Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mural, lukisan pengukuh jalinan penduduk di Jalan Kayu

Pelukis bebas cipta siri mural untuk bantu golongan demensia
Aug 10, 2025 | 5:30 AM
lukisan mural, mohammed salihan wahid, sg60, ndp2025
Encik Mohammed Salihan Wahid memulakan projek lukisan mural ‘Setem dan Pelekat Dalam Kenangan’ di kolong blok 471B Fernvale pada 20 Julai. Beliau bekerjasama dengan ahli Persatuan Rakyat dari Kelab Masyarakat Fernvale untuk melibatkan para penduduk melukis mural yang akan bantu golongan demensia cari jalan dengan lebih mudah. - Foto BM oleh KHALID BABA

Bagi pelukis bebas Mohammed Salihan Wahid, 27 tahun, mural dan lukisan merupakan wadah untuk merapatkan penduduk kejiranan dan berhubung dengan masyarakat.

Setelah memerhatikan banyak dinding kosong apabila berpindah ke estet Jalan Kayu pada 2023, beliau melihatnya sebagai peluang memaparkan identiti masyarakatnya melalui mural.

“Saya lihat ramai warga emas duduk berseorangan dan jarang bergaul dengan penduduk muda.

“Jadi, saya mendapat ilham untuk menghiasi dinding kosong bersama mereka untuk tujuan yang baik.

“Lukisan dan mural selalu lebih bermanfaat apabila dicipta secara beramai-ramai dan dikongsi dengan masyarakat, kerana ia bakal menjadi lambang kebanggaan dan kesatuan,” kongsinya bersama Berita Minggu (BM) sewaktu sesi temu ramah di acara pengumuman sambutan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025 di kawasan kejiranan pada 8 Julai.

Projek kemasyarakatan Encik Salihan baru-baru ini melibatkan penduduk kawasan Fernvale, yang terletak di estet Jalan Kayu, untuk mencipta siri mural bagi membantu golongan demensia iaitu satu keadaan kesihatan yang menjejas ingatan, pemikiran dan tingkah laku harian.

Encik Salihan membimbing penduduk mewarnakan mural dengan menunjukkan teknik melukis dan warna yang digunakan untuk bahagian mural berbeza. Encik Salihan telah melukis garisan mural sebagai persiapan sebelum 20 Julai.
Encik Salihan membimbing penduduk mewarnakan mural dengan menunjukkan teknik melukis dan warna yang digunakan untuk bahagian mural berbeza. Encik Salihan telah melukis garisan mural sebagai persiapan sebelum 20 Julai. - Foto BM oleh KHALID BABA

Beliau memperoleh kemahiran melukis mural yang menumpukan kepada memberi jalan arah yang betul, melalui pengajian amalan reka bentuk di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa).

Beliau didekati Kelab Masyarakat Fernvale pada April 2025 untuk menganjur projek mural di situ setelah melihat kejayaan sesi muralnya di cawangan pusat penjagaan warga emas St Luke’s di Anchorvale dan Northshore (Punggol) pada 2024.

Encik Salihan merebut peluang itu untuk mengukuhkan jalinan antara anggota masyarakat Fernvale dan Jalan Kayu, dengan melibatkan penduduk di situ dalam proses merancang dan melukis mural.

“Setiap lokasi mural ada penceritaan latar belakang yang unik, jadi saya cuba menampilkannya dalam mural,” jelas Encik Salihan.

Di estet Jalan Kayu, Encik Salihan bertemu ramah dengan penduduk serta bekerjasama dengan Hab Penuaan Aktif Fernvale dan melalui penglibatannya itu, beliau mendapat tahu bahawa populasi demensia di Jalan Kayu tinggi.

Encik Salihan kemudiannya mencadangkan satu siri mural yang dapat memudahkan proses mencari arah jalan yang betul untuk golongan demensia.

Justeru, koleksi mural Setem dan Pelekat dalam Kenangan dicipta.

“Kami menampilkan item nostalgia yang mudah dikenali golongan demensia, seperti permainan congkak, dan makanan tradisional,” katanya.

Apabila pesakit demensia terjumpa mural itu, bermakna seseorang itu berada kira-kira lima hingga 10 minit dari kemudahan seperti kedai kopi, kelab masyarakat atau stesen LRT.

Pilihan corak setem dan pelekat turut menjadi cara Encik Salihan menggabungkan identiti golongan muda dengan warga emas.

“Saya harap cara ini dapat membuka peluang bagi penduduk bertanya khabar, berkenalan dan menjalin silaturahim.

“Saya juga berharap mereka berasa bangga dengan mural yang dicipta bersama untuk membantu penduduk demensia di kejiranan di sini,” ujar Encik Salihan.

Para penduduk Fernvale mewarnakan mural di kolong blok 471B Fernvale pada pagi 20 Julai, yang menampilkan permainan tradisional seperti Congkak, Mahjong dan bola sepak takraw.
Para penduduk Fernvale mewarnakan mural di kolong blok 471B Fernvale pada pagi 20 Julai, yang menampilkan permainan tradisional seperti Congkak, Mahjong dan bola sepak takraw. - Foto BM oleh KHALID BABA

Sekurang-kurangnya 15 penduduk menghadiri sesi lukisan mural yang pertama di kolong blok 471B Fernvale pada 20 Julai untuk berlukis bersama Encik Salihan.

Siri mural ini merangkumi 8 hingga 10 lukisan yang dirancang untuk diselesaikan pada Ogos.

Penduduk di 471B Fernvale, Encik YunZheng, hadir bersama dua anak lelakinya yang manghadiri pengajaran tadika dan darjah tiga dalam sekolah rendah.

“Saya gembira ada aktiviti seperti ini untuk mendorong kanak-kanak keluar rumah dan berinteraksi dengsn penduduk lain.

“Ia juga peluang bagus untuk kanak-kanak mempelajari tentang permainan dan hobi warga emas supaya lebih mudah bergaul,” kata Encik YunZheng, yang sudah tinggal di Fernvale selama 10 tahun.

Encik Salihan juga bersyukur terhadap sokongan teguh penduduk Fernvale.

Beliau teringat seorang penduduk yang memberi snek dan minuman manis sewaktu beliau membuat persiapan untuk sesi lukis mural.

Encik Salihan bergambar di rerurai mempamerkan aktiviti-aktiviti diadakan di padang terbuka bersebelahan Junction 8 di Bishan, pada acara pengumuman sambutan NDP Heartlands 2025 di ibu pejabat Persatuan Rakyat pada 8 Julai 2025. Encik Salihan ditampil dalam pameran “60 Stories, 1 Heart” yang menampilkan insan yang memanfaatkan kemahiran masing-masing demi  mengukuh jalinan masyarakat Singapura.
Encik Salihan bergambar di rerurai mempamerkan aktiviti-aktiviti diadakan di padang terbuka bersebelahan Junction 8 di Bishan, pada acara pengumuman sambutan NDP Heartlands 2025 di ibu pejabat Persatuan Rakyat pada 8 Julai 2025. Encik Salihan ditampil dalam pameran “60 Stories, 1 Heart” yang menampilkan insan yang memanfaatkan kemahiran masing-masing demi mengukuh jalinan masyarakat Singapura. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Usaha itu melayakkannya ditampilkan dalam pameran ‘60 Stories, 1 Heart’ yang diadakan sempena acara sambutan NDP 2025 di kawasan kejiranan Bishan pada 10 Ogos.

Penganjur acara, pertubuhan akar umbi di kawasan Central, ingin menampilkan insan seperti Encik Salihan untuk mendorong lebih ramai individu mengukuhkan jalinan antara masyarakat Singapura melalui kemahiran masing-masing.

Mengulas usaha tersebut, Encik Salihan berkata: “Saya gembira melibatkan masyarakat dalam mencipta mural yang mereka memiliki bersama.

“Pengalaman seperti ini merapatkan penduduk berbilang kaum dan usia.”

Lukisan dan mural selalu lebih bermanfaat apabila dicipta secara beramai-ramai dan dikongsi dengan masyarakat, kerana ia bakal menjadi lambang kebanggaan dan kesatuan.
Encik Mohammed Salihan Wahid.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg