Kehadiran sekumpulan burung hering Himalaya – spesies yang biasanya ditemui di kawasan altitud tinggi di Himalaya – telah mencetuskan heboh dalam kalangan masyarakat peminat burung di Singapura sejak kebelakangan ini.
Menurut badan pemuliharaan antarabangsa BirdLife International, spesies itu kini diklasifikasikan sebagai “hampir terancam”.
Namun, bagi orang awam yang tidak biasa melihat burung gergasi ini, kemunculannya mendatangkan pelbagai reaksi dan baru-baru ni ia dilihat di kawasan taman East Coast.
Saiznya yang besar dan rupa fizikal yang unik menyebabkan ada pengunjung yang menyangka ia adalah seekor ayam belanda.
Seorang pengguna Facebook, John Lynn, memuatnaikkan catatan pada 11 Januari yang berkata:
“Kami sedang berjalan pulang dari (kawasan) lagun (East Coast) apabila anak perempuan saya berkata, “Lihat! Ada ayam belanda!”
“Saya kemudian membesarkan gambar di telefon dan menjawabnya, “Ia burung hering!”
Catatannya itu telah meraih lebih 15,000 tontonan, lebih 300 ‘like’ dan sekitar 50 komen, merangkumi dua gambar dan dua video menunjukkan burung hering sedang berkeliaran di tepi jalan dan terdapat beberapa pengunjung kawasan itu yang juga teruja dengan saiz burung itu sambil merakam video atau memetik gambar.
Satu komen oleh Sundar Kalimuthu pada catatan itu berkata:
“Jika tidak silap ini bukan kali pertama di Singapura, beberapa ekor tiba beberapa tahun lalu dan baru-baru ini pemerhati burung melihat beberapa ekor daripada mereka kembali ke Singapura.”
Sementara itu seekor burung hering Himalaya yang jarang ditemui di East Coast Parkway (ECP) pada 11 Januari telah diselamatkan oleh Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres), badan amal perlindungan haiwan itu mengesahkan pada 12 Januari.
Burung hering itu – yang dikatakan burung yang berhijrah – berada di bawah jagaan pasukan veterinar ACRES, yang berharap dapat memulihkan sepenuhnya burung besar itu untuk dilepaskan dalam masa terdekat, kata ketua pegawai eksekutif Acres Encik Kalai Vanan Balakrishnan.
Beliau menambah: “Dehidrasi, kelemahan dan keletihan keseluruhan akibat terbang jauh nampaknya merupakan diagnosis awal.”
Encik Kalai berkata bahawa talian penyelamat Acres telah menerima panggilan daripada orang awam pada sebelah petang 11 Januari mengenai seekor burung besar yang bermasalah, kemudian dikenal pasti sebagai burung hering Himalaya.
Pasukan penyelamat Acres yang terdiri daripada tiga anggota telah menjaga dan menyelamatkan burung hering itu, yang telah merayau-rayau ke ECP dan juga sebelum ini mendapati dirinya terdampar di dalam terusan, tambahnya.
Sebelum dilihat di East Coast, empat ekor burung hering ini dilaporkan berligar di kawasan kejiranan Clementi dan Hutan Maju di Clementi juga pada 4 dan 5 Januari.
Mengikut rekod, burung hering Himalaya sering muncul secara berkala setiap beberapa tahun. Sebelum ini, ia terakhir dilihat di Strathmore Avenue pada Februari 2025.
Ia juga telah muncul di Kebun Bunga Singapura pada Januari 2022 dan juga beberapa kawasan lain di Singapura pada Januari 2020.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg