Topik diikuti
Pergi ke BHkuSikap ‘kiasu’ cetus rasa malu: Warga S’pura rebut bunga ‘plush’ di pameran seni
Sikap ‘kiasu’ cetus rasa malu: Warga S’pura rebut bunga ‘plush’ di pameran seni
Sikap ‘kiasu’ cetus rasa malu: Warga S’pura rebut bunga ‘plush’ di pameran seni
Rasa malu melihat gelagat rakyat sendiri.
Itulah reaksi sebahagian netizen selepas video tular yang menunjukkan pengunjung di hari pembukaan pameran seni Flower Market, berlari dan berebut untuk mendapatkan bunga ‘plush’ (bunga kain lembut).
Pameran interaktif penggiat seni Australia, CJ Hendry, menampilkan bunga di dalam baldi, membuat penampilan sulungnya di Asia Tenggara menerusi pameran di Singapura, dari 10 hingga 14 Jun di Gardens by the Bay.
Video itu yang dimuat naik di wadah Reddit oleh pengguna ‘KopiSiewSiewDai’ pada 10 Jun memaparkan orang ramai berpusu-pusu meluru ke ruang pameran sambil cuba mengumpul sebanyak mungkin bunga.
Sebahagian pengunjung yang memasuki ruang pameran dilihat membawa beg tote besar untuk menyumbat bunga-bunga ke dalamnya dengan pantas.
Ada pula yang memeluk timbunan bunga dalam jumlah yang banyak di tangan masing-masing.
Kejadian itu mencetuskan perbincangan dalam talian mengenai tingkah laku orang ramai di acara awam serta budaya ‘kiasu’ atau mementingkan diri sendiri yang masih berakar dalam masyarakat.
Menurut penganjur Teater IMBA, setiap pengunjung hanya layak menerima satu bunga ‘plush’ secara percuma, manakala bunga tambahan dijual pada harga $7 setiap satu.
Ia menampilkan lebih 30 jenis bunga direka Hendry, termasuk lapan jenis disiapkan khas untuk edisi Singapura, termasuk Periuk Kera Raffles (Raffles’ Pitcher Plant), Bunga Gincu Singapura (Singapore Lipstick Flower) dan sejenis anggerik, ‘Papilionanthe Miss Joaquim’ atau ‘Vanda Miss Joaquim’, bunga kebangsaan Singapura.
Namun, sebahagian netizen berpendapat tindakan sesetengah pengunjung yang dilihat mengaup bunga dalam jumlah banyak mungkin didorong niat untuk menjual semula pada harga lebih tinggi.
Seorang pengguna Reddit bernama ‘invigo79’ berkata beliau tidak terkejut dengan tingkah laku itu.
“Boleh jadi bunga-bunga itu sudah pun (dijual) di Carousell sekarang,” katanya.
Berdasarkan tinjauan Berita Harian (BH) pada 11 Jun, terdapat kira-kira 10 penyenaraian di wadah Carousell yang menjual bunga tersebut.
Satu penyenaraian didapati menjual jambangan lima batang bunga pada harga $105.
Sebahagian pengguna turut menawarkan perkhidmatan untuk pergi ke pameran Flower Market dan membeli bunga bagi pihak pembeli yang berminat dengan bayaran tertentu.
Seorang lagi pengguna ‘Odd-Time-2026’ berkata kelakuan yang ditunjukkan dalam video itu merupakan tingkah laku “dunia ketiga”.
“Sikap tamak kita merangkumi semua perkara, daripada berebut mendapatkan tempat di sekolah, hingga kad permainan, dan kini bunga palsu.
“Golongan orang ini tidak berasa malu selagi mereka dapat mengaut lebih daripada orang lain,” ujarnya.
Video itu juga mencetuskan gesaan daripada netizen supaya penganjur mengehadkan jumlah bunga yang boleh dibeli setiap pengunjung.
Di samping itu, ada juga mencadangkan agar langkah kawalan orang ramai dilaksanakan untuk slot masa akan datang sekiranya permintaan terus meningkat.
Pada 11 Jun, iaitu hari kedua pameran Flower Market, penganjur Teater IMBA telah berkongsi anggaran masa menunggu secara langsung menerusi hantaran Instagram Story mereka untuk membantu pengunjung merancang jadual mereka.
