Berlecak. Berlumpur. Terasing.

Begitulah keadaan kehidupan di Kampung Biram Rayeuk dan Kampung Gunci di Aceh, Indonesia, susulan banjir besar yang melanda wilayah itu baru-baru ini.

Kebanyakan rumah dihanyutkan arus, manakala prasarana yang masih berdiri pula tenggelam dalam lumpur tebal yang menyelubungi hampir setiap permukaan tanah.

Mengimbau pengalamannya di kampung tersebut, doktor daripada Jabatan Kecemasan Hospital Besar Sengkang (SKH), Dr Mohamad Fahamy Koenitz Iskandar, berkata:

“Kedua-dua kampung ini begitu terpencil sehingga Kampung Gunci tidak tersenarai dalam Peta Google, memaksa kami bertanya arah daripada penduduk setempat.

“Akibat keterpencilan ini, kampung-kampung itu hampir tidak menerima sebarang bantuan perubatan dalam tempoh tiga hingga empat bulan selepas banjir melanda.”

Dr Fahamy, 44 tahun, antara sekitar 10 sukarelawan dari Singapura yang berada di Aceh dari 6 hingga 10 April bagi menghulurkan rawatan perubatan kepada mangsa banjir.

Beliau ditemani lima rakan sekerja – jururawat kanan, Encik Hafez Tahir, 44 tahun; jururawat klinisian, Cik Shamala Sivamoorthy Gopalakrishnan, 42 tahun; pendidik jururawat, Cik Siti Nasriah Yusri, 39 tahun; pengurus jururawat kanan, Encik Ahmad Khairil Mohamed Jamil, 39 tahun; dan jururawat, Cik Megan Tay Yi Ru, 21 tahun.

Bersama pakar pediatrik dari The Cheery Child Clinic, Dr Zainal Muttakin Abdul Rahman, serta pakar perubatan lain dan anggota Global Ehsan Relief, pasukan itu berada di Kampung Biram Rayeuk pada 8 April dan di Kampung Gunci pada 9 April.

Tahap glukosa, kolesterol, dan tekanan darah penduduk tempatan diperiksa.
Tahap glukosa, kolesterol, dan tekanan darah penduduk tempatan diperiksa. - Foto GLOBAL EHSAN RELIEF

Mereka mendirikan khemah perubatan di kedua-dua kampung bagi menyediakan rawatan akut dan kronik percuma kepada penduduk setempat.

Namun, di sebalik kemusnahan fizikal di sana, pengalaman paling membekas bagi pasukan perubatan itu adalah pertemuan mereka dengan para penduduk kampung.

Bagi Cik Nasriah, pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah apabila seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an tahun berjalan masuk ke khemah perubatan dengan senyuman tenang sambil menggendong bayinya.

Penduduk Kampung Biram Rayeuk di Aceh, Indonesia, menunggu giliran untuk diperiksa pasukan perubatan Singapura.
Penduduk Kampung Biram Rayeuk di Aceh, Indonesia, menunggu giliran untuk diperiksa pasukan perubatan Singapura. - Foto GLOBAL EHSAN RELIEF

“Apabila saya memeriksa tekanan darahnya, bacaannya amat mengejutkan, sehingga melebihi 200 mm Hg.

“Di Singapura, tahap seperti ini akan segera mencetuskan amaran kecemasan kerana risiko angin ahmar yang amat tinggi.

“Tetapi, wanita itu hanya mengadu mengalami pening kepala biasa. Sifat rendah hati dan ketenangannya memberi kesan mendalam kepada kami,” jelasnya.

Dr Zainal Muttakin Abdul Rahman (kiri) antara pakar yang memeriksa kesihatan kanak-kanak di sana.
Dr Zainal Muttakin Abdul Rahman (kiri) antara pakar yang memeriksa kesihatan kanak-kanak di sana. - Foto GLOBAL EHSAN RELIEF

Di samping itu, Dr Fahamy berkongsi rasa kagum terhadap keluhuran budi penduduk tempatan.

Menurutnya, kenangan paling terpahat di hatinya bukanlah kes perubatan yang rumit, tetapi semangat kemasyarakatan dan keikhlasan mangsa banjir.

“Walaupun mereka baru sahaja kehilangan rumah, wang, dan harta benda, seorang ketua kampung tetap mengerahkan pemuda tempatan untuk menangkap ikan segar di sungai bagi tetamu mereka.

“Mereka membentangkan tikar di luar masjid dan mengadakan kenduri dengan menyajikan ikan kukus, sup sayur dan jus buah segar untuk kami.

“Mereka sangat murah hati walaupun berada dalam keadaan susah. Saya tak pasti saya mampu berbuat demikian kalau berada di tempat mereka,” kongsinya.

Meja kecil dijadikan ruang kerja untuk pasukan perubatan Singapura merawat dan memeriksa penduduk tempatan.
Meja kecil dijadikan ruang kerja untuk pasukan perubatan Singapura merawat dan memeriksa penduduk tempatan. - Foto GLOBAL EHSAN RELIEF

Dr Fahamy turut membandingkan kemudahan di tanah air, yang membolehkan pesaki menempah Grab atau menaiki bas dan MRT, untuk ke hospital demi mendapat akses kepada imbasan Tomografi Berkomputer (CT scan), x-ray dan ujian darah.

Sebaliknya, beliau berkata penduduk tempatan terpaksa bergantung pada satu-satunya van yang dikongsi oleh seluruh kampung untuk menempuh perjalanan selama lapan hingga sembilan jam ke hospital.

Bagi Cik Tay pula, beliau menyedari tugasnya melangkaui melakukan pemeriksaan fizikal seperti menguji tahap glukosa dan kolesterol penduduk.

Menurut Dr Mohamad Fahamy Koenitz Iskandar (kanan), antara penyakit yang mereka rawat termasuk penyakit pernafasan, masalah kulit akibat pendedahan kepada air banjir kotor, dan penyakit kronik seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi.
Menurut Dr Mohamad Fahamy Koenitz Iskandar (kanan), antara penyakit yang mereka rawat termasuk penyakit pernafasan, masalah kulit akibat pendedahan kepada air banjir kotor, dan penyakit kronik seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi. - Foto GLOBAL EHSAN RELIEF

“Selain menyediakan rawatan, kami juga menghulurkan senyuman dan sudi mendengar luahan mereka.

“Ini sedikit sebanyak menenteramkan mereka, walaupun komunikasi kami mungkin terhalang disebabkan jurang bahasa,” jelasnya.

Beroperasi dengan dana sekitar $20,000 yang dikumpul Global Ehsan Relief, pasukan itu mengelakkan kos penghantaran antarabangsa dengan membeli dan menyusun bekalan ubat secara langsung di Indonesia.

Pasukan Hospital Besar Sengkang (SKH) yang menyertai misi perubatan di Aceh, Indonesia, dari 6 hingga 10 April, terdiri (dari kiri) Encik Hafez Tahir, Cik Megan Tay Yi Ru, Dr Mohamad Fahamy Koenitz Iskandar, Cik Siti Nasriah Yusri, dan Encik Ahmad Khairil Mohamed Jamil. Turut menyertai misi itu ialah Cik Shamala Sivamoorthy Gopalakrishnan (tiada dalam gambar).
Pasukan Hospital Besar Sengkang (SKH) yang menyertai misi perubatan di Aceh, Indonesia, dari 6 hingga 10 April, terdiri (dari kiri) Encik Hafez Tahir, Cik Megan Tay Yi Ru, Dr Mohamad Fahamy Koenitz Iskandar, Cik Siti Nasriah Yusri, dan Encik Ahmad Khairil Mohamed Jamil. Turut menyertai misi itu ialah Cik Shamala Sivamoorthy Gopalakrishnan (tiada dalam gambar). - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Ini membolehkan mereka merawat penduduk yang telah berbulan-bulan tidak menerima rawatan untuk jangkitan pernafasan, penyakit kulit akibat air banjir kotor dan penyakit kronik.

Meskipun rawatan perubatan penting, Encik Khairil menegaskan mangsa banjir amat memerlukan keperluan asas seperti tempat tinggal yang sempurna, makanan, serta air bersih untuk diminum dan bagi tujuan kebersihan diri.

“Melihat keadaan kehidupan penduduk di sana amat menyayat hati, tetapi matlamat utama pasukan kami adalah untuk meringankan beban mereka dan memberi mereka sedikit harapan,” ujarnya.