Masyarakat Melayu/Islam telah maju seiring dengan perkembangan negara dan terus menyumbang kepada masa depan Singapura.

ini tidak mampu dicapai tanpa kepercayaan, perpaduan, serta kerjasama masyarakat daripada pelbagai latar belakang demi mencapai tujuan bersama, demikian menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.

Menurutnya, kepercayaan itulah yang akan membawa masyarakat mengharungi dunia tidak menentu.

“Kepercayaan itu ambil masa berdekad untuk dibina.

“Inilah yang akan membimbing serta menampung kita – merentasi dunia yang kini terasa kian tidak menentu; merentasi teknologi yang bergerak lebih pantas daripada apa yang mampu kita kejar; dan menerusi kehidupan bersama, seperti yang kita jalani hari ini, di Singapura yang mempunyai pelbagai agama,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptamanya di Sambutan Hari Kebangsaan (Majlis Ugama Islam Singapura) MUIS di Hab Islam Singapura pada 4 Ogos.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Acara itu turut dihadiri Presiden MUIS, Encik Mohamed Saat Abdul Rahman; Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen; Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; anggota Majlis MUIS, kakitangan MUIS, dan pemimpin masjid.

Ini merupakan kali pertama Encik Zaqy menyertai Sambutan Hari Kebangsaan MUIS sejak beliau mengambil alih peranan pemangku menteri daripada Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim pada 20 Julai lalu.

Ketika acara itu, Encik Zaqy turut mengumumkan dua pelantikan baharu dalam kepimpinan kanan MUIS.

Cik Faizah Ahmad Barazy dilantik sebagai Timbalan Ketua Eksekutif (DCE) berkuat kuasa 1 Ogos, sementara Cik Rafidah Suparman pula bakal menyandang jawatan baharu sebagai Penolong Ketua Eksekutif (ACE) MUIS bermula 1 Oktober.

Sambutan Hari Kebangsaan (Majlis Ugama Islam Singapura) MUIS pada 4 Ogos turut disertai kakitangan MUIS dan pemimpin masjid.
Sambutan Hari Kebangsaan (Majlis Ugama Islam Singapura) MUIS pada 4 Ogos turut disertai kakitangan MUIS dan pemimpin masjid. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Encik Zaqy juga mengulangi komitmen pemerintah dalam memperkukuh institusi keagamaan, memberi sokongan kepada keluarga, memperkasakan belia, dan menyediakan peluang untuk setiap anggota masyarakat mengecapi kejayaan.

“Masih banyak perkara yang perlu kita laksanakan. Kita mahu masjid kita kekal bersemarak dan sentiasa rapat dengan masyarakat, kita mahu keluarga kita rasa disokong apabila kehidupan menjadi sukar.

“Kita mahu anak muda kita tahu, sejak awal lagi terdapat pihak yang mempercayai mereka, dan keharmonian yang kita nikmati di negara ini perlu terus dipelihara, dengan penuh kesabaran dan keikhlasan, kerana ia bukanlah sesuatu yang boleh kita ambil mudah,” tambahnya.

Beliau juga menggalakkan masyarakat untuk terus belajar termasuk dalam sektor Kecerdasan Buatan (AI) bagi memperkukuh perkhidmatan untuk masyarakat.

Beliau menggariskan bagaimana MUIS telah memanfaatkan AI untuk beberapa inisiatifnya termasuk IftaSG, yang menyokong penyelidikan fatwa dalam konteks Singapura.

“Kita mesti terus belajar. Teknologi boleh membantu kita berkhidmat dengan lebih baik dan lebih pantas.

“Namun, ia tidak akan sekali-kali dapat menggantikan insan yang berada di sisi sesebuah keluarga tatkala mereka melalui saat-saat yang paling sukar,” tambahnya.

Sesuai dengan itu, acara tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pengiktirafan AI MUIS yang pertama.

Seramai 10 individu dan tiga pasukan daripada pegawai dan pasukan daripada MUIS, masjid serta madrasah diiktiraf atas kecemerlangan dalam mengaplikasikan AI bagi meningkatkan penglibatan masyarakat, memperkukuh perkhidmatan beragama dan memperkukuh operasi harian.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad (kanan) dan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Encik Kadir Maideen (dua dari kanan) beramah tamah dengan pemenang Anugerah Pengiktirafan AI MUIS Hab Islam Singapura pada 4 Ogos.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad (kanan) dan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Encik Kadir Maideen (dua dari kanan) beramah tamah dengan pemenang Anugerah Pengiktirafan AI MUIS Hab Islam Singapura pada 4 Ogos. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Anugerah tersebut disampaikan menerusi tiga kategori – Peneroka, Penggerak dan Perintis.

Menurut kenyataan MUIS pada 4 Ogos, kategori Peneroka terdiri daripada individu dan pasukan yang telah mengambil langkah pertama dalam penggunaan AI dengan menunjukkan inisiatif serta kesediaan untuk belajar.

Kategori Penggerak pula merangkumi pegawai yang telah melangkah melebihi peringkat penerokaan dengan mengaplikasikan AI secara bermakna dalam tugas mereka sehingga membuahkan hasil yang jelas dan keyakinan yang kian berkembang.

Manakala kategori Perintis pula terdiri daripada pegawai yang menjadikan AI sebagai sebahagian daripada amalan kerja yang berterusan dan semula jadi, di samping aktif berkongsi ilmu yang dipelajari untuk menjadi sumber inspirasi kepada warga di sekeliling mereka.