Apabila Encik Osman Sidin dan isterinya kali pertama mendengar jeritan dari jauh di luar pusat beli-belah Clementi Mall pada 10 Ogos, mereka menyangka sebuah konsert sedang berlangsung di luar.

“Tetapi saya mendengar orang menjerit ‘Lari, lari!’” kata pekerja pembersih berusia 56 tahun itu, yang sedang dalam perjalanan untuk janji temu perubatannya pada sekitar 12.15 tengah hari.

Menurut Encik Osman, beliau melihat seorang lelaki yang bersenjatakan pisau menikam dirinya sendiri.

Tanpa teragak-agak, beliau bergegas ke hadapan untuk menghalangnya selepas menyerahkan barang-barangnya, termasuk gitar, kepada isteri beliau.

“Terdapat ramai orang berlari, termasuk kanak-kanak, dan saya tidak mahu dia mencederakan mereka,” kata Encik Osman kepada akhbar The Straits Times pada 11 Ogos.

Encik Osman berjaya menahan lelaki itu di atas tanah, menyebabkan pisau itu yang kelihatan seperti pemotong durian, tercampak agak jauh daripada mereka.

“Lelaki itu terus minta maaf kepada saya, tetapi pada masa itu, baju saya berlumuran darah disebabkan tikamannya terhadap diri sendiri.

“Saya terus menjerit, meminta orang ramai supaya mengalihkan pisau itu jauh daripada kami,” ujar Encik Osman.

Pihak polis berkata mereka menerima panggilan bantuan di Blok 441B Clementi Avenue 3 pada sekitar 12.20 tengah hari.

Seorang lelaki berusia 34 tahun telah dibawa ke hospital untuk rawatan.

Encik Osman berkata pergelangan tangan kanannya tercedera semasa kejadian itu, dan pakaiannya berlumuran darah. Orang ramai kemudian membawakan pakaian gantian untuknya.

Beliau menerima rawatan di hospital pada hari sama dan diberi cuti sakit, tetapi memutuskan untuk kembali bekerja pada keesokan hari.

Encik Osman berkata beliau telah mempelajari seni mempertahankan diri ketika menjalani hukuman penjara sekitar dua dekad lalu. Beliau enggan mengulas lanjut mengenai kesalahan yang pernah dilakukannya.

“Saya menggunakan latihan seni mempertahankan diri untuk menangani keadaan dan menolak pisau itu ke tepi,” jelasnya.

Isteri Encik Osman berkata beliau bangga dengan suaminya dan tidak menghalangnya apabila beliau mahu campur tangan.

Memandangkan mereka berdua bekerja sebagai pekerja pembersih yang dibayar gaji harian, isteri Encik Osman berkata beliau mahu suaminya berehat dan pulih sepenuhnya sebelum kembali bekerja.

Pasangan itu kini tinggal di flat sewa di Clementi sementara menunggu flat HDB mereka.

Menurut Encik Osman, beliau membawa gitarnya bersamanya ke mana-mana. Bekas penghibur kelab malam itu berkata, minatnya termasuk menyanyi, bermain gitar dan melukis.

Selepas dibebaskan daripada penjara, Encik Osman berkata beliau cuba menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi kerja amal, termasuk bekerjasama dengan pertubuhan, Jamiyah Singapura.

“Ini juga terasa seperti peluang saya untuk membalas budi,” katanya, sambil menambah dirinya tidak berharap untuk dipuji atas tindakan tersebut.

Encik Osman, yang juga sebahagian daripada masyarakat Reben Kuning Singapura bagi bekas pesalah, berkata beliau mahu menyumbang kepada masyarakat selepas “melakukan banyak perkara tidak baik” semasa zaman mudanya.

Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong East-Bukit Batok, Encik David Hoe, yang memuat naik satu hantaran mengenai Encik Osman di Facebook pada 10 Ogos, memberitahu ST bahawa perbuatan itu memberinya inspirasi.

“Berubah ke arah kehidupan yang lebih baik dan tampil menghulurkan bantuan apabila diperlukan merupakan sesuatu yang wajar dipuji,” katanya, sambil berkata melihat jiran tetangga saling menjaga antara satu sama lain adalah satu pemandangan yang menyejukkan hati.

Pada petang 11 Ogos, Encik Hoe dan seorang sukarelawan akar umbi memberi Encik Osman dan isterinya sejumlah wang tunai yang disumbang oleh 22 penduduk yang mahu menyokong perbelanjaan hidup harian mereka sekiranya beliau perlu mengambil masa cuti daripada kerja untuk berehat.

“Ini cara kita mengucapkan terima kasih dan menyokong Encik Osman dan isteri,” kata Encik Hoe, yang menambah bahawa bantuan selanjutnya akan dihulurkan kepada Encik Osman dalam masa terdekat.

Encik Hoe berkata pasukannya juga akan mengaturkan janji temu susulan bagi Encik Osman untuk berjumpa doktor bagi kecederaan yang dialaminya.