Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbu bina kereta kabel bergerak untuk projek Hari Kebangsaan anak
Seorang ibu mengambil masa tiga hari menghasilkan kereta kabel mini bermotor bagi projek Hari Kebangsaan anak bongsunya yang berusia empat tahun.
Cik Shairah Shazana Mohamed, 39 tahun, menghasilkan replika kereta kabel Singapura itu untuk anaknya, Clemira Wahyudi Ichwandy, yang merupakan murid di My First Skool di kawasan Tampines.
Beliau memilih menghasilkan replika tersebut kerana ia antara ikon yang dekat dengan hati ramai rakyat Singapura, namun mahu menghasilkan sesuatu yang lebih daripada kraf berbentuk statik.
"Saya mahu kanak-kanak dapat melihatnya bergerak dan menyaksikan bagaimana semuanya berfungsi.
“Saya fikir membuat kereta kabel kecil mudah, tetapi rupa-rupanya saya silap," katanya sambil ketawa apabila dihubungi Berita Harian (BH).
Keputusan untuk menjadikan kraf itu bergerak membuka pelbagai cabaran yang tidak dijangkakan.
Beliau perlu memikirkan pelbagai aspek, termasuk struktur, sistem kapi, tali, motor, penyangkut, berat kabin serta kelajuan pergerakannya.
“Motor (yang saya gunakan) pada mulanya terlalu laju untuk struktur dan kereta kabel itu. Saya terpaksa menukarnya beberapa kali sebelum mendapat kelajuan yang sesuai,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Cik Shairah berkata beliau hanya bermula projek itu dengan gambaran yang ingin dihasilkannya sebelum melalui proses mencuba, mengubah suai dan mencuba lagi sehingga projek itu berjaya disiapkan.
“Saya banyak belajar sepanjang proses itu. Akhirnya, projek ini menjadi gabungan seni kraf, seni visual, struktur, STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) dan sedikit elemen mekatronik,” katanya.
Selain memastikan replika itu boleh bergerak dengan lancar, beliau juga perlu memikirkan aspek keselamatan dan kemudahan penggunaan.
Butang yang dipasang untuk hidupkan dan matikan kereta kabel itu, katanya, perlu cukup mudah ditekan oleh kanak-kanak prasekolah, namun pada masa yang sama cukup kukuh supaya mekanismenya tidak mudah rosak.
Bagi menyiapkan projek itu, beliau menggunakan bahan kitar semula seperti kotak kadbod, tali dan pelbagai bahan lebihan yang terdapat di rumah.
Memandangkan peralatan elektronik turut diperlukan, keseluruhan projek tersebut menelan belanja sekitar $40.
“Saya mahu kanak-kanak tahu kita boleh melihat melihat perkara-perkara biasa dengan berbeza dan menjadikan ia menjadi sesuatu yang baru,” kata suri rumah itu.
Menariknya, projek itu turut membuatkan beliau melihat kereta kabel Singapura dari sudut yang berbeza.
“Sebelum ini, saya hanya melihat kereta kabel bergerak dari satu tempat ke satu lagi tempat di Singapura. Selepas membinanya, saya lebih menghargai aspek kejuruteraan di sebaliknya, bagaimana kabin itu boleh terus bergerak, seimbang dan kekal selamat,” ujar beliau lagi.
Hasil kraf Cik Shairah itu telah dikongsi di wadah Threads pada 7 Ogos, dan turut menarik perhatin pengguna media sosial apabila meraih lebih 3,000 tontonan dan lebih 250 tanda suka, setakat ini.
Dalam hantaran itu, Cik Shairah menyertakan gambar-gambar serta penjelasan pengalamannya membina kraf kereta kabel bergerak itu.
Seorang pengguna Threads, ‘13.autumns’ berkata:
“Saya suka apabila ibu bapa berusaha untuk projek anak-anak mereka. Kraf ini sangat hebat!
Seorang lag pengguna ‘tehtarikpeng123’ tulis:
“Saya suka melihat semua hasil kraf yang kreatif. Ia sentiasa memberi saya idea baharu untuk projek anak saya yang seterusnya!”
Di samping itu, Cik Shairah juga berkata projek tersebut juga secara tidak langsung menggabungkan latar belakang beliau sebagai bekas pereka busana pengantin dengan kerjaya suaminya dalam bidang kejuruteraan.
Cik Shairah gembira melihat reaksi Clemira dan rakan-rakan sekelasnya apabila mereka dapat menekan butang dan menyaksikan kereta kabel itu bergerak.
“Mereka tidak perlu memahami fizik di sebaliknya. Sudah cukup mereka dapat melihatnya bergerak, menekan butang dan tertanya-tanya, ‘Bagaimana ia berfungsi?’
“Pada saya, itulah keseronokannya,” kata Cik Shairah lagi.
