Topik diikuti
Pergi ke BHkuBayar $78 untuk bergambar dengan artis?: Pakej Celebfest cetus debat dalam talian
Pakej berharga $78 yang menawarkan peluang kepada pengunjung Celebfest untuk bergambar dengan selebriti pilihan mencetuskan perdebatan dalam talian, dengan sesetengah warganet mempersoalkan sama ada peminat kini perlu membayar terlalu mahal untuk bertemu artis kegemaran mereka.
Pakej ‘Photo Op’ itu ditawarkan sempena acara dagangan Celebfest 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos di Pusat Konvensyen & Pameran Suntec Singapore, dengan hanya 30 slot disediakan bagi setiap selebriti.
Selebriti yang akan membuat penampilan semasa sesi bergambar itu ialah Daiyan Trisha, Erysha Emyra, Hussain, Meerqeen, Nadhir Nasar, dan kumpulan Alpha.
Selain itu, sesi ‘meet-and-greet’ atau ramah mesra bersama bintang drama Yes! Captain Zul Aaryan, Anna Jobling dan Jazmy Juma, ditawarkan pada harga $50, dengan jumlah slot yang terhad.
Namun, di sebalik kritikan tersebut, ada juga yang mempertahankan konsep itu dengan berhujah bahawa sesi bertemu peminat berbayar bukan sesuatu yang baharu dalam industri hiburan dan bayaran tersebut memberi peminat jaminan dapat bertemu selebriti tanpa perlu beratur panjang.
Pengguna Threads ‘ais.kopi.satu’ menyifatkan bayaran $78 bagi setiap artis sebagai “tidak masuk akal”, sambil berkata kosnya boleh meningkat dengan banyak sekiranya seseorang mahu bertemu beberapa selebriti.
“Jadi daripada membelanjakan sekurang-kurangnya $60, anda akhirnya mungkin membelanjakan $500 hanya untuk bergambar dengan selebriti dan juga membeli-belah,” katanya.
Dalam satu respons kepada pengguna lain, beliau turut berkata: “$78 untuk interaksi kurang daripada 30 minit, tak apalah terima kasih.”
Pengguna ‘liza.img’ pula mempersoalkan mengapa peminat kini perlu membayar sedangkan peluang bergambar dengan artis di acara sedemikian sebelum ini boleh diperoleh secara percuma selepas beratur.
“Dulu percuma tau, peminat pun tak kisah kalau perlu beratur. Kenapa sekarang semua kena bayar?” ujarnya.
Menurutnya, dengan harga melebihi $70, wang itu mungkin lebih baik dibelanjakan untuk sesi ‘meet-and-greet’ yang turut menawarkan barangan cenderahati, makanan dan permainan bersama artis.
Pengguna ‘erma.othman’ pula berkata konsep Celebfest pada pandangannya adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat selebriti kegemaran, bergambar bersama mereka, dan menyokong perniagaan mereka dengan membeli produk yang dijual.
“Tapi kalau nak kenakan bayaran begitu tinggi dengan slot terhad hanya untuk bergambar dengan mereka... ia kelihatan seperti satu skim menjana wang,” kongsinya.
Turut menimbulkan persoalan ialah pengalaman ‘purnamaxluna17’, yang mendakwa beliau telah membuat prapesanan barangan Celebfest selepas tawaran itu pada awalnya menyatakan ia disertakan dengan peluang bergambar bersama kumpulan Alpha.
Namun, menurutnya, pilihan itu dipadamkan daripada tawaran tersebut sehari kemudian, menyebabkan beliau mempersoalkan perubahan itu.
Berdasarkan maklumat pakej yang tertera di laman wadah membeli tiket Qooee, bayaran $78 itu bagaimanapun bukan hanya untuk sekeping gambar bersama selebriti.
Menurut wadah itu, setiap tiket membolehkan pembeli membawa seorang tetamu dan merangkumi satu sesi bergambar bersama selebriti pilihan, sekeping gambar rasmi bersaiz 4R, peluang mengambil swafoto menggunakan telefon sendiri, serta magnet gambar yang disesuaikan.
Pembeli turut menerima sehelai jaket berhud (hoodie) eksklusif Celebfest, dengan dua pilihan reka bentuk dan empat pilihan warna.
Jika pembeli membawa seorang tetamu, kedua-duanya perlu menghadiri sesi dan bergambar bersama, manakala gambar atau swafoto berasingan tidak dibenarkan.
Meskipun beberapa pengguna menyifatkan harga tersebut sebagai terlalu mahal, tidak semua bersetuju dengan kritikan yang dilontarkan.
Pengguna ‘dinierhmn’ berkata sesi ‘meet-and-greet’ berbayar bukanlah amalan baharu, malah sudah lama ditawarkan dalam industri hiburan.
“Adakah isu ‘meet-and-greet’ berbayar ini hanya dianggap satu masalah dalam kalangan orang Melayu Singapura?” soalnya.
“Sesi berbayar bukan sesuatu yang baharu. Begitu juga membeli produk selebriti untuk mendapatkan peluang bergambar atau tandatangan mereka.
“Amalan sebegini sudah wujud dalam industri hiburan selama bertahun-tahun,” tambahnya.
Dalam perbincangan sama, beliau berkata pakej seumpama itu juga boleh memberi nilai kepada peminat kerana slot yang terhad bermakna mereka tidak perlu menunggu berjam-jam untuk mendapatkan peluang bergambar.
Pengguna ‘amour.lefilm’ turut mempertahankan pilihan untuk mengenakan bayaran bagi sesi tersebut, sambil berkata beliau lebih rela mempunyai slot yang sudah dijamin daripada menunggu lama selepas persembahan artis tetapi akhirnya tidak sempat bergambar.
“Saya lebih rela mempunyai slot yang disahkan daripada menunggu dalam barisan selepas persembahan mereka untuk bergambar di belakang pentas, tetapi akhirnya artis itu perlu beredar. Buang masa, buang tenaga,” katanya.
Menurutnya, pakej itu jelas ditujukan kepada mereka yang sanggup membayar.
“Kalau anda tidak sanggup membayar, biarkan sahaja. Ini mungkin sekadar percubaan kerana ia kali pertama, untuk melihat sama ada terdapat permintaan,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya memberikan maklum mengenai tawaran tersebut.
Berita Harian (BH) telah menghubungi pihak penganjur untuk maklumat lanjut.
