Ciri baru aplikasi NLB mudahkan peminjam kongsi buku

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ciri baru aplikasi NLB mudahkan peminjam kongsi buku

Jan 21, 2026 | 6:12 PM

Ciri baru aplikasi NLB mudahkan peminjam kongsi buku

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Dinamakan Pass It On, ciri baru ini merupakan satu ciri yang diperkenalkan oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), yang membolehkan pengguna memindahkan bahan fizikal yang dipinjam terus ke akaun pinjaman seorang lagi anggota NLB.
Dinamakan Pass It On, ciri baru ini merupakan satu ciri yang diperkenalkan oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), yang membolehkan pengguna memindahkan bahan fizikal yang dipinjam terus ke akaun pinjaman seorang lagi anggota NLB. - Foto TANGKAP LAYAR TIKTOK/THEBORROWINGBIBLIOPHILE

Ulat buku kini boleh berkongsi buku kegemaran yang dipinjam daripada perpustakaan dengan pengguna lain secara langsung tanpa perlu mengembalikan buku tersebut ke perpustakaan dahulu.

Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) telah memperkenalkan ciri baru yang dinamakan Pass It On di aplikasi NLB Mobile yang membolehkan pengguna mengalihkan pinjaman buku fizikal kepada pengguna lain.

Memandangkan ciri tersebut masih dalam fasa ujian beta (peringkat awal pelaksanaan), NLB akan terus menambah baik fungsinya berdasarkan maklum balas pengguna, menurut laman NLB.

Mana-mana anggota NLB yang mempunyai akaun perpustakaan aktif boleh menggunakan ciri Pass It On.

Kedua-dua peminjam yang memindahkan buku dan penerima buku mesti memasang aplikasi NLB Mobile serta log masuk ke akaun masing-masing bagi melengkapkan proses pemindahan.

Namun demikian, penerima buku tidak boleh mempunyai sebarang bayaran yang tertunggak dan mesti mempunyai kuota pinjaman bahan fizikal yang masih tersedia.

Ciri baru ini telah menarik perhatian seorang pengguna TikTok, yang dikenali sebagai @theborrowingbibliophile.

Menurut video selama 53 saat itu, pengguna berkenaan berpendapat ciri baru tersebut menarik dan berguna.

“Kerana ada kalanya saya sudah membaca sesebuah buku, kemudian saya mahu mengesyorkannya kepada rakan. Tapi saya perlu memulangkan buku itu dahulu, dan rakan saya pula perlu mencarinya di perpustakaan.

“Dengan ciri ini, keseluruhan proses itu menjadi lebih mudah. Saya boleh terus memindahkan pinjaman buku tersebut kepada rakan, tanpa perlu kedua-dua pihak datang ke perpustakaan,” katanya.

View post on TikTok

Cara Penggunaan

Bagi peminjam yang ingin memindahkan buku

1. Pilih buku yang telah anda pinjam dari NLB, yang mahu dikongsikan.

2. Aturkan pertemuan dengan individu yang ingin anda berikan buku tersebut, dan bawa buku berkenaan bersama.

3. Pastikan anda dan rakan anda telah memasang aplikasi NLB Mobile serta log masuk ke akaun masing-masing.

4. Dalam aplikasi itu, tekan pilihan ‘Loans’ pada halaman ‘Account’.

5. Tekan butang ‘Pass It On’ di bahagian bawah halaman.

6. Pilih bahan yang ingin dipindahkan dan tekan butang ‘Pass It On’.

7. Kod QR unik Pass It On akan dipaparkan. (Nota: Kod QR ini hanya boleh digunakan selama 10 minit.)

Minta rakan yang menerima buku tersebut mengimbas kod QR yang dipaparkan pada skrin anda menggunakan aplikasi NLB Mobile, kemudian mengimbas kod QR atau kod bar yang dilekatkan pada buku yang akan dipindahkan.

Bagi peminjam yang menerima buku

1. Log masuk ke aplikasi NLB Mobile dan tekan ikon imbas (scan) di bahagian bawah halaman.

2. Imbas kod QR Pass It On yang dipaparkan pada aplikasi NLB Mobile peminjam yang memindahkan buku.

3. Tekan butang ‘Scan NLB Barcode/QR Code’.

4. Imbas kod bar atau kod QR yang dilekatkan pada buku yang akan dipindahkan.

5. Buku berjaya dipinjam.

6. Anda akan menerima tempoh pinjaman baru bagi buku yang diterima. Buku tersebut perlu dipulangkan ke perpustakaan sebelum tarikh akhir baru dan tidak boleh dipindahkan kepada individu lain. (Ini bagi memastikan akses yang adil kepada koleksi perpustakaan untuk semua peminjam.)

Untuk maklumat lanjut, sila layari nlb.gov.sg/Pass-It-On.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg