Bukan drama Ramadan, hanya peringatan, kata peniaga yang letak sepanduk di bazar
Bukan drama Ramadan, hanya peringatan, kata peniaga yang letak sepanduk di bazar
Apabila Shaikh Ali Redha, 43 tahun, meletakkan sepanduk di luar kedai teh ‘Tarik’ kepunyaannya di Kampong Gelam beberapa hari selepas Ramadan bermula, beliau tidak menjangka ia akan mencetuskan kontroversi dalam talian.
Bagi Shaikh Ali, seorang penjual bazar Ramadan sejak 2011, sepanduk itu mempunyai makna yang sangat peribadi.
Jauh sebelum beliau menubuhkan Tarik pada 2021, beliau sudah menjual beriani di bazar tahunan tersebut.
Beliau masih mengingati suasana yang berbeza suatu ketika dahulu – yang digambarkannya sebagai “tenang, menenangkan dan indah”.
Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya selepas Covid-19, beliau berasa suasana itu berubah. Media sosial menjadi semakin dominan, dan budaya baru penciptaan kandungan mula muncul.
“Pengaruh makanan dan pencipta kandungan berlumba-lumba untuk buat kandungan. Berlumba untuk dapat lebih tontonan, lebih pengikut dan tanda suka… sehingga mengkritik makanan dan mencabar peniaga,” ujarnya.
Justeru, Shaikh Ali memutuskan untuk meletakkan sepanduk demi mengingatkan pembeli, terutamanya pempengaruh, untuk mengamalkan sikap berhemah ketika membuat ulasan makanan.
“Kami mencurahkan sepenuh hati dalam setiap hidangan, namun kami sedar bahawa cita rasa itu bersifat peribadi. Jika ada hidangan yang kurang menepati selera anda pada hari ini, kami dengan rendah hati memohon agar anda mengikuti sunah – elakkan kritikan secara terbuka dan berbincanglah dengan kami secara peribadi.
“Dengan cara ini, kami dapat memperbaiki kekurangan dan pada masa yang sama mengekalkan semangat berkat dalam setiap makanan yang kami sajikan,” demikian catatan di sepanduk itu.
Shaikh Ali menekankan beberapa insiden sebelum ini yang meninggalkan kesan, termasuk satu ulasan pada 2024 yang berakhir dengan tindakan undang-undang, dan pertukaran sengit antara peniaga dan pengulas yang menjadi tular.
“Entah bagaimana ini telah menjadi normal,” katanya.
“Setiap tahun, bukannya menantikan keberkatan Ramadan, orang seolah-olah menantikan lebih banyak drama seperti musim dua atau tiga rancangan realiti.”
Sepanduk itu, tegasnya, bukan bertujuan untuk memalukan sesiapa.
“Perbuatan dinilai melalui niat, dan niat saya menggantung sepanduk ini adalah untuk mengingatkan orang tentang ajaran Nabi saw dan menggalakkan penyebaran kebaikan, bukannya permusuhan pada bulan ini.
“Saya telah menyatakan pendapat saya dan begitu juga mereka. Hak mereka untuk memberi pendapat dan bukan tempat saya untuk menilai,” jelasnya.
Beliau mengakui bahawa pelanggan dan pengulas tanpa bayaran berhak berkongsi pendapat. Tetapi beliau percaya terdapat garis batasan.
“Pendapat boleh sah tetapi penyampaiannya tidak perlu kejam. Memberi pendapat jujur tidak semestinya kejam,” katanya.
“Pelanggan berhak mengkritik, tetapi apabila kritikan menjadi kejam, ia tidak lagi melindungi orang dan mula mendedahkan (perangai) pengkritik itu sendiri.”
Yang paling membimbangkan beliau adalah apabila kritikan dibuat secara terbuka sebelum peniaga diberi peluang membetulkan keadaan.
“Apa salahnya memberi peluang kepada peniaga untuk perbetulkan dulu?” katanya, sambil mempersoalkan sama ada sesetengah kritikan benar-benar untuk kebaikan orang ramai atau sekadar “mencari pengiktirafan di media sosial hingga menjejas peniaga”.
Mengenai isu harga tinggi – satu lagi titik kontroversi – Shaikh Ali bersetuju kos sewa memainkan peranan tetapi menekankan tanggungjawab adalah pada penganjur, bukan perniagaan kecil.
“Sebagai pelanggan, kita sentiasa boleh memilih untuk tidak membeli. Tiada paksaan untuk membeli makanan yang terlalu dihebohkan, terlalu mahal atau terlalu dinilai tinggi,” katanya, sambil menambah bahawa sewa “perlu berpatutan dan telus”.
Sepanduk yang diletakkan itu meraih pelbagai reaksi daripada orang ramai, ada yang menyokong dan ada mengkritiknya.
Seorang pempengaruh Encik Zahir Latif, yang dikenali sebagai @popculturebf di Instagram, mengkritik sepanduk itu dalam beberapa siri video, menuduh mesejnya sebagai ‘religious gaslighting’ atau menggunakan hujah agama untuk memanipulasi fikiran orang ramai.
Encik Zahir berkata beliau mengulas apa yang beliau makan sebagai pelanggan dan “pelanggan berhak untuk menyuarakan pendapat mereka tentang apa yang mereka bayar”.
Walaupun mengakui bahawa sesetengah ulasan boleh menjadi terlalu keras, beliau berhujah bahawa maklum balas negatif juga mengandungi “data untuk dikumpulkan”, dan perniagaan harus belajar cara untuk bertindak balas dan bukannya mengelakkannya.
Pengasas bersama dan Pengarah Pemasaran Golden Bao Pte Ltd, Encik Rashid Rahim, 40 tahun yang menjalankan perniagaan di bazar Ramadan Geylang Serai dan Kampong Gelam, berkata penjual harus terbuka menerima teguran positif atau negatif kerana ia adalah lumrah berniaga, namun begitu berharap pempengaruh bersikap ‘perikemanusiaan’.
“Secara peribadi, jika seseorang mengalami pengalaman yang kurang memuaskan di kedai kami, saya lebih suka mereka memberitahu kami secara langsung terlebih dahulu. Beri kami peluang untuk menggantikan produk, memulangkan wang, atau menyelesaikan isu tersebut,” tambahnya lagi.

