Sebagai satu-satunya peserta Melayu Singapura dalam pertandingan pop Korea (K-pop) peringkat antarabangsa, My Kpop Star, sebuah kumpulan muzik keluarga, D’Fusion, telah membawa karya asli mereka untuk bersaing dengan ratusan peserta lain dari seluruh dunia.

D’Fusion, yang dianggotai oleh Encik Mohamad Azrin Mohd Hanapiah bersama dua anak perempuannya, Cik Alyssya Adrianna dan Cik Charissa Annalista, berjaya menarik perhatian juri menerusi lagu ciptaan sendiri yang berjudul, Jamae-ui Sarang, di peringkat uji bakat.

Lagu itu, yang mengangkat tema kasih sayang antara dua beradik, dihasilkan sepenuhnya oleh D’Fusion dengan menggabungkan lirik dalam bahasa Korea dan Inggeris, serta susunan muzik yang diolah mengikut cita rasa pasaran K-pop.

My Kpop Star, anjuran syarikat media Korea Selatan, NewsPim, merupakan pertandingan dan uji bakat K-pop bertaraf antarabangsa yang menawarkan hadiah utama berjumlah 100 juta won ($89,000), latihan profesional, serta peluang untuk menjalani uji bakat bersama agensi hiburan Korea Selatan.

Ketika ditemui Berita Harian, Encik Azrin, 46 tahun berkata:

“Saya menemui pertandingan ini menerusi carian Google. Sebenarnya, kami langsung tidak ada rancangan untuk menyertai mana-mana pertandingan di luar negara.

“Malah, video uji bakat dihantar secara spontan. Kami pun terkejut dan seakan tidak percaya apabila diberitahu melalui e-mel yang kami layak menyertai pertandingan ini.”

Encik Azrin, seorang pengurus keselamatan kebakaran, bukan asing dalam dunia muzik.

Beliau mula berkecimpung dalam bidang tersebut sejak berusia 11 tahun sebagai pemain dram, sebelum beralih menjadi pemain gitar, komposer, penulis lagu, dan vokalis.

D’Fusion ditubuhkan pada 2008 oleh Encik Azrin dan isterinya, Cik Juriah Buang, bersama beberapa rakan mereka daripada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Sepanjang tempoh aktif, kumpulan itu membuat persembahan di pelbagai acara termasuk majlis anjuran pemerintah, sekolah, majlis perkahwinan, sambutan Krismas, dan acara masyarakat.

Bagaimanapun, D’Fusion mengambil keputusan untuk menyepi seketika pada 2013 sebelum kembali aktif pada 2020 apabila kedua-dua anak pasangan itu sudah bersedia menyertai kumpulan tersebut.

Sejak itu, D’Fusion berkembang menjadi band keluarga dan kerap melakukan persembahan di pelbagai acara dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Mandarin.

Encik Azrin, bapa kepada tiga orang anak, bertanggungjawab menghasilkan lagu dan mengemudi hala tuju muzik kumpulan.

Di samping itu, anak kedua dan ketiganya, Cik Alyssya, 21 tahun, dan Cik Charissa,17 tahun, berperanan sebagai vokalis utama selain menyumbang kepada penulisan lirik, susunan lagu dan koreografi.

Pengurusan kumpulan itu turut dikendali oleh Cik Juriah, 48 tahun.

“Dari hal pentadbiran, promosi dan penyelarasan, saya yang uruskan. Jadi boleh dikatakan kumpulan kami ini memang lengkap dengan pelbagai bakat,” kata pegawai kanan dalam industri penjagaan kesihatan itu.

Band keluarga, D’Fusion, kerap mengadakan persembahan di Our Tampines Hub dan Sentosa Sensoryscape, dengan (dari kiri) Cik Charissa Annalista, Cik Alyssya Adrianna, dan Encik Mohamad Azrin Mohd Hanapiah sebagai antara anggotanya.
Band keluarga, D’Fusion, kerap mengadakan persembahan di Our Tampines Hub dan Sentosa Sensoryscape, dengan (dari kiri) Cik Charissa Annalista, Cik Alyssya Adrianna, dan Encik Mohamad Azrin Mohd Hanapiah sebagai antara anggotanya. - Foto D’FUSION

Menurut keluarga tersebut, hampir keseluruhan proses penghasilan karya dilakukan sendiri, termasuk latihan, rakaman, penggambaran video muzik, dan penyuntingan kandungan.

Malah, bagi penyertaan dalam My Kpop Star, mereka turut menghasilkan lirik dalam bahasa Korea dan Inggeris walaupun bukan penutur asli bahasa Korea.

Menyentuh tentang proses gubahan lagu Jamae-ui Sarang, Encik Azrin berkata:

“Yang banyak menolong saya dalam mengubah lagu ini ialah anak-anak saya. Mereka lebih fasih dan memahami bahasa Korea yang sesuai untuk diterapkan dalam lagu ini.

Tambahnya, mereka mengambil masa sekitar sebulan untuk mengubah lagu tersebut.

Menurut Encik Azrin lagi, mereka memilih untuk mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri kerana percaya karya asli mampu menyerlahkan identiti D’Fusion berbanding sekadar menyampaikan lagu sedia ada.

Selain berbakat dalam nyanyian, Cik Alyssya dan Cik Charissa turut aktif dalam bidang tarian, penulisan lagu serta penghasilan kandungan digital.

Bagi Cik Alyssya pula, peluang menghasilkan lagu sendiri untuk pertandingan antarabangsa merupakan pengalaman yang tidak pernah dibayangkan.

“Kami memang minat K-pop sejak kecil. Jadi apabila dapat menghasilkan lagu sendiri dan menghantarnya ke pertandingan ini, ia sesuatu yang sangat membanggakan,” kata pegawai kanan khidmat pesakit itu.

Dibesarkan dalam persekitaran yang dipenuhi muzik, kedua-duanya pernah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian dan penulisan lagu, termasuk pertandingan Anugerah terbitan Mediacorp baru-baru ini.

“Walaupun hanya berjaya mara ke kelompok 80 terbaik, ia merupakan pengalaman yang mengukuhkan keyakinan kami untuk terus berkarya dan mencabar diri,” kata Cik Charissa, yang kini sedang menantikan permulaan pendidikan tertiari beliau.

Pada 1 Julai, kumpulan itu melancarkan rakaman single berbahasa Melayu rasmi pertama berjudul, Jom Makan Kak, yang diinspirasikan tradisi makan bersama dan eratnya hubungan kekeluargaan.

Kini, D’Fusion sedang menantikan keputusan sama ada mereka akan mara ke kelompok 30 terbaik My Kpop Star.

Sekiranya berjaya, mereka sekeluarga akan melalui pusingan seterusnya sebelum 10 finalis terbaik berpeluang membuat persembahan secara langsung di Korea Selatan.

Bagi keluarga itu, peluang mewakili Singapura dengan mempertaruhkan karya asli di pentas antarabangsa sudah pun menjadi satu pencapaian yang amat bermakna, tanpa mengira keputusan akhir pertandingan.