Seorang lelaki berusia 24 tahun yang disyaki disambar petir di Pantai Pasir Ris pada 5 Julai telah meninggal dunia di hospital.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) pada 6 Julai, polis berkata beliau telah dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Lagi tujuh orang, berusia antara 13 dengan 54 tahun telah dibawa ke hospital dalam keadaan sedar, kata polis lagi.

Dua kanak-kanak pula dibawa dalam keadaan sedar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Empat individu dibawa dalam keadaan sedar ke Hospital Besar Sengkang bersama lelaki yang akhirnya maut itu.

Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pada 5 Julai bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai insiden tersebut pada sekitar 4.50 petang.

Lelaki berkenaan merupakan antara lapan individu yang sedang berkayak dan mendayung papan paddle board di pantai itu.

Gambar-gambar yang dirakamkan oleh akhbar harian berbahasa Cina, Lianhe Zaobao, menunjukkan sebuah kenderaan polis berada di pantai berhampiran tempat letak kereta D di Taman Pasir Ris pada 6.30 petang.

Polis berkata ia tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah berdasarkan siasatan awal dan siasatan sedang diteruskan.