Reviu makanan viral di bazar Ramadan: Lebih baik jujur atau berdiam saja?

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Reviu makanan viral di bazar Ramadan: Lebih baik jujur atau berdiam saja?

Feb 23, 2026 | 5:02 PM

Reviu makanan viral di bazar Ramadan: Lebih baik jujur atau berdiam saja?

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Reviu kejam pempengaruh jejas perniagaan penjual bazar, notis mengingatkan orang ramai agar beringat sebelum menular.
Reviu kejam pempengaruh jejas perniagaan penjual bazar, notis mengingatkan orang ramai agar beringat sebelum menular. - Foto FAIL

Musim bazar semasa Ramadan lazimnya mengundang ramai pembeli yang ingin mencuba makanan viral dan terbaru yang disediakan oleh penjual yang berlumba-lumba menunjukkan kemahiran serta kreativiti mereka.

Sedap atau tidak, berbaloi atau tidak, terpulang kepada pembeli untuk menilainya sendiri. Namun, menurut beberapa penjual, ulasan yang terlalu kejam atau ‘brutal’ atau kejujuran yang tidak berasas bukan sahaja boleh mengguris hati, malah boleh menjejaskan perniagaan peniaga.

Baru-baru ini, satu notis dalam bahasa Inggeris digantung di tiang lampu di Muscat Street berdekatan bazar Kampong Glam, mengingatkan pembeli, terutamanya pempengaruh, untuk mengamalkan sikap berhemah ketika membuat ulasan makanan.

Notis itu menyatakan:

“Kami mencurahkan sepenuh hati dalam setiap hidangan, namun kami sedar bahawa cita rasa itu bersifat peribadi. Jika ada hidangan yang kurang menepati selera anda pada hari ini, kami dengan rendah hati memohon agar anda mengikuti sunnah – elakkan kritikan secara terbuka dan berbincanglah dengan kami secara peribadi.

“Dengan cara ini, kami dapat memperbaiki kekurangan dan pada masa yang sama mengekalkan semangat barakah dalam setiap makanan yang kami sajikan.”

Antara pempengaruh Singapura yang menghasilkan kandungan makanan ialah @exploringwithruz.sg, yang mengaku ada penjual yang kurang senang dengan cara beliau membuat ulasan.

“Saya dimaklumkan oleh seseorang bahawa ada beberapa peniaga yang kurang selesa dengan ulasan saya kerana ia dikatakan boleh menghalang orang ramai daripada mengunjungi gerai mereka.

“Beliau juga menyarankan agar saya cuba untuk tidak memuat naik kandungan yang negatif. Namun, pendirian saya tetap sama – acara ini terbuka untuk umum, dan setiap orang berhak memberikan pandangan masing-masing. Citarasa kita berbeza, begitu juga dengan pandangan.

“Saya sentiasa mengimbangi pujian dan kritikan. Saya tidak sesekali mengkritik makanan secara membuta tuli tanpa mengambil kira kos operasi dan keseluruhan perbelanjaan perniagaan. Namun dari sudut pandangan pengguna, sesuatu harga atau kualiti itu tetap perlu rasional dan berpatutan,” kata beliau dalam hantaran di TikTok dan Instagram.

Seperti @exploringwithruz, ramai pembeli yang membuat ulasan ‘jujur’ dan kurang menyenangkan, bukan pembeli yang dibayar. Lantas mereka berasa berhak memberi ulasan atas dasar pandangan sendiri.

Perbincangan ini menjadi hangat apabila satu hantaran Thread oleh @hgfiz berkongsi gambar notis itu, sekaligus mengundang ramai netizen memberi pandangan.

Seorang pengguna Thread, @shahidah_subi, berkata bahawa penjual juga mempunyai tanggungjawab untuk menyajikan makanan yang berkualiti setimpal dengan harga.

“Jangan mengenakan harga yang tinggi semata-mata kerana kos sewa, sedangkan dari segi kualiti ia mengecewakan,” kata beliau.

Pengguna @seb3737 pula merasakan notis itu adalah peringatan penting untuk pempengaruh agar lebih beringat ketika berkongsi kandungan.

“Dalam keghairahan untuk berkongsi kandungan di media sosial, para pempengaruh mungkin terlupa akan pengaruh besar yang mereka miliki terhadap pengikut mereka, khususnya terhadap makanan yang diulas. Setiap tindakan dan kata-kata mempunyai kesan – ia boleh mendorong perniagaan di bazar, malah juga berpotensi menjatuhkannya,” katanya.

Kenyataannya, tidak semua penjual dapat menerima teguran negatif.

Misalnya, penjual @ministryofspuds, yang menjual kentang bakar dan manisan popular ‘Quesillo’ yang sedang viral, seolah-olah membalas ulasan ‘negatif’ seorang pempengaruh yang memberinya markah 2/10.

Sebagai reaksi, penjual @ministryofspuds menunjukkan barisan panjang di gerainya di bazar Ramadan Geylang Serai sambil menyatakan bahawa beliau tidak terjejas dengan komen negatif itu, sambil membalas kandungan itu.

“Apabila anda menjatuhkan orang, sediakan diri untuk balasan. Jangan main api, jika tidak mampu menanggung panasnya,” tulis kapsyen pada video yang dimuat naik @ministryofspuds di akaun TikTok mereka.

Untuk banyak perniagaan kecil, kos operasi yang boleh mencecah lebih $40,000 termasuk sewa, merupakan risiko besar yang diambil dengan harapan dapat menjana pendapatan sepanjang musim perayaan.

Menurut Encik Rashid Rahim, 40 tahun pengasas bersama dan Pengarah Pemasaran Golden Bao Pte Ltd yang menjalankan perniagaan di bazar Ramadan Geylang Serai dan Kampong Gelam, penjual harus terbuka menerima teguran positif atau negatif kerana ia adalah lumrah berniaga, namun begitu berharap pempengaruh bersikap ‘perikemanusiaan’.

“Secara peribadi, jika seseorang mengalami pengalaman yang kurang memuaskan di kedai kami, saya lebih suka mereka memberitahu kami secara langsung terlebih dahulu. Beri kami peluang untuk menggantikan produk, memulangkan wang, atau menyelesaikan isu tersebut,” tambahnya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg