Topik diikuti
Pergi ke BHkuCepat sentap, sukar ditegur: Pengurus dedah isu etika kerja golongan Gen Z
Cepat sentap, sukar ditegur: Pengurus dedah isu etika kerja golongan Gen Z
Cepat sentap, sukar ditegur: Pengurus dedah isu etika kerja golongan Gen Z
Seorang pengurus di Singapura telah meluahkan pandangannya secara dalam talian mengenai etika kerja bagi pekerja muda.
Wanita yang dikenali sebagai Cik Nurul Sabrina, berkata beliau terpaksa memecat pekerja Generasi Z (Gen Z) kerana mereka cepat melabel sesiapa sahaja sebagai toksik atau mengambil maklum balas secara peribadi.
Pegawai pemasaran yang berusia 35 tahun itu berkata dalam satu hantarannya pada 24 Mei bahawa beliau menghadapi kesukaran bekerja dengan golongan tersebut – iaitu mereka yang lahir antara tahun 1997 dengan 2012.
Hantaran yang dimuat naik di TikTok itu meraih sebanyak 243,900 juta tontonan dengan kapsyen:
“Sebagai seorang pengurus di Singapura, saya telah memberhentikan lebih ramai pekerja Gen Z di pejabat daripada yang mampu saya kira.”
Ramai dalam kalangan netizen turut berkongsi pengalaman mereka di ruang komen apabila bekerja bersama golongan Gen Z.
Antaranya ialah pengguna ‘c_rashlikelove’ yang berkata:
“Yang paling teruk ialah, selepas anda cuba membetulkan mereka dan memberikan maklum balas - keesokan harinya mereka akan mengambil cuti sakit (MC) selama dua hingga tiga hari. Apabila anda mendesak mereka ke tahap tertentu demi pembelajaran mereka sendiri, mereka akan berhenti kerja.”
Seorang lagi pengguna, ‘brujeria1515’, berkata:
“Saya mempunyai seorang pekerja Gen Z yang mendakwa beliau mempunyai enam orang nenek. Setiap kali beliau tidak hadir tanpa kebenaran (Awol), beliau akan mengatakan bahawa salah satu neneknya telah meninggal dunia.”
Dalam hantaran tersebut, Cik Sabrina berkata:
“Ramai antara mereka datang lewat sejam ke pejabat setiap hari… tetapi bukan sahaja tugas tidak disiapkan, malah mereka juga meminta untuk menjalankan kerja sampingan sendiri semasa waktu bekerja.”
Menurutnya, ia seakan meletakkan seseorang dalam keadaan yang berisiko setiap kali ingin memberikan maklum balas ataupun sekadar menegur para pekerja muda.
“Kalau ada maklum balas yang ingin disampaikan kepada mereka, anda tidak akan pernah tahu bagaimana ia akan diterima walaupun maklum balas itu telah disampaikan secara profesional dan lembut.
“Anda boleh nampak mereka mengambilnya secara peribadi dan mereka akan mula untuk tidak bercakap dengan anda ketika waktu rehat, mengabaikan kehadiran anda, serta bersikap dingin terhadap anda walapun ahli pasukan yang lain masih mesra untuk bertegur sapa,” tambahnya.
Beliau turut mengakui bahawa sebagai seorang pengurus, mereka juga berhak untuk berada dalam persekitaran kerja yang selamat.
Malah, Cik Sabrina turut meluahkan bahawa cara berinteraksi dengan golongan Gen Z juga perlu lebih berlapik, di mana nada penyampaian perlu kedengaran lebih berhati-hati dan seolah-olah meminta maaf.
Tambahnya lagi, jika beliau perlu memberhentikan seseorang pekerja, beliau terpaksa memberikan alasan lain kerana tidak mahu pekerja tersebut menyebarkan perkara yang tidak benar ataupun menjejas semangat pasukan.
Walaupun begitu, beliau akui terdapat lebih banyak Gen Z yang baik dan masih bekerja bersama mereka, namun terdapat juga segelintir dalam kalangan mereka serta golongan milenial muda yang tidak membantu dalam mengurangkan stereotaip terhadap generasi masing-masing.
Dalam hantaran lain, Cik Sabrina memuat naik pengalaman terpaksa menghentikan seorang pekerja Gen Z yang menggunakan ‘6-7’ (meme Internet, istilah slanga dan gerakan isyarat yang menjadi popular sejak 2025) dalam satu mesyuarat bersama individu penting.
Katanya, pekerja tersebut juga menggunakan gaya percakapan yang kurang sesuai untuk digunakan bersama individu yang berjawatan tinggi.
“Salah seorang ahli lembaga pengarah bertanya kepadanya bagaimana pengalaman latihannya, dan beliau menjawab, ‘ini kerja besar pertama saya sebagai orang dewasa dan saya sudah rasa tidak mahu bekerja lagi. Macam mana anda boleh buat kerja ini selama 40 tahun?’” jelas Cik Sabrina dalam hantarannya.
Difahamkan ahli lembaga pengarah itu hanya berusia 45 tahun dan terkejut dengan jawapan tersebut.
“Walaupun kami tahu beliau hanya bergurau dan tidak serius, kami membiarkannya begitu sambil sentiasa mengingatkannya bahawa dalam situasi tertentu, beliau perlu lebih berhati-hati dengan kata-katanya,” tambah Cik Sabrina.
