pendekatan yang dikatakan hampir serupa dengan peranti penjejak kecergasan yang biasa digunakan untuk merakam hasil senaman seseorang, Encik Tengku Hafidzuddin mengadaptasi konsep sama dalam GoMosque.sg dengan menggunakan unsur permainan (gamification) bagi membantu membina tabiat secara konsisten.
Antara ciri-ciri yang ditawarkan ialah passport yang membolehkan pengguna mengumpul cop digital setiap kali mengunjungi masjid berbeza di Singapura, serta papan kedudukan mingguan untuk memberi pengguna gambaran tentang kemajuan mereka berbanding pengguna lain.
“Unsur persaingan itu direka sebagai dorongan untuk membina tabiat, bukannya mengukur tahap keimanan seseorang,” kata Encik Tengku Hafidzuddin ketika dihubungi.
Menurutnya, kesemua 70 masjid di Singapura disenaraikan dalam aplikasi itu, sekali gus menggalakkan pengguna meneroka dan mengenali masjid di seluruh negara, bukan hanya masjid yang biasa mereka kunjungi.
Selain itu, aplikasi tersebut yang dilancarkan pada April, juga menawarkan sistem daftar masuk ataupun (check-in) berasaskan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) yang membolehkan pengguna mengesahkan kehadiran mereka apabila berada di kawasan berdekatan masjid.
“Kebanyakan umat Islam di Singapura ingin lebih kerap ke masjid, namun tiada sesuatu yang membuatkan mereka merasakan setiap kunjungan itu membina satu kemajuan,” jelas Encik Tengku Hafidzuddin.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), adiknya, Encik Tengku Abdullah Faiz Tengku Ibrahim, yang mengendalikan aspek pemasaran GoMosque.sg, berkata pendekatan gamification diterapkan sebagai mekanisme.
“Ia diterapkan sebagai pembentukan tabiat. Dengan adanya papan kedudukan dan sistem mata, kami berharap ia dapat menggalakkan konsistensi, bukannya menggantikan keikhlasan dalam beribadah,” terang beliau.
Mengulas kebimbangan bahawa unsur persaingan mungkin mendorong pengguna mengejar pengiktirafan berbanding keikhlasan, Encik Tengku Faiz, 19 tahun, menegaskan bahawa aplikasi itu hanya berperanan sebagai pemangkin untuk membawa seseorang ke masjid.
Sementara itu, beliau berkata soal niat dan ibadah kekal menjadi urusan peribadi antara mereka dengan Allah.
“Kami berharap ia dapat menjadi titik permulaan untuk orang ramai membina tabiat yang positif,” kata beliau, seorang pelajar di Politeknik Nanyang.
Menurutnya lagi, aplikasi tersebut turut menyediakan maklumat sejarah dan fakta menarik mengenai setiap masjid yang dikunjungi bagi meningkatkan penghargaan pengguna terhadap warisan serta identiti masjid di Singapura.
“Ramai orang datang ke masjid tetapi tidak mengetahui sejarah atau keistimewaan masjid tersebut.
“Kami mahu pengguna lebih mengenali tempat yang mereka kunjungi kerana sejarahnya sering kali dipandang ringan, sedangkan ia sangat bermakna,” jelas Encik Tengku Faiz.
Aplikasi itu juga menghimpunkan senarai acara dan program yang dianjurkan masjid di seluruh Singapura, sekali gus memudahkan pengguna mengetahui peluang untuk menyertai kelas agama, ceramah, program belia dan aktiviti kemasyarakatan yang sebelum ini sukar dijejaki.
Encik Tengku Hafidzuddin menambah bahawa pihaknya kini sedang bekerjasama dengan sebuah masjid untuk menganjurkan cabaran daftar masuk (check-in challenge) yang menawarkan hadiah menarik sebagai galakan kepada jemaah menghadiri solat subuh dan isyak.
Dalam jangka panjang, Encik Tengku Faiz berkata matlamat utama GoMosque.sg bukan untuk menjadikan pengguna bergantung kepada aplikasi tersebut selama-lamanya, sebaliknya membantu mereka membina tabiat mengimarahkan masjid sehingga akhirnya hadir atas dorongan diri sendiri, tanpa memerlukan sebarang galakan daripada aplikasi.