Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiapa lebih hebat, Mbappe atau Haaland?
Siapa lebih hebat, Mbappe atau Haaland?
Perlawanan Perancis-Norway bakal saksikan pertembungan dua penyerang terbaik dunia
Siapa lebih hebat, Mbappe atau Haaland?
Norway akan berdepan Perancis di Stadium Gillette pada 26 Jun (27 Jun waktu Singapura) dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2026 yang bakal menentukan juara Kumpulan I.
Pada aksi pembukaan, skuad kendalian Stale Solbakken mempamerkan ketajaman serangan yang mengagumkan apabila Erling Haaland menjaringkan dua gol untuk membantu Norway menewaskan Iraq 4-1.
Momentum itu diteruskan dalam perlawanan kedua apabila mereka menundukkan Senegal 3-2, mengesahkan tempat mereka ke pusingan kalah mati.
Kemenangan tersebut bermakna Norway mengumpul enam mata daripada dua perlawanan setakat ini.
Namun, walaupun mencatat rekod sempurna, Norway kini berada di tangga kedua Kumpulan I di belakang Perancis yang memiliki perbezaan gol lebih baik.
Kemenangan dalam pertemuan antara dua pasukan terbaik Kumpulan I akan membolehkan pasukan itu merampas kedudukan teratas dan memasuki pusingan kalah mati selaku juara kumpulan.
Bagi Perancis pula, kempen Piala Dunia mereka setakat ini berjalan mengikut perancangan.
Les Bleus (gelaran bagi Perancis) membuka saingan dengan kemenangan 3-1 ke atas Senegal sebelum membelasah Iraq 3-0 dalam satu persembahan yang mengukuhkan status mereka sebagai antara pencabar utama kejuaraan.
Skuad bimbingan Didier Deschamps itu bukan sahaja mempamerkan kehebatan di depan tiang gol, malah menunjukkan keseimbangan yang menjadi kekuatan utama mereka sejak beberapa kejohanan besar lalu.
Tumpuan sekali lagi terarah kepada Kylian Mbappe yang terus menjadi nadi serangan Perancis.
Penyerang Real Madrid itu telah menunjukkan mengapa beliau dianggap antara pemain terbaik dunia menerusi kombinasi kelajuan, kreativiti dan penyudah yang sukar ditandingi.
Perlawanan itu juga bakal menyaksikan pertembungan antara dua penyerang terbaik dunia, kerana Norway mempunyai Haaland yang berada dalam prestasi terbaik.
Penyerang Manchester City itu sudah menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan dan sekali lagi menjadi harapan utama Norway untuk memecahkan benteng lawan.
Dengan ketajaman kedua-dua penyerang itu, mungkin penyokong bakal menyaksikan perlawanan di mana pemenang akan ditentukan oleh siapakah yang bakal menjaringkan lebih banyak gol.
Namun tidak tepat untuk mengatakan bahawa dua pasukan itu sekadar bergantung kepada penyerang bintang mereka.
Kekuatan Perancis jauh melangkaui Mbappe semata-mata.
Ousmane Dembele, Michael Olise dan Bradley Barcola memberikan ancaman dari pelbagai sudut, manakala Aurelien Tchouameni menjadi penghubung penting antara pertahanan dengan serangan.
Norway juga mempunyai kapten, Martin Odegaard, yang memainkan peranan penting dalam mencipta peluang dan mengawal rentak permainan, manakala Alexander Sorloth memberikan pilihan tambahan di bahagian serangan.
Berbeza dengan beberapa pasukan yang mungkin berpuas hati dengan keputusan seri untuk mengesahkan kedudukan, kedua-dua Perancis dan Norway dijangka terus memburu status juara kumpulan.
Sejarah menunjukkan Deschamps jarang mengambil pendekatan terlalu berhati-hati, terutama apabila berdepan lawan yang memiliki ancaman seperti Norway.
Pertembungan itu dijangka menjadi antara perlawanan paling menarik dalam pusingan terakhir kumpulan itu.
Kedua-dua pasukan sudah mengesahkan kemaraan, namun perebutan status juara kumpulan memberikan mereka motivasi tambahan untuk memburu kemenangan.
Dengan Mbappe mengetuai perjuangan Perancis dan Haaland menjadi sandaran Norway, penyokong boleh menjangkakan satu pertarungan yang penuh bermutu.
Ramalan wartawan: Perancis 3-2 Norway
Perlawanan pada 27 Jun
Kumpulan I
Norway lawan Perancis (3 pagi)
Senegal lawan Iraq (3 pagi)
Kumpulan H
Cape Verde lawan Arab Saudi (8 pagi)
Uruguay lawan Sepanyol (8 pagi )
Kumpulan G
New Zealand lawan Belgium (11 pagi)
Mesir lawan Iran (11 pagi)
