Apakah yang terlintas di fikiran apabila kita memikirkan tentang Singapura?

Adakah anda memikirkan tentang mercu tanda ikonik seperti Marina Bay Sands dan Merlion, atau pengalaman harian seperti menaiki MRT, menikmati secawan kopi ‘O’ kosong di kedai, atau deretan flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang menjadi latar kehidupan harian?

Persoalan itulah yang mendorong Encik Muhammad Iskandar Muda Abdul Jalil, menghasilkan rekaan kemeja-T untuk Hari Kebangsaan Singapura buat anak sulungnya, Hamzah Muhammad, empat tahun, apabila gagal mencari baju yang ‘sesuai’.

“Pada awalnya, isteri saya meminta saya mencari baju merah untuk dipakai anak sulung kami sempena sambutan Hari Kebangsaan di sekolah.

“Tetapi saya sukar mencari rekaan yang benar-benar menggambarkan Singapura yang saya kenali.

“Semua baju yang dijual memaparkan mercu tanda seperti Marina Bay Sands atau Singapore Flyer, tetapi bukan tentang kehidupan Singapura yang dialami masyarakat setiap hari,” kata Encik Muhammad, 32 tahun.

Eksekutif pemasaran dan komunikasi di Masjid En-Naeem itu juga mengendalikan 12AM Craft, sebuah perniagaan kreatif dari rumah, yang menghasilkan pelekat, pakaian dan pelbagai produk asli mengikut tempahan, bagi memberi peluang kepada pelanggan mengekspresikan identiti mereka.

Daripada membeli baju yang tidak memenuhi cita rasanya, Encik Muhammad memanfaatkan kepakaran reka bentuk grafik serta peralatan cetak yang dimilikinya untuk menghasilkan sendiri kemeja-T buat keluarganya.

Berbeza daripada rekaan yang lazim, beliau berkata kemeja-T yang direkanya menampilkan pelbagai pemandangan dan pengalaman harian yang dekat di hati rakyat Singapura.

Di bahagian hadapan kemeja-T itu tertera tulisan Arab yang membentuk perkataan ‘Singapura’ dan diiringi frasa, ‘Majulah Singapura’ berlatarbelakangkan siluet flat HDB.

Menurutnya, beliau pada asalnya mahu menggunakan tulisan Jawi, namun tidak menemui fon yang sesuai untuk disunting menggunakan sofwe, Adobe Illustrator.

Oleh itu, beliau memilih tulisan Arab sebagai alternatif yang dapat memenuhi konsep visual yang diinginkannya.

Apabila tidak dapat mencari baju Hari Kebangsaan yang menarik buat anak sulungnya, Hamzah Muhammad (kiri), Encik Muhammad (kanan) menghasilkan sendiri baju buat anaknya dan keluarga. Di bahagian hadapan kemeja-T tertera tulisan Arab yang membentuk perkataan ‘Singapura’ dan diiringi frasa ‘Majulah Singapura’ berlatarbelakangkan siluet flat HDB.
Apabila tidak dapat mencari baju Hari Kebangsaan yang menarik buat anak sulungnya, Hamzah Muhammad (kiri), Encik Muhammad (kanan) menghasilkan sendiri baju buat anaknya dan keluarga. Di bahagian hadapan kemeja-T tertera tulisan Arab yang membentuk perkataan ‘Singapura’ dan diiringi frasa ‘Majulah Singapura’ berlatarbelakangkan siluet flat HDB. - Foto ihsan MUHAMMAD ISKANDAR MUDA ABDUL JALIL

Bahagian belakang kemeja-T itu memaparkan kolaj kehidupan harian di Singapura.

Daripada perjalanan menaiki MRT dan deretan flat HDB, hinggalah budaya menikmati kopi di kedai, penjaja aiskrim bermotosikal serta sajian penjaja yang menjadi sebahagian daripada identiti tempatan.

Turut dipaparkan ialah Merlion, antara simbol ikonik yang mencerminkan identiti Singapura.

Bahagian belakang baju-T itu memaparkan kolaj kehidupan harian rakyat Singapura. Ini termasuk MRT, deretan flat HDB, budaya menikmati kopi, penjaja aiskrim bermotosikal, makanan penjaja, dan Merlion.
Bahagian belakang baju-T itu memaparkan kolaj kehidupan harian rakyat Singapura. Ini termasuk MRT, deretan flat HDB, budaya menikmati kopi, penjaja aiskrim bermotosikal, makanan penjaja, dan Merlion. - Foto ihsan MUHAMMAD ISKANDAR MUDA ABDUL JALIL

Menurut Encik Muhammad, tujuan utama rekaan itu adalah untuk meraikan identiti Singapura melalui pengalaman yang dikongsi rakyat setiap hari, dan bukan sekadar mercu tanda yang sering menjadi tarikan pelancong.

Atas sebab itu juga, beliau tidak mencetak frasa seperti ‘Happy National Day’ (Selamat Hari Kebangsaan), ‘National Day’ (Hari Kebangsaan), mahupun angka yang merujuk kepada ulang tahun Singapura pada kemeja-T tersebut.

Menurutnya, rekaan itu bukan sekadar untuk dipakai sempena Hari Kebangsaan pada 2026, malah diharapkan kekal relevan pada tahun-tahun akan datang.

“Oleh sebab tiada tarikh atau ulang tahun dicetak pada baju ini, orang ramai memberitahu mereka masih mahu memakainya walaupun selepas Hari Kebangsaan.

“Saya bercadang untuk menjual rekaan ini di laman web saya,” ujarnya.

Sambutan di ruangan komen jauh di luar jangkaannya tambah beliau, apabila ramai memberikan maklum balas positif, malah ada yang turut mencadangkan ikon Singapura lain untuk dimasukkan dalam rekaan kemeja-T itu.

Encik Muhammad berkata proses mereka bentuk kemeja-T itu mengambil masa kurang sejam, manakala keseluruhan proses daripada lakaran sehingga pelancaran mengambil masa kira-kira seminggu.

Tambahnya, baju itu disiapkan menggunakan peralatan di rumah pada hujung Julai lalu.

Setakat ini, beliau telah menghasilkan 30 helai kemeja-T dalam pelbagai versi, termasuk untuk kanak-kanak, lelaki dan Muslimah.

“Pada mulanya, baju itu dihasilkan untuk ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.

“Tapi, setelah menerima permintaan netizen yang menghubungi saya selepas video itu tular, saya memutus untuk membuka tempahan kepada mereka sahaja,” katanya.

Bagi Encik Muhammad, beliau berharap dapat menghasilkan lebih banyak produk yang diinspirasikan oleh budaya serta pengalaman harian rakyat Singapura, di samping menggalakkan masyarakat menyumbangkan idea yang boleh diterjemahkan kepada produk kreatif.

“Tetapi saya sukar mencari rekaan yang benar-benar menggambarkan Singapura yang saya kenali. Semua baju yang dijual memaparkan mercu tanda seperti Marina Bay Sands atau Singapore Flyer, tetapi bukan tentang kehidupan Singapura yang dialami masyarakat setiap hari.”
Encik Muhammad Iskandar Muda Abdul Jalil.