Guna masa corak cermin kehidupan
Dari hari Isnin hingga Jumaat kita bekerja tanpa kenal erti penat.
Ada juga yang bekerja pada Sabtu dan Ahad tanpa jemu.
Di dalam kita sibuk bekerja demi menjalankan tanggungjawab, kadangkala kita lupa untuk meluangkan masa buat diri sendiri.
Inilah lumrah kehidupan kita dalam dunia serba moden kini.
Rutin sedemikian terus dilalui sepanjang hayat sehinggalah tiba masanya kita mula bersara daripada kerjaya.
Daripada sisa masa yang ada waktu ini, kebanyakan kita akan mula mendekatkan diri dengan agama sebagai persiapan akhirat selepas meninggalkan dunia.
Tetapi dalam kita memperbanyak amal ibadah, soalan yang harus kita tanyakan kepada diri sendiri adalah bagaimanakah kita boleh menilai diri ini sebelum berada di depan Ilahi?
Apakah alat yang boleh kita gunakan untuk mengukur dan mencermin diri?
Mari kita sama-sama merenung firman Allah swt di dalam Surah Al- Asr ayat satu hingga tiga:
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya tetap sabar.”
Ini menunjukkan betapa pentingnya masa dalam kehidupan manusia.
Daripada mesej kepentingan masa ini, tamadun Islam dari Timur Tengah hingga ke Eropah telah menciptakan pelbagai alat untuk menunjukkan masa, antaranya jam yang dikenali sebagai ‘jam gajah’ ciptaan Al Jazari pada sekitar 13 Masihi.
Dengan kemajuan teknologi pada 19 Masihi, tamadun Islam Turkey juga mula membina lebih 72 menara jam di kota penting Islam yang dahulu pernah di bawah pemerintahannya termasuk di Bosnia dan Macedonia.
Masa juga penting dalam pembinaan tamadun Islam.
Akan tetapi harus kita ingat fungsi masa itu bukan sahaja untuk menunjukkan jadual harian atau waktu solat.
Masa juga boleh berfungsi sebagai alat untuk mencermin diri sebelum kita berdepan dengan Ilahi.
Sudah pastinya dalam setiap manusia ada tabiat sendiri.
Tabiat secara amnya terbentuk secara perlahan dalam kehidupan manusia sama ada daripada pengaruh persekitaran, kebiasaan sejak kecil atau hasil keputusan kita sendiri.
Tabiat seseorang itu ada kalanya baik dan ada kalanya buruk.
Ia termasuk apa yang kita pilih untuk dengar, makan, baca dan tonton – keseluruhannya akan mempengaruhi dan membentuk tabiat harian kita.
Disebabkan tabiat merupakan kegiatan yang kita lakukan pada sepanjang waktu, sama ada disedari atau tidak, tabiat harian ini, pada setiap detik masa, akan dipersoal di padang mahsyar.
Melalui tabiat dan kegiatan harian kita, dari masa muda hingga usia senja, ia secara langsung mencerminkan diri kita sebenar.
Setiap detik masa yang berlalu akan menentukan masa hadapan kita sama ada kehidupan di dunia atau akhirat kelak.
Maka dengan itu demi memastikan masa depan yang cerah, bermula Tahun Baru ini, marilah kita memerhatikan setiap gerak langkah dan tabiat kita pada setiap masa.
Dari situlah kita akan dapat melihat cerminan diri dari setiap detik masa yang kita luangkan.
Selain tabiat harian, masa juga dapat mencerminkan segala keputusan yang pernah kita ambil dalam kehidupan.
Setiap keputusan yang diambil pada setiap detik, secara langsung akan mempengaruhi serta membentuk masa hadapan kita.
Sebagai contoh, ketika kita mengambil keputusan untuk melaksana taubat nasuha, pastinya kita akan secara sedar hendak menjauhi perkara yang mungkar di sisi agama pada masa akan datang.
Walaupun mungkin amat payah pada peringkat awal untuk meninggalkannya, akan tetapi kerana keputusan yang telah diambil pada detik itu, sudah pasti kita akan menjauhinya seberapa mungkin.
Ada di antara kita mahu memutar masa, ekoran kesalahan yang dilakukan diikuti dengan keputusan tidak tepat yang diambil pada masa lalu.
Kita harus sedar masa di dunia ini amat singkat dan kita tidak seharusnya mengambil ringan dalam urusan masa.
Corak cermin kehidupan kita ini terbentuk dari pengurusan masa serta keputusan yang kita ambil pada setiap detik.
Kita harus sentiasa meneliti kehidupan sendiri pada setiap masa kerana ia merupakan cerminan diri apabila berhadapan dengan Ilahi.
Pada waktu yang sama, apabila kita mengambil berat setiap detik yang berlalu, tanpa kita sedari, kita akan lebih peka dan berhati-hati akan setiap keputusan yang diambil dalam kehidupan.
Apabila kita mengambil berat tentang setiap pergerakan pada setiap detik, kita akan dapat melihat diri demi kebaikan.
Maka daripada situ, dalam keadaan penuh kesedaran apabila membuat sesuatu keputusan dalam kehidupan, kita akan rasakan kebebasan dan ketenangan jiwa.
Maka apabila kita pulang menghadap Ilahi kita akan berada dalam keadaan tenang sepertimana firman Allah swt dalam Surah Al Fajr ayat 23-30:
“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan reda dan diredai. Lalu, masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu!
Penulis ialah bekas Pembantu Penyelidik di Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) mengenai hubungan Uthmaniyyah-Singapura dan memiliki ijazah Sarjana, Jabatan Sejarah dan Kesenian Islam di Universiti Cukurova di Adana, Turkey. Beliau juga telah mengikuti program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang dijalankan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan tersenarai di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Penulis kini merupakan calon Doktor Falsafah (PhD) di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS).

