Selama empat tahun dan selepas enam kali pemohonannya ditolak, Cik Nurashikin Husni Thamrin tetap berjuang untuk berkahwin dengan lelaki yang dicintainya walupun dipisahkan oleh tirai besi dan batasan penjara.

Pengurus pasukan di sebuah syarikat itu akhirnya berjaya melangsungkan perkahwinan dengan Faredz Ashim pada 15 Januari lalu di Sekolah Penjara Tanah Merah – hampir sembilan tahun selepas mereka asalnya merancang untuk berkahwin.

“Kami sepatutnya bernikah pada 2017, tapi dua minggu sebelum hari bahagia kami, Faredz ditangkap oleh pihak polis,” kata Cik Nurashikin, 38 tahun.

BH difahamkan bahawa Faredz, 39 tahun, pernah ditangkap pada 2012 atas kesalahan berkaitan dengan dadah dan menjalani hukuman penjara selama tiga tahun sebelum ditangkap sekali lagi pada 2017.

Bagi kes kedua itu, BH difahamkan Faredz menerima pengurangan hukuman penjara dari 21 tahun kepada 14 tahun.

Menurut Cik Nurashikin yang sudah lama kenal suaminya sejak di bangku sekolah lagi, beliau telah membuat permohanan kepada Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) sejak 2020 untuk berkahwin dengan Faredz di penjara, namun ia terus ditolak sehingga 2024.

“Macam-macam cara saya sudah cuba termasuk menulis kepada pihak berkuasa ketika itu. Alhamdullilah akhirnya mereka menerima permohonan saya,” tambah beliau yang berjumpa dengan suaminya sebanyak dua kali sebulan.

Walaupun mengakui perjalanan itu membuatkan beliau rasa sunyi dan keseorangan, Cik Nurashikin bersyukur pihak SPS dan kadinya, Ustaz Nazim Rahuma Dulla, banyak membantu sepanjang proses pernikahannya.

“Ustaz Nazim menerangkan bagaimana proses akad nikah di penjara akan dijalankan, apa yang perlu dijangkakan, dan turut mengadakan sesi Zoom bersama saya dan suami untuk berkongsi tentang kehidupan rumah tangga serta pengalaman beliau menikahkan banduan sebelum ini,” katanya.

Difahamkan, kawalan keselamatan yang ketat dilaksanakan sepanjang majlis tersebut berlangsung.

“Walaupun pihak SPS yang menyiapkan segala kelengkapan pernikahan kami, saya tetap diberikan kelonggaran untuk menyediakan pakaian bagi hari istimewa kami,” tambahnya yang berkata mereka diberikan beberapa minit untuk meluangkan masa bersama selepas akad nikah.

Katanya, antara sebab beliau mahu berkahwin lebih awal dan tidak menunggu sehingga Faredz dibebaskan ialah kerana beliau bimbang sekiranya sesuatu berlaku ke atas suaminya di penjara, pihak berkuasa mungkin tidak akan memaklumkannya memandangkan mereka belum sah bergelar suami isteri.

Ketika menjalani hukuman penjara, Faredz dikatakan aktif menyertai program pemulihan, selain memberi tumpuan kepada pelajaran.

Dia berjaya menamatkan diploma dan kini sedang mengikuti pengajian dalam bidang Pengurusan Rantaian Bekalan di Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

Malah, Faredz juga muncul sebagai antara pelajar terbaik, selain menerima beberapa anugerah dan pengiktirafan kewangan atas pencapaiannya.

Cik Nurashikin turut berkongsi sebahagian perjalanan hidup mereka di media sosial.

Walaupun menerima kecaman kerana sanggup menunggu dan berkahwin dengan seorang banduan, ramai juga yang memberikan sokongan dan mengucapkan tahniah selepas perkahwinan mereka diluluskan.

BH telah menghubungi SPS bagi keterangan lanjut.