Walaupun artritis sering dikaitkan dengan golongan warga emas, penyakit itu juga boleh menyerang golongan muda, seperti yang dialami Cik Rahmathunnisa Mohamed Maideen ketika berusia 24 tahun.

Ketika masih menuntut di universiti pada 2014, beliau mula mengalami kesakitan sendi sehingga sukar menulis esei, menduduki peperiksaan dan mengikuti kelas berhawa dingin.

Kesakitan yang berlarutan itu akhirnya membawa kepada diagnosis artritis reumatoid, sejenis penyakit autoimun yang boleh menjejas individu tanpa mengira usia.

Namun, apakah sebenarnya artritis reumatoid, siapa yang berisiko menghidapinya dan mengapa rawatan awal penting?

Apakah artritis reumatoid?

Menurut perunding kanan Jabatan Reumatologi, Alergi dan Imunologi (RAI) Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Dr Koh Li Wearn, artritis reumatoid merupakan penyakit autoimun kronik yang tidak dapat disembuhkan sepenuhnya, tetapi boleh dikawal melalui rawatan.

Penyakit itu berlaku apabila sistem imun tubuh, yang sepatutnya melindungi seseorang daripada jangkitan, tersilap menyerang tisu pada sendi sendiri.

Keadaan itu menyebabkan keradangan yang menyebabkan kesakitan, bengkak dan kekakuan pada sendi.

Bagi Cik Rahmathunnisa, kini 36 tahun, gejala awal yang dialaminya ialah kesakitan teruk pada sendi di bahagian tepi kaki.

Apabila kesakitan itu berlarutan, beliau mendapatkan rawatan sebelum dirujuk kepada pakar dan disahkan menghidap artritis reumatoid.

Dr Koh berkata gejala penyakit tersebut juga boleh bertambah buruk akibat tekanan.

“Bagi pesakit yang menghidap penyakit autoimun, tekanan boleh merangsang sistem imun secara berlebihan sehingga memburukkan keadaan penyakit,” jelas beliau.

Justeru, Dr Koh berkata ia penting bagi pesakit untuk mengawal tekanan dalam kehidupan mereka.

Misalnya, Cik Rahmathunnisa berkata penyakitnya kini lebih terkawal sejak memulakan perniagaan dari rumah (HBB), Floury Language, pada 2025, kerana membakar kek dan biskut merupakan minat dan sumber kegembiraannya.

Siapa yang berisiko?

Menurut Dr Koh, artritis reumatoid dianggarkan menjejas sekitar satu daripada setiap 100 orang, dengan wanita berusia antara 30 dengan 50 tahun lebih cenderung menghidapinya.

Namun, penyakit ini juga boleh menyerang golongan lebih muda.

Dr Koh, yang telah merawat Cik Rahmathunnisa selama hampir 10 tahun, menjelaskan bahawa sejarah keluarga merupakan antara faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang menghidap penyakit tersebut.

“Saya tidak sangka akan mendapat penyakit itu kerana keluarga saya juga tidak mempunyai sejarah penyakit itu,” kata Cik Rahmathunnisa.

Selain faktor genetik, Dr Koh turut mengaitkan pengambilan makanan ultra-proses dengan peningkatan risiko penyakit tersebut.

Tabiat merokok juga boleh memburukkan keadaan pesakit dan menyebabkan mereka memerlukan rawatan lebih intensif.

Mengapa rawatan awal penting?

Dr Koh menekankan bahawa pengesanan dan rawatan awal penting bagi mengawal keradangan serta mencegah kerosakan sendi yang berpanjangan.

“Sekiranya pesakit disahkan menghidap penyakit itu peringkat awal, penyakit tersebut lebih mudah dikawal dan mereka dapat menjalani kehidupan dengan bermakna,” jelasnya.

Menurut beliau, pengambilan ubat secara konsisten dapat membantu mengawal penyakit dan mengurangkan risiko kerosakan sendi.

Ini penting, katanya, kerana kerosakan sendi yang sudah berlaku secara serius mungkin tidak dapat dipulihkan sepenuhnya melalui ubat-ubatan.

Oleh itu, individu yang mengalami kesakitan, bengkak atau kekakuan sendi secara berterusan digalakkan mendapatkan pemeriksaan perubatan supaya puncanya dapat dikenal pasti.

Bagi Cik Rahmathunnisa, yang telah hidup dengan artritis reumatoid selama lebih sedekad, pengambilan ubat secara konsisten serta usaha mengurangkan tekanan membantu beliau menguruskan penyakitnya.

Walaupun masih mengalami kesakitan dari semasa ke semasa, keadaannya kini lebih terkawal dan beliau dapat meneruskan kehidupan seharian, termasuk mengusahakan perniagaannya sendiri.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti