Dengan pembukaan stesen MRT baharu untuk melengkapkan gelung Laluan Circle (CCL) menjelang 12 Julai, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memperkenalkan sistem pandu arah baharu bagi memudahkan penumpang menentukan arah perjalanan.

Memandangkan laluan tersebut akan beroperasi sebagai satu gelung tertutup, arah perjalanan MRT tidak lagi dikenal pasti berdasarkan stesen penamat.

Justeru, sistem baharu itu menggesa penumpang supaya mengikut arah putaran jam (clockwise) atau bertentangan arah putaran jam (anticlockwise).

Walaupun LTA menyatakan sistem itu dibangunkan berdasarkan maklum balas awam yang dikumpul pada Mac 2025, perubahan tersebut telah mencetuskan kritikan dan kekeliruan dalam kalangan netizen.

Salah satu kritikan utama yang dikongsi di wadah Reddit adalah kelemahan reka bentuk sistem tersebut.

Skrin paparan digital, yang dipasang di empat stesen CCL – Promenade, Esplanade, Buona Vista dan Paya Lebar – sejak 29 Mei, memaparkan perkataan ‘clockwise’ dalam saiz besar dan tebal.

Sebaliknya, nama stesen destinasi dipaparkan dalam saiz yang kecil dan diatur dalam bentuk bulatan.

Pengguna ‘iamacumbdunt’ berkata:

“Nama stesen sepatutnya lebih besar, bukan arahnya.”

Netizen juga berpendapat skrin itu mempunyai terlalu banyak ruang kosong, yang dianggap membazir ruang dan sepatutnya dimanfaatkan untuk membesarkan nama stesen, seperti yang dicadangkan oleh pengguna ‘sgtizenx’.

“Tak boleh baca apa-apa perkataan pada bulatan itu. Lebih baik saya tukar bulatan itu kepada segi empat bujur.

“Saya kemudian akan senaraikan stesen dalam kotak yang lebih besar sambil memanfaatkan sepenuhnya ruang kosong di sekeliling bulatan itu,” tulisnya.

Selain itu, netizen turut mengkritik pemilihan warna teks yang terang di atas latar belakang gelap.

Menurut mereka, ini menyakitkan mata dan menjejas kemampuan orang ramai untuk membacanya.

Pengguna ‘freee2move’ menyoal:

“Adakah saya seorang sahaja yang sukar melihat teks dan ikon berwarna pada latar belakang hitam? Mengapa latar belakang putih tidak dipilih?”

Sistem yang menggunakan istilah operasi mengikut arah putaran jam (clockwise) dan bertentangan arah putaran jam (anticlockwise) juga dipersoalkan.

Beberapa netizen berpendapat ia tidak mesra pengguna, khususnya bagi warga emas dan pelancong, yang mungkin tidak biasa dengan konsep tersebut.

Sebaliknya, mereka berkata penumpang lebih cenderung bergantung pada nama destinasi atau mercu tanda seperti Paya Lebar atau Marina Bay.

Menyokong pandangan ini, pengguna ‘MrFickless’ berkata istilah ‘clockwise’ dan ‘anticlockwise’ mungkin difahami oleh golongan yang lahir selepas tahun 1980-an dan berpendidikan dalam bahasa Inggeris.

Namun, katanya, ia mungkin tidak difahami oleh warga emas yang mempunyai tahap penguasaan bahasa Inggeris yang terhad.

“Saya bertanya kepada saudara-mara saya yang lebih tua sama ada mereka memahami maksud ‘clockwise’ dan ‘anticlockwise’.

“Mereka langsung tidak faham maksud perkataan itu, apatah lagi untuk menggunakannya bagi merancang perjalanan,” tambahnya.

Seorang lagi pengguna, ‘lilstryer’, berhujah bahawa isitilah ‘clockwise’ and ‘anticlockwise’ adalah isitilah operasi kereta api, manakala nama seperti Marina Bay, Paya Lebar, dan Harbourfront lebih relevan kepada penumpang.

Ada netizen yang berpendapat LTA boleh mencontohi sistem pandu arah negara lain yang terbukti berkesan.

Menurut mereka, sistem pandu arah Laluan Yamanote di Tokyo, Jepun, dan Laluan 2 di Seoul, Korea Selatan, menunjukkan beberapa stesen seterusnya serta stesen pertukaran utama, sekali gus membantu penumpang memahami arah perjalanan dengan lebih intuitif.

Pengguna ‘Bitter-Rattata’ turut bersetuju dan berkata:

“Seperti di Jepun, (sistem CCL boleh) senaraikan tiga stesen seterusnya untuk memberi penumpang gambaran arah perjalanan.”

Orang ramai berpendapat bahawa sekadar merujuk kepada maklum balas awam tidak mencukupi untuk mempertahankan reka bentuk sistem tersebut, terutamanya apabila pelaksanaannya menunjukkan pelbagai kelemahan dalam penggunaan sebenar.

Pengguna ‘quazi2613’ mengkritik proses maklum balas itu.

“Walaupun maklum balas itu dikumpulkan secara kolektif, ini menunjukkan bahawa sampel yang kecil tidak mewakili keseluruhan penduduk Singapura.

“Hanya kerana ia berfungsi secara teori, tidak bermakna ia semestinya akan berkesan di dunia sebenar.”

Bagi membantu mengurangkan kekeliruan, LTA telah menyediakan sebuah laman interaktif melalui pautan https://www.lta.gov.sg/cclwayfinding/ untuk membantu penumpang memahami sistem baharu itu.

Melalui laman tersebut, pengguna boleh memilih stesen permulaan dan destinasi pada peta CCL.

Setelah laluan dipilih, sistem akan menunjukkan bagaimana paparan digital Sistem Maklumat Perjalanan Stesen (STIS) akan kelihatan, serta memainkan pengumuman sebenar yang akan didengar di stesen MRT.