Kira-kira 10 minit selepas mendengar dentuman petir yang kedengaran luar biasa kuat, Encik Mohammad Nordin Kasmuri berlari ke arah sekumpulan pengayuh kayak yang bergelutan di dalam air di Pantai Pasir Ris.

Tanpa berlengah lagi, beliau langsung berenang untuk membantu seorang lelaki yang ditemui terbaring di atas papan dayung berdiri atau stand-up paddleboarding (SUP), sebelum membantu mengalihkan mangsa, Allahyarham Mikhail Benyamin Abdullah, 24 tahun, ke rumput di tepian pantai untuk diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

“Saya nampak kayak dan SUP bergerak perlahan ke arah pantai dan seorang lelaki terbaring di atas SUP itu.

“Saya terus terjun ke dalam air dan berenang ke arah mereka dan bantu tolak SUP bersama kayak ke pantai.

“Sampai di darat, kami angkat mangsa ke kawasan rumput dan terus mulakan CPR,” kata Encik Nordin apabila dihubungi Berita Harian (BH).

Encik Nordin, 41 tahun, pemilik kedai sewa kayak berhampiran, Fish On SG, berkata sebelum kejadian itu berlaku, beliau baru selesai membersihkan kayaknya di kawasan Kokomo Beach Club, di 131 Pasir Ris Road.

Katanya, sekitar 4.45 petang, beliau terdengar dentuman petir yang amat kuat walaupun keadaan cuaca ketika itu kelihatan masih cerah.

“Saya terus beritahu orang di sekitar saya supaya naik ke darat sebab saya rasa keadaan dah tak selamat. Tapi pada masa itu tiada kedengaran siren amaran.

“Tak lama kemudian, seorang remaja lelaki datang beritahu ada orang kena sambar petir.

“Saya terus berlari ke arah yang ditunjukkan remaja itu,” jelas Encik Nordin, yang juga menawarkan pakej pelancongan memancing sambil berkayak.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, iaitu sekitar 100 meter dari muara Sungai Api Api, beberapa mangsa lain sedang berpaut pada kayak mereka selepas dipercayai terjatuh ke dalam air akibat kejadian itu.

Encik Nordin menjelaskan keutamaan ketika itu adalah membawa mangsa yang tidak sedarkan diri ke darat secepat mungkin.

Tiga kayak tandem, satu kayak single dan satu papan dayung berdiri dikepung oleh polis pada malam 5 Julai di Pantai Pasir Ris.
Tiga kayak tandem, satu kayak single dan satu papan dayung berdiri dikepung oleh polis pada malam 5 Julai di Pantai Pasir Ris. - Foto MOHAMMAD NORDIN KASMURI

“Kami mulakan CPR pada 5.03 petang. Orang ramai juga segera mendapatkan alat AED (Defibrilator Luaran Automatik) sementara menunggu ambulans tiba.

“Apabila saya jumpa Mikhail, beliau sudah tidak memberi sebarang respons,” katanya.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, Encik Nordin cuba menenangkan ibu mangsa yang berada di lokasi, sementara anggota keluarga lain menunggu ketibaan pasukan kecemasan.

Encik Nordin menambah, walaupun pernah berdepan pelbagai kes kecemasan sebagai sukarelawan kes kecemasan menerusi aplikasi mudah alih rasmi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), myResponder, tragedi kali ini cukup berbeza.

“Ini bukan kali pertama saya beri bantuan kecemasan. Saya pernah tangani beberapa kes serangan jantung dan kecemasan lain, tetapi ini kali pertama saya berdepan kes individu disambar petir.

“Apabila berlaku kejadian macam ini, kita tak fikir benda lain. Kita cuma beri tumpuan untuk bantu dan selamatkan mangsa.

“Selepas semuanya selesai, barulah kita sedar apa sebenarnya yang berlaku,” kongsinya tentang bantuan kecemasan ke-11 yang pernah diberinya untuk menyelamatkan orang lain.

Selepas mangsa dibawa ke Hospital Besar Sengkang, Encik Nordin masih berada di lokasi sehingga lewat malam bagi membantu mengalihkan semula kayak dan peralatan yang hanyut – satu dayung berdiri, tiga kayak tandem dan satu kayak single.

Bantuannya itu menjadi tular di TikTok apabila beliau memuat naik video yang memaparkan beliau mengayuh dengan kayaknya di laut, membantu mengambil semula kayak-kayak yang hanyut, pada malam 5 Julai di akaun ‘@nordin.fish.on’.

Video itu ditulis dengan kapsyen: “Kepada keluarga yang berkayak (tadi), semoga Allah mempermudahkan urusan. Kami telah membantu dengan sedaya upaya.”

Setakat ini, TikTok itu telah meraih hampir 50,000 tontonan dan lebih 600 tanda suka.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 5 Julai, mereka telah menerima panggilan bantuan di 131 Pasir Ris Road pada sekitar 4.50 petang.

Tujuh individu, berusia antara 13 dengan 54 tahun, telah dibawa ke hospital dalam keadaan sedar.

Allahyarham Mikhail pula dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedar dan kemudian disahkan meninggal dunia.

Berdasarkan siasatan awal, pihak polis tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah. Siasatan polis masih dijalankan.

BH difahamkan keluarga Allahyarham Mikhail berhimpun untuk berkayak memandangkan terdapat anggota keluarga Allahyarham dari Australia yang datang bercuti di Singapura.

Anggota keluarga mangsa, bagaimanapun, enggan mengulas dan meminta lebih masa ketika ditemui di kediaman keluarga Allahyarham di Tampines.

Allahyarham Mikhail, seorang jurulatih kayak bertauliah dengan syarikat kegiatan air, SeaOPS, merupakan abang sulung dalam keluarga tiga beradik.

Menurut bapa saudaranya, Encik Alfie D’Silva, 52 tahun, seorang eksekutif projek teknologi maklumat di PPIS, menyifatkan anak saudaranya itu sebagai penuh nyala rasa pada kegiatan luar, alam semula jadi dan kembara mencabar.

“Pemergiannya yang mendadak meninggalkan kesan yang merentap tangkai hati kami sekeluarga dan amat menjejas jiwa raga kami.

“Mikhail amat disukai ramai, baik hati dan baru saja tamat Perkhidmatan Negara (NS), lantas menanti penuh teruja akan babak selanjutnya dalam kehidupannya itu.

“Beliau menyimpan banyak harapan dan perancangan untuk masa depannya, lantas amat perit beliau pergi secepat ini tanpa disangka.

“Kami akan sentiasa mengenangnya sebagai insan dengan personaliti ramah dan mesra, suka bersenda, amat mengambil berat di samping sering membawa kebahagiaan dalam kehidupan orang-orang di sekelilingnya,” ujar Encik Alfie.

Kehilangan beliau turut dirasai rakan-rakan lamanya daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur.

Salah seorang rakannya, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik PK, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang sangat baik, kelakar dan sering menceriakan suasana.

“Mikhail seorang yang suka berjenaka, kelakar dan sangat baik hati.

“Beliau gemar sukan luar dan mempunyai banyak rancangan untuk mengejar impiannya.

“Pemergiannya pada usia yang begitu muda adalah satu kehilangan besar. Kami pasti merinduinya,” kongsi Cik PK, yang awalnya sudah merancang melancong bersama Allahyarham dan rakan lain ke Vietnam pada Ogos ini.

Menurut Cik PK lagi, rakannya sudah bertugas sebagai seorang instruktor bebas kem sejak di ITE.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas asar pada 6 Julai di Pusara Aman.