Jika kita mendengar tentang penyakit artritis, rawatan perubatan dan senaman mungkin antara perkara pertama yang terlintas di fikiran.

Namun, siapa sangka kegiatan membakar kek dan biskut juga boleh membantu seseorang menguruskan penyakit itu?

Bagi Cik Rahmathunnisa Mohamed Maideen, 36 tahun, membakar kek dan biskut bukan sekadar memenuhi minatnya sejak kecil, malah menjadi sumber kegembiraan dalam mengharungi kehidupan dengan penyakit artritis reumatoid.

Menurut perunding kanan di Jabatan Reumatologi, Alergi dan Imunologi (RAI) Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Dr Koh Li Wearn, artritis reumatoid merupakan penyakit autoimun yang tidak dapat disembuhkan dan gejalanya boleh bertambah buruk akibat tekanan.

Cik Rahmathunnisa berkata penyakitnya kini lebih terkawal sejak memulakan perniagaan dari rumah (HBB), Floury Language, pada 2025 selepas diberhentikan kerja dalam bidang sumber manusia (HR).

“Saya tidak pernah rasa segembira ini dalam mana-mana pekerjaan sebelum ini. Apabila saya gembira, kesakitan pada sendi saya juga tidak begitu kerap,” kongsi Cik Rahmathunnisa, yang menjual brownie, kek sifon, serta pelbagai jenis biskut.

Namun, beliau masih mengalami kesakitan kerana perlu berdiri lama dan banyak menggunakan sendi ketika menyediakan tempahan pelanggan.

“Kadangkala, saya akan membalutkan tangan saya dengan pek panas (heat pack) untuk melegakan kesakitan pada jari-jemari,” ujarnya ketika ditemui Berita Harian (BH).

Menurut Cik Rahmathunnisa, beliau juga memakai selipar yang selesa ketika bekerja di dapur untuk mengurangkan tekanan pada sendi kaki.

Mengimbas kembali pengalamannya, Cik Rahmathunnisa mula mengalami kesakitan teruk pada sendi di bahagian tepi kaki ketika berusia 24 tahun.

Apabila kesakitan itu berlarutan, beliau dirujuk kepada pakar di hospital sebelum disahkan menghidap artritis reumatoid.

Cik Rahmathunnisa Mohamed Maideen menggunakan pek panas bagi melegakan kesakitan sendi ketika menyediakan kek dan biskut
Cik Rahmathunnisa Mohamed Maideen menggunakan pek panas bagi melegakan kesakitan sendi ketika menyediakan kek dan biskut - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Ketika itu, beliau masih menuntut di universiti dan menghadapi kesukaran menulis esei, menduduki peperiksaan serta mengikuti kelas berhawa dingin akibat kesakitan pada sendi.

Menurut Cik Rahmathunnisa, setelah pihak universiti memahami keadaannya, beliau diberikan masa tambahan untuk menduduki peperiksaan.

“Saya tidak sangka akan mendapat penyakit itu kerana keluarga saya tidak mempunyai sejarah penyakit tersebut.

“Pada waktu itu, saya berasa malu kerana tidak pernah dengar tentang orang di sekeliling saya yang menghidap penyakit sama,” kongsinya.

Kesakitan yang dialami turut menjejas kehidupan sosial Cik Rahmathunnisa sehingga beliau terpaksa membatalkan beberapa pertemuan bersama rakan-rakan.

Walaupun penyakit tersebut membawa pelbagai cabaran, Cik Rahmathunnisa tetap berusaha menguruskan keadaannya demi membina kehidupan sendiri.

Kini, beliau berkata penyakitnya lebih terkawal hasil pengambilan ubat secara konsisten.

Selain rawatan, keluarga menjadi sumber kekuatan utama bagi ibu kepada dua anak berusia tiga tahun dan setahun itu.

Sebelum mendirikan rumah tangga, Cik Rahmathunnisa berkata ibunya banyak memberikan sokongan, termasuk menemaninya berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Beliau turut bersyukur kerana suaminya memahami keadaannya dan sentiasa mengambil kira keperluannya dalam kehidupan seharian.

Misalnya, ketika memilih perabot rumah, pasangan itu membeli sofa dan katil yang lebih tinggi bagi memudahkannya duduk dan bangun tanpa membebankan sendi lutut.

Bagi Cik Rahmathunnisa, penyesuaian kecil seperti itu membawa perubahan besar dalam membantu beliau menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

Mengimbau detik ketika mengalami kesakitan teruk di hospital pada Januari 2025, beliau berkata bayangan anaknya memberikan kekuatan untuk terus bertahan.

“Pada ketika itu, gambaran anak saya asyik bermain di dalam fikiran saya.

“Dia menjadi dorongan untuk saya tabah menghadapi dan melawan penyakit ini dan hidup lama untuk melihatnya membesar,” luah Cik Rahmathunnisa sambil menitiskan air mata.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti