Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Busking’ ala Mario dan Luigi, duo pemuzik hibur dan dekati masyarakat
Anggota kumpulan Green Band jadikan kostum unik, muzik pelbagai genre, sebagai cara tarik perhatian dan sebarkan mesej postif
‘Busking’ ala Mario dan Luigi, duo pemuzik hibur dan dekati masyarakat
Dengan kostum watak permainan video, lagu pelbagai genre dan gaya bersahaja, duo kumpulan Green Band menjadikan persembahan jalanan atau ‘busking’ mereka ruang untuk menghiburkan orang ramai sambil menyampaikan mesej positif.
Setiap kali Encik Zainololum Abu, 53 tahun, dan Encik Mohamad Fadzil Othman, 39 tahun, membuat persembahan, mereka bukan sahaja membawa gitar dan mikrofon, malah turut mengenakan kostum watak seperti Mario dan Luigi untuk menceriakan suasana dan menarik perhatian orang ramai.
“Motif kami sebenarnya cuma mahu berbeza daripada penghibur jalanan (busker) lain. Kalau orang pegang gitar dan menyanyi, itu perkara biasa.
“Jadi kami perlu buat sesuatu yang berbeza supaya orang tertarik untuk berhenti dan menonton.
“Kami mahu satukan masyarakat. Bila orang datang dan saling berinteraksi, mereka boleh berkenalan antara satu sama lain,” kata kata Encik Zainololum kepada Berita Harian (BH).
Menurut Encik Zainololum, Green Band mula membuat persembahan jalanan sekitar 2020, selepas beliau dan Encik Fadzil berdepan perubahan dalam pekerjaan masing-masing akibat pandemik Covid-19.
Bapa kepada tujuh anak berusia antara lima bulan dengan 18 tahun itu, yang sebelum ini bekerja dalam sektor pembinaan berasaskan projek, mendapati peluang kerja semakin berkurangan lalu beralih menjadi penghantar makanan.
Encik Fadzil, bapa kepada seorang anak, pula kehilangan pekerjaan dalam bidang jualan selepas kedainya ditutup.
Kedua-duanya sudah mengenali satu sama lain sejak sekitar 2013 dan pernah bergiat dalam kumpulan kugiran Seven Fly, yang ditubuhkan pada 2018.
Apabila mereka tidak lagi mempunyai pekerjaan tetap, Encik Fadzil mengajak Encik Zainololum mencuba membuat persembahan jalanan.
“Beliau (Encik Fadzil) ajak saya dan tanya, ‘Bang, kita busking, bang?’
“Pada mulanya, saya tertanya-tanya juga sebab saya tak pernah buat sebelum ini. Tapi saya fikir, kita boleh cuba,” singkap Encik Zainololum, pemain gitar kumpulan itu.
Menurutnya, mereka kemudian menjalani uji bakat melalui sistem yang ditetapkan Majlis Seni Kebangsaan (NAC), sebelum mula menempah slot persembahan di lokasi yang dibenarkan.
Bagi Encik Zainulolum, persembahan pertama mereka di Marina Bay Sands menjadi antara pengalaman yang sukar dilupakan kerana mereka hanya memperoleh $3.50 selepas membuat persembahan sekitar dua jam.
“Dapat $3.50 sahaja. Nak beli nasi lemak dan air pun tak cukup. Tapi kami memang cuma mahu mencuba. Kami tanamkan semangat supaya jangan mudah berputus asa dan terus berkarya,” cerita beliau.
Tambahnya, pendapatan mereka meningkat secara beransur-ansur apabila mereka semakin memahami cara berinteraksi dengan pejalan kaki serta orang ramai dan menyesuaikan persembahan mengikut lokasi.
Menurut Encik Zainulolum, mereka kini boleh memperoleh sekitar $60 setiap seorang bagi satu sesi pada hari biasa, manakala pada hujung minggu, pendapatan boleh mencecah antara $100 hingga $150 setiap seorang bagi sesi kira-kira tiga jam.
Beliau berkata mereka membuat persembahan hampir setiap hari kecuali Jumaat, dan boleh menempah slot sehingga enam jam sehari.
Idea untuk mengenakan kostum pula tercetus apabila Encik Fadzil mencadangkan agar mereka berpakaian seperti ‘Santa Claus’ sempena persembahan Hari Krismas.
Encik Zainololum berkata beliau pada mulanya berasa segan, namun berubah fikiran selepas melihat seorang rakan penghibur jalanan membuat persembahan dengan kostum watak Mario.
Beliau kemudian mencuba kostum Minion, watak animasi kuning daripada filem Despicable Me, ketika membuat persembahan bersama rakan-rakan dan mendapati kanak-kanak teruja melihat penampilannya.
“Bila saya pakai kostum itu, saya nampak kanak-kanak suka. Dari situ saya rasa seronok.
“Kami pun mula menjiwai watak itu, menari dan mengajak orang ramai menari bersama,” katanya.
Selain Mario dan Luigi, beliau berkata mereka juga pernah mengenakan kostum watak lain, termasuk Doctor Strange dan anggota Power Rangers, seperti yang dipaparkan dalam video yang dimuat naik di TikTok mereka.
Menurut Encik Zainololum, ada kanak-kanak yang memberikan mereka hadiah kecil sebagai tanda penghargaan, termasuk mainan getah berbentuk Mario dan Luigi.
Namun, antara pengalaman yang paling menyentuh hatinya ialah apabila seorang anggota keluarga penonton berkerusi roda menemui mereka selepas persembahan dan memberitahu bahawa bapanya, yang mempunyai masalah pendengaran, dapat mendengar muzik mereka.
“Bila dengar perkara begitu, kami rasa sangat bersyukur. Kami bukan sekadar bermain muzik, tetapi muzik itu boleh memberi semangat kepada orang lain,” jelasnya.
Tambahnya, mereka juga pernah melihat penonton menitiskan air mata apabila lagu yang dimainkan mengingatkan mereka kepada insan tersayang.
Encik Fadzil berkata, mereka turut cuba menyampaikan mesej ringkas selepas lagu tertentu dengan mengaitkan tajuk atau maksud lagu itu dengan pengalaman hidup.
“Kalau kita ada masalah, jangan terlalu fikirkan perkara yang sudah berlaku.
“Kita perlu teruskan hidup dan cuba melihat sesuatu dengan hati yang lebih terbuka,” nasihat Encik Fadzil, penyanyi kumpulan itu.
Duo itu berkata repertoir Green Band merangkumi pelbagai genre dan bahasa, termasuk lagu Melayu, Inggeris dan Cina, bergantung pada permintaan penonton.
Encik Fadzil lebih menggemari lagu berunsur ‘soul’, manakala Encik Zainololum cenderung kepada muzik rok.
Walaupun kebanyakan maklum balas yang diterima positif, mereka mengakui persembahan jalanan mempunyai cabarannya tersendiri, termasuk aduan mengenai bunyi muzik atau laluan yang terhalang, serta cuaca yang tidak menentu.
“Orang selalu fikir senang, boleh menyanyi dan dapat duit. Tapi sebenarnya bukan mudah.
“Kita perlu tahu cara menghiburkan orang ramai sebab orang yang lalu-lalang itu bukan datang khusus untuk mendengar kita,” dedah Encik Fadzil.
Bagi kedua-dua Encik Zainololum dan Encik Fadzil, persembahan jalanan menjadi pekerjaan sepenuh masa yang membolehkan mereka terus melakukan sesuatu yang diminati sambil menyara keluarga.
“Kami buat ini bukan semata-mata untuk populariti. Kami mahu terus membuat persembahan dan membawa sesuatu yang baik kepada masyarakat,” kongsi Encik Zainololum.
“Kalau orang dapat menerima mesej kami dan ia sampai ke hati mereka, itu sudah cukup bermakna,” tambah Encik Fadzil.