Jaguh dayung negara dan atlet Olimpik dua kali, Saiyidah Aisyah Rafaee, selamat melahirkan bayi sulungnya, Asher Sahil Zuckerman, di Brigham and Women’s Hospital, Boston, Amerika Syarikat, pada 29 Ogos.

Aisyah, 38 tahun, kini menggalas gelaran baharu sebagai seorang ibu – satu perjalanan yang menurutnya ditempuh dengan ketabahan dan disiplin sama seperti ketika membuat persiapan menghadapi perlumbaan Olimpik.

"Saya mahu mengetahui sebanyak mungkin apa yang bakal dijangka, menulis ketakutan saya, berlatih teknik pernafasan dan menyediakan beberapa cara berbeza untuk mengurus dan menahan rasa sakit.

"Sama seperti perlumbaan, sebahagian besar kerja keras berlaku sebelum hari besar itu tiba.

“Kita berlatih, buat persiapan dan apabila tiba masanya, kita hanya perlu percaya kepada tubuh sendiri," ujar Aisyah ketika dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Menurut Aisyah, yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016 dan Paris 2024, pengalaman sebagai atlet turut membantunya menyesuaikan diri dengan cabaran menjadi ibu.

"Melangkah ke alam ibu memang mencabar. Jika ada satu perkara yang saya pelajari sebagai atlet, ia adalah untuk 'menyandar' pada cabaran itu.

“Cabaran itulah yang membentuk saya menjadi insan yang lebih baik,” kongsi Aisyah.

Walaupun jauh dari tanah air, beliau tidak melalui fasa awal keibuan bersendirian.

Menurut Aisyah, ibunya terbang dari Singapura untuk menemaninya pada minggu pertama selepas bersalin, sebelum disusuli ibu bapa mentuanya.

"Saya bekerja keras membina komuniti di Boston. Saya mempunyai rakan sekerja, komuniti dayung, dan keluarga pasangan saya yang boleh saya harapkan jika memerlukan bantuan," katanya.

Aisyah juga gembira dapat memperkenalkan budaya dan tradisi Melayu kepada anaknya, sesuatu yang telah dilakukannya bersama suami rakan-rakan di Boston menerusi makanan Melayu dan sambutan perayaan.

“Saya tidak sabar untuk berkongsi budaya dan tradisi Melayu dengan anak lelaki saya!

“Saya juga mengenali beberapa anak Melayu Singapura di Boston yang saya boleh harapkan sekiranya saya memerlukan komuniti Melayu di sekeliling saya,” jelas beliau.

Sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan rakyat Singapura menerusi media sosial turut memberi dorongan moral yang bermakna kepadanya.

“Saya kerap berkongsi di media sosial dan rakyat Singapura kadang-kadang memberi nasihat atau kata-kata dorongan.

“Kadangkala, dengan hanya mengetahui bahawa ada yang mengingati kita sudah cukup membuatkan kita rasa disokong,” ujar Aisyah.

Meskipun kini bergelar ibu, Aisyah berkata beliau tidak bercadang meninggalkan identitinya sebagai atlet dan pendayung.

“Mendapat identiti baharu sebagai seorang ibu tidak bermakna saya perlu melepaskan identiti saya sebagai atlet atau pendayung.

“Saya hanya perlu belajar menyesuaikan diri.

“Mungkin latihan tidak boleh sepanjang dahulu dan saya tidak boleh kerap mengembara untuk latihan dan pertandingan.

“Namun, ia sememangnya sesuatu yang saya mahu anak saya lihat sendiri – ibunya menjadi seorang ibu dan juga seorang atlet,” kongsi Aisyah.

Pengalaman mencapai beberapa detik penting dalam hidup pada usia berbeza turut membentuk pesanannya kepada wanita muda Singapura agar tidak berasa terikat dengan garis masa orang lain.

“Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa saya tidak mengikut garis masa sesiapa melainkan garis masa saya sendiri.

“Saya menjadi seorang atlet Olimpik pada usia 28 tahun, kembali ke Olimpik pada usia 36 tahun, dan bergelar ibu apabila mencecah 38 tahun.

“Tiada tarikh luput untuk babak-babak besar dalam hidup anda.

“Tiada cara yang ‘betul’ untuk melakukan sesuatu perkara. Yang ada hanya cara anda sendiri kerana ini adalah kehidupan anda,” nasihat Aisyah.