Jenama snek churros tempatan, Chulop! By The Syarifs, telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka susulan kecaman terhadap sebuah video yang mengundang kritikan daripada netizen di media sosial.

Menerusi Instagram Story yang dimuat naik pada 25 Jun, Chulop! menjelaskan bahawa mereka tidak berniat memperlekehkan isu alahan makanan mahupun situasi kecemasan perubatan.

Sebelum ini, Chulop! memuat naik video mengandungi babak yang mengundang kontroversi.

Seorang pelanggan yang mempunyai alahan terhadap beberapa bahan yang terkandung dalam churros telah bertanyakan kepada kakitangan kedai tentang produk yang sesuai untuk dibeli.

Pelanggan berkenaan kemudian diminta tunggu di luar kedai dan diberikan air minuman kosong sebagai respons kepada pertanyaan yang dikemukakannya.

Paparan itu mengundang kritikan kerana ada yang berpendapat ia boleh mengelirukan orang ramai mengenai tahap keseriusan alahan makanan dan cabaran yang dihadapi individu yang hidup dengan keadaan tersebut.

Chulop! berkata video tersebut bertujuan menggambarkan perspektif seorang pekerja khidmat pelanggan yang sedang berehat.

Dalam kenyataan tersebut, Chulop! memohon maaf kepada komuniti alahan makanan dan akur akan kebimbangan yang tercetus berhubung kandungan video itu.

Jenama tersebut turut menegaskan bahawa mereka tidak berniat untuk memperlekehkan isu alahan makanan mahupun situasi kecemasan perubatan.

“Walau bagaimanapun, kami memahami kesan yang ditimbulkan oleh kandungan tersebut dan ingin memohon maaf dengan setulus hati.

“Kami telah memadamkan hantaran itu dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan ini,” kata Chulop! dalam kenyataan tersebut.

Video berkenaan kini telah dipadamkan daripada wadah media sosial mereka.

Chulop! turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi beberapa kumpulan komuniti alahan makanan bagi menyampaikan permohonan maaf secara langsung, selain memohon maaf secara peribadi kepada individu yang menghubungi mereka berhubung isu tersebut.

Menurut jenama itu lagi, mereka juga sedang meneroka cara untuk menyumbang kepada usaha pendidikan awam dan meningkatkan kesedaran mengenai alahan makanan.

Secara berasingan, pemilik Chulop! dan selebriti tempatan, Encik Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah, lebih dikenali sebagai Syarif, turut tampil memohon maaf menerusi Threads selepas ada yang mempertikaikan kandungan video tersebut.

Beliau menyatakan kekesalan terhadap kandungan video tersebut serta menjawab kritikan yang dilontarkan oleh netizen berhubung paparan berkenaan.

“Video tersebut tidak pernah bertujuan untuk menyasarkan atau mempermainkan komuniti alahan makanan. Saya memahami mengapa ramai yang berasa marah dan tersinggung. Walaupun niat kami tidak sedemikian, kandungan itu tetap telah menimbulkan rasa kecewa dan kebimbangan, dan saya benar-benar kesal mengenainya.

“Sebagai pengasas, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi pihak jenama ini. Saya akan mendengar kritikan yang diberikan, belajar daripada pengalaman ini dan memastikan kami lebih peka, sensitif serta bertanggungjawab pada masa hadapan,” katanya.

Di ruangan Threads, reaksi netizen dilihat bercampur-baur.

Selain kritikan terhadap video berkenaan, ramai juga yang tampil menyokong tindakan Chulop! dan Syarif yang segera mengakui kesilapan serta memohon maaf secara terbuka.

Seorang pengguna Threads, ‘nurputerilove’, berkata:

“Saya rasa apabila pemiliknya sudah meminta maaf dan mengakui kesilapan, adalah lebih baik video itu tidak terus disebarkan sehingga memburukkan lagi keadaan. Keadaan perniagaan sekarang juga bukan mudah. Jangan kerana satu kesilapan, kita terus menghukum tanpa memberi ruang untuk seseorang memperbaiki keadaan.”