Lebih 111,000 kucing peliharaan telah mendapat lesen dalam tempoh dua tahun sejak peraturan pemilikan kucing baru diperkenalkan di Singapura.

Dalam hantaran Facebook pada 31 Ogos, Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Luar), Encik Alvin Tan, menggesa pemilik supaya segera memasang mikrocip pada kucing mereka dan mendapatkan lesen jika belum berbuat demikian.

“Pemasangan mikrocip dan pelesenan kucing peliharaan memudahkan kucing dikesan dan meningkatkan tanggungjawab pemilik, selain memudahkan kucing yang hilang dikenal pasti dan dikembalikan kepada pemiliknya,” katanya.

Skim pelesenan kucing peliharaan diperkenalkan di bawah rangka kerja pengurusan kucing pada 1 September 2024, yang mewajibkan semua kucing peliharaan dipasang mikrocip dan mempunyai lesen supaya mudah dikesan.

Encik Tan berkata tempoh peralihan dua tahun untuk pemilik menyesuaikan diri dengan keperluan baharu itu berakhir pada 31 Ogos.

Sepanjang tempoh ini, lesen kucing sah seumur hidup diberikan percuma kepada semua pemilik kucing. Selepas itu, lesen setahun berharga $15 bagi kucing yang dimandulkan dan $90 bagi kucing yang belum dimandulkan.

Mulai 1 September, memelihara kucing tanpa lesen menjadi kesalahan di bawah Akta Haiwan dan Burung (ABA), dan pesalah boleh didenda sehingga $5,000.

Sepanjang tempoh peralihan, Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) turut menyokong hampir 170 usaha pemasangan mikrocip percuma di seluruh Singapura, melibatkan lebih 13,000 kucing peliharaan, kata Encik Tan.

Selain itu, lebih 6,300 kucing daripada lebih 2,900 isi rumah berpendapatan rendah menerima pemandulan dan pemasangan mikrocip percuma di bawah skim sokongan pemandulan kucing peliharaan.

Pemilik digalakkan memandulkan kucing bagi mencegah pembiakan yang tidak dirancang, yang boleh menyebabkan jumlah kucing berlebihan.

Menurut AVS, pemandulan juga boleh mengurangkan kemungkinan kucing menghidap barah tertentu dan mencegah jangkitan rahim.

Encik Tan berkata had pemilikan kucing turut dikenakan bagi permohonan lesen baharu mulai 1 September. Penghuni flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) boleh memelihara hingga dua kucing, manakala penghuni rumah privet boleh memelihara hingga tiga kucing atau anjing.

Pemilik yang melebihi had dibenarkan terus memelihara kucing mereka jika kucing itu dimiliki sebelum 1 September 2024 dan mempunyai lesen sepanjang tempoh peralihan.

Encik Tan berkata lebih 4,700 kucing setempat telah melalui program Tangkap-Mandulkan-Tempatkan semula/Lepaskan-Urus (Trap-Neuter-Rehome/Release-Manage).

Di bawah langkah itu, AVS menyediakan dana tambahan bagi pemandulan dan pemasangan mikrocip kucing setempat serta membiayai penangkapan dan penempatan sementara.

Pada Ogos, AVS memperkenalkan skim perintis yang membolehkan penjaga kucing sementara yang diluluskan memelihara sehingga enam kucing di flat HDB dan 10 kucing di kediaman privet. Semua kucing dalam jagaan sementara mesti dimandulkan.

Skim itu mengiktiraf peranan penjaga sementara dalam menyediakan kediaman selamat kepada kucing yang memerlukan serta mengurangkan jumlah kucing yang berkeliaran bebas.