Topik diikuti
Pergi ke BHkuAtlet cilik 9 tahun warga S’pura pertama sertai pertandingan gusti Dagestan
Atlet cilik 9 tahun warga S’pura pertama sertai pertandingan gusti Dagestan
Atlet cilik 9 tahun warga S’pura pertama sertai pertandingan gusti Dagestan
Sedang rakan sebayanya mungkin menghabiskan cuti sekolah dengan bermain permainan video atau bersiar-siar, Rumi Rangkayo Noorman, sembilan tahun, memilih menceburi sesuatu yang berbeza.
Ditemani bapanya, Encik Mohammed Noorman Mubarak, atlet cilik tersebut mengembara selama 14 hari, dari 31 Mei hingga 13 Jun, ke bumi Dagestan, Russia, untuk menguji keupayaan diri menentang jaguh-jaguh muda tempatan dalam sukan gusti atau ‘grappling’.
Dihubungi Berita Harian (BH), Encik Noorman berkata Rumi merupakan warga Singapura yang pertama untuk menjalani latihan gusti di sana berdasarkan perbualan bersama penduduk-penduduk tempatan.
Ditanya mengapa sanggup pergi sejauh itu, Encik Noorman berkata tujuannya adalah untuk menguji Rumi dari segi fizikal dan mental, serta memberi perspektif berbeza tentang latihan dan kehidupan melalui sukan lain.
Ini selain mengasah kemahiran Rumi yang menceburi sukan Brazilian Jiu-Jitsu (BJJ) sejak usia enam tahun di bawah bimbingan The Gentle Art Academy.
“Lawatan ini bagi membentuk dan meningkatkan ketahanan, disiplin serta keperibadiannya secara lebih mendalam,” kata Encik Noorman, pengasas Nasi Lemak Ayam Taliwang.
Menurut bapa tiga anak itu, beliau mengambil hampir setahun membuat kajian bagi mencari tempat yang sesuai dan akhirnya menyertai program anjuran seorang penganjur bebas, yang menghubungkan mereka dengan pusat latihan tempatan serta pertandingan gusti di Dagestan.
“Sepanjang lawatan ini, Rumi menjalani latihan intensif enam kali seminggu bersama Top Team Dagestan, suatu persekitaran yang jauh lebih mencabar berbanding di Singapura,” kata Encik Noorman, 47 tahun.
Menurutnya lagi, latihan di sana bukan sekadar rutin, tetapi benar-benar menekankan peningkatan prestasi.
“Ada yang tubuhnya lebih kecil daripada Rumi, tetapi mampu mengangkat dan menjatuhkannya.
“Saya terkejut melihat kanak-kanak berusia lapan atau sembilan tahun sudah begitu kuat dan mahir dari segi teknikal,” tambahnya.
Sebagai seorang bapa, pengalaman itu turut mendatangkan cabaran emosi tersendiri.
“Apabila melihat anak dalam kesakitan, kita sendiri turut terasa. Malah ada ketika semasa latihan, bahu Rumi cedera dan dia menangis.
“Saya perlu tahan diri daripada menariknya keluar. Kalau saya mengalah untuknya, saya sebenarnya mengajar dia untuk menyerah kalah,” katanya.
Menurut Encik Noorman, tekanan yang dialami Rumi sepanjang berada di Dagestan merupakan antara pengajaran paling berharga yang diperolehnya daripada lawatan tersebut.
Meskipun mengalami kesakitan dan beberapa kecederaan ringan, Rumi tetap meneruskan latihan dan menyesuaikan diri dengan tuntutan yang dikenakan.
“Selepas beberapa hari, dia mula faham bahawa dia mampu mengharunginya. Ia membina keyakinan dalam dirinya bahawa dia boleh menahan kesakitan, berdepan cabaran dan tidak mudah berputus asa,” tambah Encik Noorman.
Rumi yang merupakan anak sulung dalam tiga adik-beradik itu turut menyertai dua pertandingan gusti amatur tempatan yang berlangsung pada 6 dan 13 Jun, iaitu pertandingan yang menggabungkan elemen gusti dan seni bela diri.
“Saya dapat belajar banyak tentang seni gusti dan berharap dapat terus mendalami sukan yang mempunyai persamaan dengannya,” kata Rumi, pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah.
Walaupun tidak berjaya mencapai kemenangan, Encik Noorman menyifatkan penyertaan tersebut sebagai pengalaman yang amat berharga.
“Dia telah memberikan yang terbaik, lebih-lebih lagi apabila berdepan atlet yang lebih besar dan lebih berpengalaman. Bagi saya, kemenangan bukan ukuran utama.
“Apabila dia berdepan tekanan dalam pelajaran, kerjaya atau apa sahaja cabaran pada masa depan, saya harap dia akan ingat bahawa kesukaran itu hanya sementara. Yang penting adalah untuk terus berusaha dan memperbaiki diri,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi pengalaman mereka di akaun Instagram miliknya.
Selain pengalaman latihan, Encik Noorman turut terkesan dengan layanan masyarakat setempat serta budaya yang diamalkan di Dagestan.
Menurut beliau, masyarakat di sana sangat mesra dan sentiasa bersedia membantu, termasuk menterjemah menu serta menunjukkan arah apabila diperlukan.
Walaupun sering dikaitkan dengan pelbagai persepsi negatif di media antarabangsa, pengalaman di Dagestan memberikan gambaran yang jauh berbeza.
Bagi Encik Noorman, lawatan itu akhirnya bukan sekadar tentang sukan atau pertandingan, tetapi satu pengalaman hidup yang mengajar anaknya tentang ketabahan, disiplin dan keberanian untuk terus melangkah walaupun berdepan kesukaran.
