Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar NTU usaha selamatkan burung daripada rempuh bangunan

Sukarelawan Project Avigate berganding bahu pantau, tingkat keselamatan bangunan Sekolah Seni, Reka Bentuk dan Media (ADM) di NTU
Nov 3, 2025 | 3:44 PM
NTU, sparrowhawk, Project Avigate
Gambar menunjukkan seekor helang pipit Jepun atau ‘sparrowhawk’ yang jatuh di bangunan Sekolah Seni, Reka Bentuk dan Media (ADM) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU). - Foto PROJECT AVIGATE

Selama hampir dua dekad, sebuah bangunan ikonik di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) telah memukau pengunjung dengan bumbung hijau dan reka bentuk cekap yang telah meraih anugerah kesedaran alam sekitar.

Namun, tidak lama selepas bangunan Sekolah Seni, Reka Bentuk dan Media (ADM) itu siap, burung mula jatuh mati dalam ruang melengkung bangunan itu.

Burung terbang terus ke arah kaca di muka bangunan itu yang mencipta ilusi bahawa tingkap bangunan itu adalah sebahagian daripada langit dan landskap sekeliling, lapor The Straits Times (ST).

Semasa musim penghijrahan burung ke arah selatan mencapai puncaknya, burung yang tiba di Singapura untuk mengelak musim sejuk di kawasan utara sering bertembung dengan bangunan ADM itu hampir setiap hari.

Demikian Penolong Kurator Kanan Burung di Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Lee Kong Chian di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Tan Yen Yi.

Sebanyak 122 pelanggaran melibatkan 22 spesies burung telah direkodkan oleh ‘Project Avigate’ satu inisiatif yang diterajui pelajar NTU sepanjang tiga musim penghijrahan burung yang lalu.

“Walaupun jumlah laporan yang tinggi itu mungkin akibat usaha pemantauan pelajar, ini jelas menunjukkan bangunan ini berbahaya untuk burung,” kata Dr Tan, yang menekankan bahawa fenomena itu berlaku di semua bandar di seluruh dunia dan “tidak dapat dilihat namun boleh membawa maut”.

Selepas menyaksikan sendiri pelanggaran burung hanya beberapa meter dari asramanya pada September 2022, Encik Zachary Chong – ketika itu pelajar sains sistem bumi alam sekitar di NTU – bersama rakan-rakannya menubuhkan Project Avigate untuk mengkaji punca kematian burung dan mencari cara menjadikan bangunan itu lebih selamat.

Encik Chong, kini berusia 25 tahun dan bekerja sebagai perunding alam sekitar, berkata:

“Dalam sebulan selepas memulakan projek ini, kami melihat banyak burung mati di hadapan mata dan di dalam pegangan kami.”

Sejak itu, projek tersebut telah berkembang kepada lebih 50 sukarelawan aktif, disokong oleh saintis, arkitek dan ahli pemuliharaan yang berkongsi visi mewujudkan kampus yang lebih selamat dan mampan.

Pada 20 Oktober, projek itu melancarkan kempen untuk mengumpul dana $30,000 bagi memasang pelekat pada tingkap yang paling berisiko dilanggar burung.

Semasa pengumpulan dana baru-baru ini, sekitar 10 peratus daripada sasaran itu berjaya dikumpulkan, kata pengasas bersama Project Avigate, Encik Tang Kean Seng, 23 tahun, pelajar tahun akhir dalam bidang sains sistem bumi alam sekitar, dasar awam dan hal ehwal sejagat di NTU.

Pameran Project Avigate semasa acara pengumpulan dana untuk memasang pelekat keselamatan pada tingkap bangunan Sekolah Sekolah Seni, Reka Bentuk dan Media (ADM )di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), bagi mengurangkan kematian burung yang berhijrah.
Pameran Project Avigate semasa acara pengumpulan dana untuk memasang pelekat keselamatan pada tingkap bangunan Sekolah Sekolah Seni, Reka Bentuk dan Media (ADM )di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), bagi mengurangkan kematian burung yang berhijrah. - Foto PROJECT AVIGATE

Pasukan itu sedang berusaha mengumpul lebih banyak dana supaya pelekat tersebut dapat dipasang sebelum musim penghijrahan burung berikutnya bermula pada September 2026.

Jumlah keseluruhan yang diperlukan dianggarkan $100,000, dengan universiti itu berjanji membiayai 70 peratus daripada kos tersebut, tambahnya.

Ini menyusuli satu laporan 51 halaman daripada Project Avigate yang diserahkan kepada NTU pada April 2024 dan didedahkan kepada awam pada Oktober 2025, yang mengenal pasti kaca dan bentuk rekaan bangunan ADM itu sebagai punca utama pelanggaran burung.

Menurut laporan itu, hampir tiada burung yang dapat melarikan diri setelah dikelilingi oleh permukaan kaca tersebut.

Pada satu ketika, seekor burung bahkan melanggar bangunan itu sebanyak empat kali sebelum mati.

Rekod harian tertinggi Project Avigate tercatat pada 25 Oktober 2022, apabila tujuh ekor burung berlanggar dengan bangunan itu dalam kurang sejam, semasa pasukan itu sedang menyediakan bahan untuk meningkatkan kesedaran tentang projek tersebut.

“Setelah berhempas-pulas menyelamatkan dan melepaskan burung-burung itu, pasukan (kami) sudah keletihan,” kata Encik Chong.

“Namun, kami masih memikirkan dua burung yang tidak berjaya diselamatkan pada hari itu.”

Para pelajar itu juga membuat halaman dalam talian yang merakamkan beberapa burung terlibat.

“Membentangkan data dalam laporan teknikal adalah penting, tetapi lebih penting untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa isu ini bukan sekadar perangkaan – ia melibatkan nyawa burung, dan bagaimana kita boleh berbuat sesuatu yang membina untuk mencegah kematian yang tidak perlu,” ujar Encik Tang.

Jurucakap Sekolah ADM NTU berkata universiti itu telah melaksana beberapa langkah yang disyorkan dalam laporan tersebut, seperti menggantikan lampu di taman bumbung untuk mengurangkan silau dan pantulan cahaya, serta memasang jaring pelindung bagi menghalang burung terbang masuk ke ruang tertutup.

Tindak balas terhadap penemuan itu mencabar kerana ia melibatkan rundingan dengan banyak pihak berkepentingan, kata Encik Tang.

Ini termasuk menangani kebimbangan daripada pengurus kewangan dan kemudahan mengenai kos, penyelenggaraan dan daya ketahanan langkah yang diusulkan.

“Sebarang tentangan hanya mendorong para pelajar supaya memperbaiki draf mereka, agar penyelesaian akhir dapat dilaksanakan dengan berkesan dan cekap bagi semua pihak yang terlibat,” ujar Encik Tang, sambil menyatakan, para pelajar telah bekerjasama dengan pihak sekolah itu sejak akhir 2022.

Beliau menambah: “Kami juga menganjurkan satu sesi jalan berpandu untuk menunjukkan kepada beberapa pihak berkenaan, perspektif kami mengenai interaksi manusia dengan hidupan liar di kampus.

“Pada akhir sesi itu, mereka benar-benar menyaksikan sendiri burung berlanggar dengan tingkap, yang telah membantu semua pihak memahami keadaan ini dengan lebih jelas.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg