Lebih 80,000 kubur dipetakan dalam aplikasi Kubur Search

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 80,000 kubur dipetakan dalam aplikasi Kubur Search

Platform navigasi bantu mudahkan pencarian, jimatkan masa pelawat ke kawasan pusara Choa Chu Kang
Jan 22, 2026 | 3:04 PM

Lebih 80,000 kubur dipetakan dalam aplikasi Kubur Search

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Aplikasi Kubur Search, Ramzul Ihsan Abdul Nadijeb, membolehkan pengguna menyimpan nama dan tarikh kematian anggota keluarga
Aplikasi Kubur Search, yang diasaskan oleh Encik Ramzul Ihsan Abdul Nadijeb, membolehkan pengguna menyimpan nama dan tarikh kematian anggota keluarga, sekali gus membolehkan pencarian dibuat melalui nama sekiranya rekod tersebut sudah tersedia dalam pangkalan data. - Foto ihsan RAMZUL IHSAN ABDUL NADIJEB

Terik matahari memancar di kawasan perkuburan di Choa Chu Kang, dengan ribuan batu nisan yang kelihatan hampir serupa.

Ini menjadi satu cabaran yang dihadapi ramai pengunjung dan menyebabkan lebih masa diperlukan untuk mencari pusara yang ingin dilawati.

Bagi Encik Ramzul Ihsan Abdul Nadijeb, 39 tahun, cabaran itu merupakan satu peluang untuk berbakti.

View post on TikTok

Sebagai seorang penyedia khidmat perkuburan, beliau sering melihat pelawat yang mengelilingi kawasan perkuburan untuk mencari lokasi kubur anggota keluarga mereka.

Dengan niat ingin memudahkan urusan orang ramai, beliau telah mengasaskan aplikasi Kubur Search, sebuah platform navigasi yang kini mempunyai lebih 80,000 rekod plot kubur.

“Sejak kami melancarkan aplikasi ini pada 2023, ia telah berkembang dan terdapat banyak kemas kini yang disediakan.

“Pengguna kini boleh menyimpan nama dan tarikh kematian anggota keluarga, sekali gus membolehkan pencarian dibuat melalui nama sekiranya rekod tersebut sudah tersedia dalam pangkalan data,” kata pengasas aplikasi itu kepada Berita Harian.

Encik Ramzul menjelaskan bahawa beliau tidak boleh memasukkan butiran nama jenazah ke dalam sistem aplikasinya itu.

Hal ini disebabkan oleh peraturan ketat di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) serta garis panduan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) yang prihatin dengan privasi data individu.

“Saya tidak boleh melanggar sebarang peraturan PDPA. NEA sangat prihatin dengan (data) privasi dan mereka juga tidak membenarkan gambar-gambar kubur dengan nama untuk pengiklanan kami.

“Oleh itu, aplikasi ini bergantung kepada sumbangan maklumat daripada masyarakat. Selain fungsi navigasi, beberapa bahagian lain seperti aliran aplikasi juga telah diperkemas.

“Beberapa surah dan doa turut disertakan dalam aplikasi agar pengunjung tidak perlu membawa buku surah Yasin secara fizikal semasa kunjungan ringkas,” tambahnya.

Meskipun sudah tiga tahun di pasaran, aplikasi itu kembali menarik perhatian warganet baru-baru ini setelah video TikTok menunjukkan sudut perspektif atau ‘POV’ menggunakan aplikasi itu menjadi tular dengan lebih 160,000 tontonan dan lebih 4,500 “like”.

Seorang pengguna TikTok ‘selembutsutera’ berkata: “Saya gunakan aplikasi ini dan ia memang sangat mudah untuk mencari (kubur).”

Seorang lagi pengguna ‘AhJack29’ meninggalkan komen: “Saya telah lama menggunakan aplikasi ini dan ia betul-betul membantu dalam mencari kubur di pusara. Jimatkan masa, terbaik!”

Setakat ini, Encik Ramzul telah memetakan plot kubur dari blok N-1-1 hingga ke blok terbaru S-1-10 ke dalam pangkalan data.

“Kubur Search masih lagi percuma untuk digunakan sejak kempen permulaannya dan niat saya adalah untuk kekalkannya sedemikian.

“Buat masa ini, aplikasi itu ditampung menerusi sokongan masyarakat, yang membantu dalam dana untuk memperkemas kini aplikasi itu,” kata beliau.

Memandang ke depan, Encik Ramzul akur terdapat juga minat dari Malaysia dan beliau sedang mempertimbangkan untuk meluaskan khidmat aplikasi ini ke seberang Tambak.

“Menjelang Ramadan ini, saya juga merancangkan inisiatif masyarakat, di mana pengguna boleh memohon perkhidmatan membersihkan kubur untuk $50 dan bagi setiap permohonan, satu kubur tambahan akan dibersihkan secara percuma sebagai sedekah,” tambah Encik Ramzul.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg