Topik diikuti
Pergi ke BHkuBagaimana petir boleh menyambar walau langit cerah
Bagaimana petir boleh menyambar walau langit cerah
Bagaimana petir boleh menyambar walau langit cerah
Singapura mencatatkan antara kadar sambaran kilat tertinggi di dunia.
Pada 5 Julai, seorang lelaki maut selepas disambar petir semasa bermain papan paddle board di perairan Pantai Pasir Ris.
Seorang saksi berkata langit kelihatan cerah apabila petir menyambar laut tersebut.
Berikut penjelasan daripada pakar cuaca mengenai sambaran kilat dan cara orang ramai boleh melindungi diri.
Soalan (S): Bolehkah kilat menyambar walaupun tiada hujan?
Jawapan (J): Sebaik sahaja ribut mula terbentuk, risiko berlakunya sambaran kilat sentiasa wujud walaupun hujan belum turun, kata Profesor Madya Adjung Universiti Nasional Singapura (NUS), Koh Tieh Yong, yang mengkaji cuaca dan iklim Asia Tenggara.
Kilat ialah percikan elektrik yang sangat besar akibat perbezaan cas elektrik antara awan ribut dengan permukaan bumi, atau di dalam awan itu sendiri.
Pelepasan cas ini menghasilkan cahaya yang sangat terang.
“Kilat terbentuk apabila udara bergerak dengan sangat kuat sehingga titisan air di dalam awan berlanggar antara satu sama lain lalu memperoleh cas elektrik.
“Namun, hujan hanya berlaku apabila titisan air menjadi cukup besar untuk jatuh sehingga ke permukaan bumi,” kata Profesor Koh kepada The Straits Times.
Beliau menambah bahawa walaupun kedua-dua proses ini saling berkaitan, salah satu tidak semestinya memerlukan yang lain untuk berlaku.
S: Bagaimanakah petir boleh menyambar meskipun langit cerah?
J: Kilat pernah direkodkan menyambar lokasi lebih daripada 10 kilometer dari awan ribut asal, walaupun kejadian seperti ini sangat jarang berlaku, menurut buku Weather and Climate of Singapore terbitan Perkhidmatan Meteorologi Singapura.
Fenomena ini dikenali sebagai “bolt from the blue” atau ‘kilat dari langit cerah’.
Di Singapura, hanya awan kumulonimbus boleh menghasilkan kilat.
Awan ini sangat tinggi, berwarna kelabu, berbentuk gebu, dan mempunyai bahagian atas yang rata seperti landasan (anvil).
Walaupun jarang berlaku, sambaran yang berpunca daripada bahagian atas awan ini boleh mengenai kawasan yang jauh, termasuk tempat yang mempunyai langit cerah tanpa hujan.
Sambaran elektrik yang sangat kuat ini dikenali sebagai kilat positif (positive lightning) dan membentuk kira-kira 10 peratus daripada semua sambaran kilat dari awan ke bumi.
S: Mengapa Singapura mengalami begitu banyak sambaran kilat?
J: Singapura terletak di kawasan khatulistiwa, di mana permukaan bumi sentiasa panas dan udara sentiasa lembap.
Keadaan atmosfera yang tidak stabil ini sangat sesuai untuk pembentukan ribut petir, kata Profesor Koh.
Secara purata setiap tahun, terdapat kira-kira 176 hari yang mempunyai rekod kilat yang dikesan di pusat iklim Changi. Ini bermakna kilat berlaku hampir setiap dua hari sekali.
S: Apa yang berlaku apabila seseorang disambar petir, dan bolehkah saya membantu?
J: Mangsa sambaran kilat boleh mengalami pelbagai kecederaan seperti, kelecuran, katarak serta tulang tengkorak patah.
Mangsa juga boleh mendapat gangguan psikologi seperti gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) atau kemurungan.
Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat, mangsa sambaran kilat selamat disentuh kerana tubuh manusia tidak menyimpan arus elektrik.
Penyelidik iklim daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Wang Jingyu, berkata orang ramai perlu memeriksa sama ada mangsa masih bernafas dan mempunyai denyutan nadi.
Jika tiada, lakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan gunakan Peranti Defibrilator Luaran Automatik (AED) jika ada.
Tindakan pantas boleh menyelamatkan nyawa mangsa.
Mangsa hanya perlu dipindahkan sekiranya kawasan tersebut masih berbahaya.
S: Adakah El Niño dan perubahan iklim akan meningkatkan aktiviti kilat?
J: Beberapa bulan akan datang dijangka lebih panas dan lebih kering di Singapura akibat fenomena El Niño.
El Niño ialah fenomena iklim yang menyebabkan hujan berkurangan, musim kering menjadi lebih panjang dan suhu meningkat.
Ia berlaku akibat kitaran semula jadi yang dikenali sebagai Kitaran Selatan El Nino (Enso), apabila perubahan arah angin dan suhu permukaan laut mempengaruhi corak cuaca di Lautan Pasifik.
Fenomena ini juga mempengaruhi taburan ribut petir, dengan kawasan Kepulauan Melayu, termasuk Singapura, dijangka mengalami ribut yang kurang kerap, menurut Profesor Koh.
“Namun, kesan khusus El Niño terhadap jumlah sambaran kilat dalam setiap ribut sukar dipastikan kerana banyak faktor lain turut mempengaruhi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa lebih banyak kajian diperlukan bagi memahami kesan perubahan iklim terhadap ribut petir.
S: Apakah langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan disambar petir?
J: Orang ramai disarankan menyemak ramalan cuaca sebelum melakukan aktiviti luar dan mengenal pasti lokasi tempat perlindungan kekal yang terdekat.
Mereka juga boleh melanggan amaran kilat masa nyata melalui aplikasi myENV.
Menurut Encik Wang, ramalan kilat sangat sukar dibuat dan hanya berdasarkan kebarangkalian.
“Walaupun di Singapura, ramalan tidak dapat menentukan lokasi tepat sesuatu sambaran kilat. Oleh itu, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada amaran pemerintah atau mengabaikan risikonya. Keselamatan diri adalah tanggungjawab setiap individu,” tambahnya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan perlindungan apabila bunyi guruh semakin kerap didengari.
Bagi mereka yang melakukan aktiviti air seperti belayar, berkayak, berenang, atau menyelam, mereka hendaklah segera kembali ke darat apabila terdapat tanda-tanda ribut akan terbentuk.
“Jika ternampak kilat, keluar dari air dengan segera. Air ialah pengalir elektrik yang sangat baik dan sambaran kilat boleh merebak jauh melaluinya,” kata Encik Wang.
Jika sudah terlambat untuk keluar dari air, perenang atau penyelam hendaklah merendahkan badan di dalam air serta menundukkan kepala dan tangan.
Bagi mereka yang berada di atas bot kecil atau kanu, baringkan badan di dasar bot dan elakkan daripada menyentuh bahagian logam.
“Langkah-langkah ini tidak dapat menjamin keselamatan sepenuhnya, tetapi mungkin dapat mengurangkan tahap kecederaan jika berlaku sambaran kilat,” kata Encik Wang.
Berikut ialah langkah keselamatan lain:
- Jauhi pokok yang tinggi dan kawasan berair
- Kurangkan penggunaan peralatan elektrik semasa ribut.
- Elakkan memegang objek logam seperti kayu golf.
- Jangan berlindung di bawah pokok besar atau di dalam struktur kecil seperti khemah. Sebaliknya, berlindung di dalam bangunan kukuh atau kenderaan.
- Kekal berada di dalam bangunan.
- Tunggu sekurang-kurangnya 30 minit selepas bunyi guruh terakhir sebelum menyambung semula aktiviti luar.
