Topik diikuti
Pergi ke BHkuArtis hasilkan mural di gelanggang, semarak semangat masyarakat
Mohammed Salihan Wahid cipta mural terbesarnya, galak penghargaan bila seni dekat dengan masyarakat
Artis hasilkan mural di gelanggang, semarak semangat masyarakat
Apabila memikirkan karya seni, mungkin ramai membayangkan lukisan yang tergantung di tembok putih, disinari lampu sorot.
Siapa sangka lantai gelanggang bola keranjang juga boleh dijadikan kanvas untuk menghasilkan seni?
Di sebalik mural gelanggang bola keranjang di Blok 99C Lorong 2 Toa Payoh adalah kreativiti dan kepakaran artis bebas, Mohammed Salihan Wahid.
Mural tersebut yang dilukis sejak September dan akan dirasmikan pada 21 November, merupakan satu usaha untuk menceriakan ruang masyarakat dengan warna-warni dan menyemarakkan semangat masyarakat.
Semasa dihubungi Berita Harian (BH), Salihan berkata mural tersebut dihasilkan untuk memperkukuh semangat penduduk dengan hasil seni lukis yang diinspirasikan dan dihasilkan mereka.
“Seni mempunyai peranan penting untuk membawa masyarakat bersama dan saya berharap mural ini dapat memupuk semangat kekitaan dan mengukuhkan identiti masyarakat,” ujar pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang amalan reka bentuk dari Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) itu.
Untuk menghasilkan mural tersebut, Salihan, 28 tahun, berkata penglibatan masyarakat penting untuk menerapkan identiti, minat, dan harapan penduduk agar menjadikan gelanggang itu satu ruang yang dapat dibanggakan.
“Saya percaya bahawa seni tidak seharusnya dihasilkan sekadar untuk dipamerkan, sebaliknya perlu mencerminkan masyarakat yang menggunakannya serta memberi mereka peluang untuk turut terlibat,” kongsi beliau.
Justeru, Salihan juga mengadakan sesi perbincangan dan penglibatan bersama penduduk sepanjang penghasilan mural itu untuk memahami cita rasa dan harapan mereka.
Dalam sesi tersebut, beliau mengajak penduduk melukiskan harapan dan idea mereka untuk reka bentuk mural yang ingin dihasilkan.
Penduduk juga dijemput untuk mengecat mural tersebut sepanjang penghasilan mural itu.
Menurut Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Cai Yinzhou, yang menghubungi Salihan untuk menghasilkan mural itu, usaha tersebut merupakan penyegaran untuk ruang yang sering digunakan belia daripada blok sewa berdekatan.
“Saya berharap mural ini menjadi lambang kepedulian masyarakat bahawa golongan belia kita dihargai, diterima dan disokong masyarakat,” kata beliau.
Tambah Encik Cai, apabila masyarakat terlibat dalam proses ini, mereka juga akan rasa lebih bertanggungjawab untuk gelanggang itu dan menjaganya.
Di sebalik usaha melibatkan masyarakat dalam penghasilan mural itu, Salihan turut berdepan beberapa cabaran teknikal memandangkan karya tersebut dilukis di atas lantai gelanggang.
Menurut Salihan, yang juga mengajar kelas elektif seni di pusat tadika, beliau perlu mencampurkan cat dengan sejenis campuran cecair agar mural itu dapat tahan lebih lama dan tidak ada timbulan yang akan menyandung pengguna.
Beliau juga perlu mempertimbangkan garisan gelanggang bola keranjang agar permainan tersebut dapat dimainkan dengan lancar.
Justeru, beliau berkata mural tersebut merupakan antara mural yang paling mencabar dan terbesar yang pernah dihasilkannya.
Sejak 2024, beliau telah menghasilkan sekitar 10 mural untuk masyarakat.
Dalam pada itu, Salihan berkata beliau menyahut cabaran melukis mural di Toa Payoh itu untuk membawa seni lebih dekat dengan masyarakat dan memberi penduduk pendedahan kepada kepelbagaian wadah seni.
“Saya rasa kita jarang dapat melihat mural seperti ini di lantai dalam kawasan perumahan.
“Jadi bila saya diberikan peluang untuk melakukan mural ini, saya menyahut cabaran untuk bereksperimentasi agar dapat memberi penduduk pendedahan kepada seni,” kata beliau.
Beliau berkata dengan adanya mural yang mencerminkan kepentingan seni dalam masyarakat, ia diharapkan dapat menggalakkan penghargaan yang lebih mendalam untuk seni.
“Apabila kanak-kanak turut serta dalam penghasilan mural ini, saya berharap mereka juga mendapat inspirasi untuk berjinak-jinak dalam dunia seni.
“Mungkin satu hari nanti, mereka juga mempunyai cita-cita untuk menjadi artis dan impian itu tercapai,” kata beliau.
