Ibu kepada seorang anak lelaki berusia 11 tahun mengecam tempoh menunggu selama 35 minit bagi bas perkhidmatan 97, menyifatkannya sebagai ‘tidak masuk akal’ memandangkan jadual ketibaan menunjukkan masa yang lebih singkat.

Dalam video 13 saat yang dimuat naik pada 26 April oleh Cik Seri Romzi, yang menggunakan nama pungguna ‘@serishomel’ di TikTok, beliau memaparkan anaknya, Matin, kelihatan jelas gelisah di perhentian bas akibat menunggu ketibaan bas yang lambat.

Menurut Stomp, kapsyen video tersebut berkata Matin ‘menangis dan merayu’ agar ibunya menempah kenderaan sewa peribadi untuk pulang, kerana dia tidak mampu menunggu terlalu lama dalam cuaca yang panas terik.

Bercakap kepada Stomp, Cik Seri menjelaskan bahawa kejadian tersebut berlaku sekitar jam empat petang pada 25 April.

Beliau berkata apabila keluarga mereka tiba di perhentian bas di Blok 307B Tengah Drive, mereka mengimbas kod QR yang dipaparkan di situ untuk memeriksa jadual bas Perkhidmatan 97, yang dikendalikan oleh Tower Transit Singapore (TTS).

“Jadual bas… berulang-ulang menunjukkan lima minit, tiga minit, satu minit dan akan tiba – tetapi masih tidak kelihatan bas 97,” kata suri rumah itu.

Beliau menambah bahawa satu-satunya bas yang mereka lihat adalah bas yang tidak beroperasi, dan mereka mula berasa kecewa.

Pada mulanya, Matin “okey” dengan masa menunggu yang lebih singkat seperti yang dipaparkan dalam aplikasi, tetapi ketiadaan bas yang berterusan membuatkan dia menjadi “lebih marah dan berang”.

Dia berulang kali bertanya sama ada mereka boleh mengambil Grab untuk pulang, tetapi Cik Seri enggan memenuhi permintaannya kerana mereka hanya tinggal empat perhentian bas sahaja dari rumah, lapor Stomp.

Menurut Cik Seri, dua keluarga lain di perhentian bas itu juga berasa bengang.

Salah seorang daripada mereka, yang mempunyai bayi, memilih untuk pulang daripada menunggu bas.

“Satu lagi keluarga yang terdiri daripada empat orang menunggu selama lima minit. (Bapa mereka) melihat dalam aplikasi bas bahawa jadual sentiasa berubah. Beliau tidak tahan (untuk menunggu), lalu menahan teksi dan ‘ciao’,” kenang Cik Seri.

Beliau berkata bas akhirnya tiba kira-kira 35 minit kemudian, dan Matin kelihatan lega apabila mereka sampai di rumah.

Menjawab pertanyaan Stomp, seorang jurucakap Tower Transit Singapore memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh keluarga Cik Seri.

Jurucakap itu berkata perkhidmatan 97 terjejas oleh kesesakan lalu lintas akibat beberapa penutupan jalan dan lorong berikutan satu acara pada 25 April, yang menyebabkan kelewatan panjang bagi bas yang kembali dari bandar.

‘Saya pun akan bertindak sama’

Video itu telah mendapat lebih 62,100 tontonan, 1,755 tanda suka, dan 110 komen, termasuk beberapa yang mengkritik Matin.

Seorang pengguna mempersoalkan bagaimana Matin akan mengharungi Perkhidmatan Negara (NS), meskipun pengguna itu dikecam oleh orang lain kerana mengolok-olok seorang kanak-kanak.

Ramai netizen berpendapat bahawa apa yang dirasakan Matin adalah wajar, kerana menunggu selama 35 minit memang “gila”.

Beberapa pengguna turut memberikan cadangan untuk mengatasi cuaca panas, seperti membawa kipas mudah alih, botol air, dan payung jika boleh.

Seseorang yang kelihatan sebagai penduduk Tengah atau pengguna perkhidmatan 97 juga bersimpati dengan Cik Seri sambil berkongsi pengalaman serupa.

Pengguna tersebut menulis:

“Saya menghadapi perkara yang sama. Kami menunggu 40 minit untuk bas 97 pada hari bekerja. Akhirnya kami mengambil teksi Grab dan saya sampai ke destinasi kurang daripada 30 minit.”