Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas anggota ‘girl group’ S’pura kongsi cabaran harungi industri muzik tempatan
Identiti tersendiri penting dalam kekalkan populariti, bukan sekadar lagu dan vokal mantap
Sejak dahulu, industri muzik Nusantara tidak pernah sunyi daripada kemunculan kumpulan wanita yang berjaya mencuri perhatian ramai.
Kumpulan wanita, atau ‘girl group’, bukan sahaja dikenali menerusi keharmonian vokal, malah menjadi simbol pemerkasaan wanita, serta mencorakkan budaya terkenal pada zaman masing-masing.
Misalnya, fenomena kumpulan wanita Malaysia, seperti Elite dan Feminin, pada era 1990-an membuktikan sesebuah ‘girl group’ mampu memainkan peranan lebih besar daripada sekadar menghiburkan.
Elite yang dianggotai Abby Abadi, 48 tahun; Azza Zawari, 48 tahun; Linda Rafar, 48 tahun; Sasha Saidin, 49 tahun; dan Watie Sadali, 50 tahun, misalnya, mengangkat tema pemerkasaan wanita menerusi lagu seperti Trauma dan Tamparan Wanita.
Ini sekali gus menunjukkan muzik juga mampu menjadi wadah menyampaikan pesanan yang dekat dengan masyarakat.
Tak hanya di Malaysia, Singapura turut melalui era kegemilangan kumpulan kaum Hawa menerusi kemunculan 3D, yang dianggotai Asnida Daud, 53 tahun; Olynn Saleh, 55 tahun; dan Nadia Ali, 50-an tahun.
Siapa sangka, perjalanan 3D bermula daripada pengamatan seorang penghibur tempatan terhadap keserasian tiga suara ini.
Asnida berkata ikon televisyen, Najip Ali, melihat potensi tiga bekas peserta pertandingan mencari bakat, Bintang TV edisi 1991/1992, dan Asia Bagus 1993 (Asnida), untuk digabungkan dalam sebuah kumpulan wanita.
Pada masa yang sama, Najip turut memerlukan kumpulan tersebut menjayakan program terbitan syarikatnya, TV KINI, serta sebagai penyanyi latar dalam persembahannya di dalam dan luar negara.
Cabaran di sebalik glamor 3D
Bagi Asnida, pengalaman paling bermakna sepanjang bersama 3D bukanlah populariti, sebaliknya ikatan persahabatan yang terjalin apabila mereka saling melengkapi kekuatan vokal, berkongsi susah senang ketika latihan dan mengharungi cabaran industri bersama.
Bagaimanapun, Asnida tidak menafikan budaya membanding-bandingkan anggota kumpulan memang wujud dalam industri hiburan.
Gosip di belakang tabir dan tanggapan mengenai ‘pretty privilege’ (layanan istimewa kerana berwajah menarik) sering kali menjadi sebahagian realiti yang perlu dihadapi.
“Saya akui budaya bergosip dan membanding-bandingkan memang wujud dalam industri hiburan, lebih-lebih lagi terhadap kumpulan wanita.
“Adakalanya, perbualan di bilik solek atau komen yang tidak ditapis daripada pihak penerbitan boleh menjadi toksik.
“Fenomena ‘pretty privilege’ memang nyata.
“Ada yang suka membandingkan siapa lebih cantik, seksi atau memiliki vokal lebih hebat.
“Namun, kami memilih untuk memberi tumpuan kepada kekuatan masing-masing dan saling melengkapi.
“Kami sentiasa jujur antara satu sama lain serta berusaha memelihara persahabatan, bukannya menjadi persaingan yang toksik.
“Saya pula mengamalkan ‘selective listening’ (menapis apa yang didengar) untuk menjaga kewarasan,” selorohnya.
Di sebalik hubungan akrab sesama anggota, cabaran sebenar sebuah kumpulan wanita tidak terhenti di situ.
Selain perlu berdepan tekanan dalaman seperti perbandingan dan stereotaip terhadap penampilan, Olynn pula berkongsi pengalaman bergelut dengan kekangan industri yang ketika itu belum cukup bersedia menyokong perkembangan artis tempatan.
“Pada waktu itu, sebagai antara kumpulan wanita pertama di Singapura, kami sangat berhati-hati dalam memilih pihak yang mahu bekerjasama kerana terlalu banyak janji yang tidak pernah menjadi kenyataan.
“Ada yang menawarkan rakaman single atau album, tetapi akhirnya semuanya tinggal janji.
“Sebagai kumpulan wanita pula, kami sering berdepan tanggapan peluang kami terhad.
“Ramai mempersoalkan sejauh mana kami mampu ‘pergi’ atau sama ada kami sanggup mencabar kebiasaan, misalnya seperti kumpulan wanita antarabangsa, Spice Girls.
“Namun, masyarakat Melayu ketika itu masih agak konservatif dan belum benar-benar bersedia menerima perubahan sedemikian.
“Walaupun era 1990-an merupakan antara zaman terbaik buat artis tempatan menyerlah, saya merasakan sokongan terhadap kumpulan wanita masih belum cukup kukuh.
“Pada masa yang sama, kami masing-masing mempunyai kerjaya sendiri, sekali gus menyukarkan usaha membawa 3D ke tahap lebih tinggi,” ujar Olynn.
Lonjakan K-Pop ubah acuan kumpulan wanita Asia
Memasuki era 2010-an, landskap kumpulan wanita berubah seiring kebangkitan gelombang pop Korea (K-Pop), yang memperkenalkan pendekatan baharu kepada industri muzik Asia.
Jika suatu ketika dahulu inspirasi banyak datang daripada kumpulan Barat seperti Diana Ross & The Supremes dan Spice Girls, kini tumpuan beralih kepada persembahan yang lebih menyeluruh, merangkumi vokal, koreografi, konsep visual, penjenamaan dan hubungan dengan peminat.
Perubahan itu bukan sahaja mempengaruhi cara sesebuah kumpulan dibentuk, malah turut mengubah jangkaan penonton terhadap definisi sebuah ‘girl group’ moden.
Di Singapura, perubahan itu turut membuka ruang kepada kemunculan kumpulan wanita seperti Dynda, yang tampil dengan pendekatan lebih moden, menggabungkan nyanyian, tarian dan imej yang dipengaruhi budaya pop Korea.
Kemunculan Dynda, yang terkenal dengan lagu, Bebaskan Hatimu dan AM PM, bermula daripada pementasan, Impak Maksima: The Musical (2009), yang dipadankan daripada filem lumba kereta Malaysia, Impak Maksima, pada 2007.
Pementasan itu dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada 2008, sebelum dibawa ke Esplanade, Singapura, sempena Pesta Raya pada 2009.
Bekas anggota Dynda, Shenty Feliziana, 36 tahun, akur tidak menyangka bakat menarinya bersama anggota lain iaitu, Setia Vegawati Joseph, Nurrenni Mohd Nor dan Nur Rahila Redzuan, berjaya menarik perhatian anggota kumpulan hip-hop Malaysia, The Fabulous Cats, iaitu Cat Farish.
Cat Farish, 52 tahun, kebetulan berada dalam pementasan yang sama.
Menurut Shenty, Cat Farish kemudian menawarkan mereka peluang untuk membentuk sebuah kumpulan wanita meskipun mereka tidak mempunyai latar belakang sebagai penyanyi.
“Apabila Cat Farish membuat tawaran itu, saya agak terkejut kerana kami sebenarnya hanyalah penari.
“Saya sendiri tidak yakin untuk menyanyi kerana tidak pernah menganggap diri saya seorang penyanyi.
“Namun, bagi beliau, kekuatan utama kumpulan itu bukan semata-mata terletak pada vokal.
“Beliau melihat potensi kami sebagai sebuah kumpulan wanita yang mampu menyerlah menerusi tarian, persembahan dan identiti tersendiri.
“Ketika itu pula, gelombang K-Pop mula mencuri perhatian ramai.
“Kumpulan seperti 2NE1 baru sahaja muncul, manakala Wonder Girls turut menjadi fenomena.
“Jadi, orang ramai memang teruja melihat kemunculan kumpulan wanita yang menggabungkan nyanyian, tarian bertenaga dan penampilan yang lebih berani,” katanya.
Kepentingan identiti, budaya Nusantara
Biarpun mengakui acuan kumpulan wanita hari ini tidak banyak berubah berbanding zamannya, Shenty menegaskan aspek seperti koreografi mantap, vokal yang baik dan lagu yang mudah diingati masih menjadi asas sesebuah ‘girl group’.
Namun, menurutnya, apa yang benar-benar membezakan sesebuah kumpulan bukanlah kemampuan meniru trend luar, sebaliknya keberanian mengekalkan identiti dan budaya sendiri.
“Apabila membuat persembahan di luar negara, ada yang sangka berasal dari negara lain kerana penampilan dan konsep mereka terlalu serupa.
“Saya berharap suatu hari nanti akan lahir kumpulan wanita yang berjaya menggabungkan unsur moden dengan identiti budaya tempatan.
“Kita mungkin tidak dapat mengubah gerakan tarian atau fesyen yang bersifat sejagat, tetapi nilai, adab, bahasa dan cara kita menghargai peminat tetap boleh mencerminkan siapa diri kita.
“Jangan sampai terlalu mengejar populariti sehingga kita mengorbankan identiti sendiri.
“Akhirnya, kita tetap mempersembahkan karya untuk tontonan masyarakat kita,” kata Shenty.
Pandangan Shenty menggambarkan satu dilema yang masih relevan sehingga hari ini.
Dalam usaha mengikuti arus sejagat dan memenuhi cita rasa generasi baharu, kumpulan wanita perlu mencari keseimbangan antara memenuhi piawaian antarabangsa dengan mengekalkan identiti budaya sendiri.
