Selepas berdepan dengan kecaman di media sosial, pempengaruh TikTok Malaysia, Cik Nur Asyiqin Mohd Dalil, yang dikenali sebagai @ekyn.wong, memohon maaf berhubung siri video yang dirakam sewaktu bercuti di China pada 15 Jun.

Kontroversi tercetus apabila video yang memaparkan Cik Asyiqin bersama rakan-rakannya mengeluarkan kenyataan berbaur hinaan terhadap kebersihan masyarakat tempatan di China tular.

Dalam salah satu video, wanita itu dilihat secara terbuka memperlekeh kebersihan penduduk tempatan dengan menjerit dalam bahasa Melayu bahawa mereka “berbau busuk” dan menutup hidungnya.

Ini telah mengundang kemarahan netizen yang menyifatkan tindakan itu sebagai biadab dan menjejas imej negara.

Hantaran kenyataan minta maaf oleh Cik Asyiqin di TikTok pada 20 Jun.
Hantaran kenyataan minta maaf oleh Cik Asyiqin di TikTok pada 20 Jun. - Foto TANGKAP LAYAR TIKTOK EKYN.WONG

“Saya Nur Asyiqin binti Mohd Dalil dengan rendah serta seikhlas hati ingin memohon maaf atas isu yang tular iaitu kekhilafan reaksi spontan saya ketika bercuti di negara China pada 15 Jun 2026 yang lepas,” jelasnya menerusi satu hantaran di akaun TikToknya pada 20 Jun.

Beliau menambah:

“Saya faham dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas tindakan saya yang telah menimbulkan ketidakselesaan kepada mana-mana pihak.

“Saya menghormati pandangan, teguran dan perasaan semua pihak serta tidak pernah berniat untuk menyinggung, mengaibkan atau menimbulkan sebarang konflik kerana ketika itu hanyalah reaksi spontan yang bukanlah dirancang.

“Saya menerima dan mengambil maklum setiap teguran yang diberikan dengan hati yang terbuka.

“Sesungguhnya, saya menyesali perbuatan saya, dan saya menginsafi akan tindakan saya yang keterlaluan.

“Daripada insiden ini, saya akan lebih berhati-hati dalam setiap tindakan saya, dan akan lebih peka kepada sensitiviti masyarakat awam.

“Akhir kata, saya sekali lagi memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya berjanji akan menjadikan pengalaman ini sebagai iktibar untuk menjadi individu yang lebih matang dan bertanggungjawab pada masa akan datang.”

Malah pada 19 Jun, Cik Asyiqin mencetuskan kontroversi tambahan apabila menyiarkan surat tuntutan daripada firma guaman Amirul Shahidda & Co bagi menyekat sebarang tindakan agresif atau hantaran berbaur fitnah oleh netizen ke atas dirinya.

Melalui kenyataan peguam tersebut, beliau mendakwa telah menjadi mangsa fitnah, provokasi serta tindakan mendedahkan maklumat peribadi termasuk butiran pekerjaan dan perniagaan miliknya di media sosial.

Kehadiran kedua-dua hantaran itu menunjukkan bahawa walaupun beliau terbuka menerima teguran, tindakan undang-undang tetap akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah atau maklumat peribadinya.