Topik diikuti
Pergi ke BHkuBukan pencinta kucing, tapi setia beri makan hampir 60 ekor selama 16 tahun
Pasangan warga emas bawa dua troli, sediakan 2 kg ayam sehari dan belanja hampir $3,000 sebulan untuk kucing masyarakat
Bukan pencinta kucing, tapi setia beri makan hampir 60 ekor selama 16 tahun
Pada setiap hari sekitar 10 malam, ketika kebanyakan penduduk mula berehat dan suasana kejiranan semakin sepi, Cik Fudziah Dzulkifli dan suaminya, Encik Nordali Amin, baru memulakan 'kerja’ mereka.
Dengan menolak dua troli sarat dengan makanan kucing, air, ubat-ubatan, pinggan dan mangkuk, pasangan itu menyusuri tiga hingga lima blok di sekitar kawasan perumahan mereka di daerah Timur Singapura selama kira-kira dua jam.
Di situ, sekitar 60 ekor kucing masyarakat menanti mereka.
“Inilah rutin saya dan suami setiap malam sejak 16 tahun lalu.
“Dulu, kami beri makan kepada kira-kira 100 ekor kucing, tetapi lama-kelamaan jumlahnya berkurangan apabila ada pencinta kucing yang memelihara sebahagian daripada mereka,” kata Cik Fudziah, 67 tahun, ketika ditemui Berita Harian (BH).
Namun, pasangan itu berkata mereka tidak pernah menganggap diri mereka sebagai pencinta kucing.
Menurut mereka, segalanya bermula apabila anak mereka membawa pulang seekor anak kucing terbiar pada satu hari.
Pada mulanya, pasangan itu tidak mahu memeliharanya dan terfikir untuk melepaskannya semula, namun hati Cik Fudziah berubah apabila memikirkan keselamatan haiwan tersebut.
“Bila tengok anak kucing itu, saya rasa kasihan. Saya mula fikir, ‘Kalau anak kucing ini tiada ibu, siapa yang akan beri dia makan?’” katanya.
Persoalan tersebut membuatkan Cik Fudziah, yang bertugas sebagai pembersih klinik, semakin peka terhadap nasib kucing terbiar di sekitar kawasan kediamannya.
Menurutnya, beliau kemudian mula membantu seorang individu yang sudah terlebih dahulu memberi makan kucing di situ, sebelum sedikit demi sedikit mengambil tanggungjawab lebih besar bersama suaminya.
Kini, menurut Cik Fudziah, usaha menjaga kucing-kucing itu memerlukan perbelanjaan hampir $3,000 sebulan bagi makanan, air, ubat, makanan tambahan, rawatan veterinar, dan keperluan lain.
“Alhamdullilah, kini kami banyak menerima sokongan daripada kumpulan komuniti kucing seperti Luni Singapore yang bantu tampung kos perbelanjaan tersebut,” ujarnya.
Ibu kepada tiga anak itu juga menghadiri bengkel anjuran Persatuan Kebajikan Kucing (CWS) bagi mempelajari kaedah penjagaan dan pemberian makanan yang betul kepada kucing masyarakat.
Beliau berkata pengetahuan itu membantunya mengenal pasti kucing yang sakit atau cedera, memberi ubat serta mendapatkan rawatan veterinar apabila diperlukan.
Malah, kucing yang menghidap penyakit kronik seperti barah dan penyakit buah pinggang akan dibawanya pulang ke rumah untuk dijaga.
“Bagi kucing yang terlalu sakit untuk diselamatkan, saya tidak menganggap tugas saya berakhir di situ.
“Saya nak pastikan mereka terus mendapat ubat, penjagaan, dan tempat selesa sepanjang baki hidupnya,” ujar nenek kepada empat cucu itu.
Menurut Cik Fudziah, selepas bertahun-tahun menjaga kucing-kucing tersebut, beliau mengenali banyak daripada mereka secara individu, termasuk nama dan makanan kegemaran masing-masing.
Jika mendapati ada yang cedera, beliau akan cuba menangkapnya untuk dibawa mendapatkan rawatan.
Meskipun rutin memberi makan bermula sekitar 10 malam, Cik Fudziah berkata persiapan dilakukan seawal enam petang.
Setiap hari, beliau merebus dan menghiris kira-kira dua kilogram dada ayam sebagai makanan tambahan, selain menggunakan sekitar 24 tin makanan kucing.
Tambahnya, waktu malam dipilih kerana suasana lebih tenang, membolehkan kucing makan tanpa banyak gangguan selain mengurangkan kemungkinan timbulnya rungutan daripada penduduk atau pihak sekolah berhampiran.
Namun, tugas pasangan itu tidak berakhir selepas kucing selesai makan.
Menurut Cik Fudziah, mereka akan mengutip semula bekas makanan, mencuci pinggan dan mangkuk, serta membersihkan kawasan bagi memastikan tiada sisa tertinggal.
“Usaha memastikan kawasan sentiasa bersih juga membantu mengubah pandangan sesetengah penduduk yang pada awalnya mempersoalkan kegiatan memberi makan kucing,” kata Cik Fudziah ketika BH mengikuti rutin pasangan itu pada 23 September.
Bagi Encik Nordali, 68 tahun, menemani isterinya setiap malam bukan kerana beliau seorang penggemar kucing.
“Bila sudah lama buat ini, bosan tu memang ada, tapi saya tak sampai hati nak biarkan Fudziah buat seorang diri.
“Jadi saya akan sentiasa temankannya selagi mampu,” kata pesara itu.
Encik Nordali, yang disahkan menghidap barah otak pada 2022, disarankan doktor supaya kekal aktif dan kerap berjalan.
“Dengan rutin sebegini, ia dapat membantu saya kekal aktif juga,” terangnya.
Menurut pasangan itu, mereka sengaja menggunakan pinggan dan mangkuk berbanding meletakkan makanan terus di atas tanah atau menggunakan pinggan kertas yang mudah basah dan sukar dibersihkan.
Jika mereka tidak dapat melakukan rutin tersebut seperti biasa, sukarelawan atau anak-anak mereka akan membantu, kongsi Cik Fudziah.
Cik Fudziah turut sedang berusaha mendapatkan sokongan pihak berkuasa dan Anggota Parlimen untuk mewujudkan sebuah tempat perlindungan kecil bagi kucing yang sakit di kawasan kediamannya.
Organisasi seperti CWS mengetahui lokasi tempat beliau memberi makan, sementara rakan, jiran, dan kumpulan pencinta kucing sesekali membantu dari segi makanan, kewangan atau rawatan veterinar.
Kini, pertubuhan pengumpulan dana digital, The Give Collective, turut membantu mengumpul dana bagi menyokong usaha pasangan tersebut.
Apabila ditanya sama ada beliau akhirnya sudah menjadi pencinta kucing selepas 16 tahun menghabiskan hampir setiap malam menjaga kebajikan mereka, jawapan Cik Fudziah ringkas sahaja: “Tidak.”
Sebaliknya, beliau berkata rasa kasihan terhadap haiwan yang kelaparan, sakit, cedera, dan tidak berdaya itulah yang mendorongnya bermula 16 tahun dan terus bertahan hingga hari ini.
“Bagi saya, kucing-kucing ini bukan sekadar haiwan yang perlu diberi makan, tetapi makhluk yang seperti manusia – mereka boleh sakit, lapar dan tua, serta memerlukan penjagaan.
“Selagi saya masih mampu, saya mahu memastikan mereka tidak perlu melaluinya sendirian,” kata Cik Fudziah penuh tekad.