Topik diikuti
Pergi ke BHkuBola sepak berjalan bantu warga emas lelaki isi kesunyian hidup
Sukan itu jadi wadah untuk kekal aktif, bina persahabatan pada usia senja
Bola sepak berjalan bantu warga emas lelaki isi kesunyian hidup
Selama lebih sedekad, kehidupan Encik Hussain Mohammad banyak tertumpu kepada menjaga arwah isterinya yang menghidap penyakit jantung.
Beliau bukan sahaja menguruskan keperluan harian arwah, malah memastikan ubat-ubatan diambil mengikut jadual.
“Saya banyak terlibat dalam menjaga beliau di rumah, termasuk menguruskan dan mengingatkannya untuk mengambil ubat mengikut jadual,” ujar Encik Hussain, 85 tahun, ketika ditemui Berita Harian (BH).
Namun, selepas pemergian arwah pada 2022, bapa kepada empat orang anak dan datuk kepada tujuh cucu itu berdepan dengan kesunyian dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah.
Menurut beliau, rutin hariannya mula berubah selepas seorang rakan memperkenalkannya kepada kegiatan Pusat Penuaan Aktif (AAC) Orange Valley, termasuk bola sepak sambil berjalan atau ‘walking football’.
Pada mulanya, Encik Hussain ragu-ragu untuk menyertai kegiatan itu kerana pernah menjalani pembedahan penggantian pada kedua-dua lututnya.
Namun, selepas mengetahui bahawa ‘walking football’ tidak memerlukan tahap kecergasan fizikal seperti bola sepak biasa, beliau memberanikan diri untuk mencubanya.
Walaupun usia dan keterbatasan fizikal menghadkan pergerakannya, Encik Hussain berkata beliau tetap mengambil bahagian sebagai pemain simpanan dan penyokong, selain menyertai sukan boccia.
“Bagi saya, yang penting bukan menang atau kalah. Saya dapat berjumpa dengan orang lain, berkongsi pengalaman, dan mendapat kawan baharu. Kesunyian itu diisi semula,” katanya yang sudah bersara hampir 30 tahun.
Menurut pihak AAC Orange Valley, pengalaman Encik Hussain mencerminkan antara cabaran yang dihadapi mereka dalam mendekati warga emas lelaki, yang secara umumnya kurang cenderung menyertai kegiatan sosial berbanding wanita.
Pengurus AAC Orange Valley, Encik Adrian Rennie Pereira, berkata jurang penyertaan itu mendorong pusat berkenaan menawarkan kegiatan yang lebih dekat dengan minat golongan lelaki, khususnya yang berasaskan sukan.
“Warga emas lelaki secara umumnya kurang cenderung untuk menyertai aktiviti sosial formal yang dianjurkan oleh AAC.
“Ini menjadi cabaran untuk kami mendekati dan menghubungkan mereka dengan masyarakat,” terangnya.
Tambahnya, antara kegiatan diperkenalkan mereka ialah ‘walking football’ pada 2024, yang kini disertai sekitar 50 warga emas berusia 60 tahun ke atas dan diadakan setiap Khamis di Sekolah Rendah Fuchun.
Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan berdasarkan tahap kecergasan dan kemahiran mereka.
Kumpulan Kesihatan dan Sosial merangkumi peserta yang baru berjinak-jinak dengan sukan itu atau masih perlu meningkatkan keseimbangan, daya tahan dan kemahiran, manakala Kumpulan Kompetitif terdiri daripada peserta yang lebih cergas dan bersedia menyertai pertandingan.
“Keselamatan turut menjadi keutamaan bagi memastikan warga emas dapat menyertai kegiatan dalam suasana yang selamat, selesa, dan menyeronokkan,” jelas Encik Adrian.
Bagi seorang lagi anggota AAC Orange Valley, Encik Kamaruddin Md Sahabudin, ‘walking football’ memberinya peluang untuk kembali menikmati sukan yang pernah diminatinya ketika muda, tetapi dalam bentuk yang lebih sesuai dengan usianya.
Pemandu Grab sambilan berusia 62 tahun itu mula menyertai AAC Orang Valley sekitar 2024 dan sejak itu turut aktif dalam kegiatan lain seperti bola lantai duduk serta kegiatan sosial bersama bekas rakan sekerja dan kumpulan masyarakat lain.
“Antara perkara yang paling saya hargai ialah suasana mesra di Orange Valley kerana dapat berkenalan dengan individu daripada pelbagai peringkat usia, agama, dan latar belakang.
“Pengalaman bermain bola sepak ketika muda juga membuatkan ‘walking football’ dekat di hati saya,” katanya.
Sebagai antara peserta termuda dalam kumpulan itu, Encik Kamaruddin berkata keseronokan bersukan tidak hanya terletak pada kemenangan, meskipun kejayaan pasukannya dalam pertandingan bola lantai duduk baru-baru ini memberikan kepuasan tersendiri.
Menurut Jurulatih dan Presiden Walking Football 4 Health Global, Dr Dee Dee Mahmood, yang mengendali sesi ‘walking football’ tersebut, sukan itu turut direka untuk membantu warga emas mengekalkan fungsi fizikal mereka.
Dr Dee Dee, 62 tahun, berkata setiap sesi berlangsung selama satu jam dengan merangkumi pemanasan badan, latihan kecergasan menggunakan bola, latihan keseimbangan dan berjalan, teknik permainan, dan diakhiri dengan penyejukan badan, regangan otot, dan latihan pernafasan.
“Selain menggalakkan warga emas kekal aktif, program seumpama ini turut memberi tumpuan kepada aspek fungsi fizikal.
“Antaranya ialah peningkatan kelajuan berjalan, yang merupakan salah satu petunjuk penting terhadap keupayaan seseorang untuk mengekalkan kebebasan dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya.
Para anggota AAC Orange Valley turut mengambil bahagian dalam Sukan Nasional Warga Emas (SNG) anjuran Majlis Sukan Singapura (SportSG) dan Sukan Kesihatan 15M anjuran NHG Health menerusi sukan adaptif seperi boccia, bola lantai duduk, cakera terbang (disc golf) dan ‘walking football’.
Semasa Sukan Kesihatan 15M yang diadakan pada 30 Mei, pasukan Orange Valley meraih tempat kedua dalam acara boccia dan berada dalam kelompok tiga terbaik bagi ‘walking football’.
Dalam SNG pula, pasukan Orange Valley muncul juara bagi acara bola lantai duduk yang diadakan pada 4 Ogos.